Jumaat, 1 Mac 2013

Dilema Pelajar Agama


Ketika menghadiri satu diskusi, seorang ustaz menegur.

"Pelajar agama ini banyak alasannya. Berbeza dengan mereka yang bukan aliran agama, lebih faham dalam beragama, lebih disiplin dan menepati waktu!"

Kulitnya yang mulus putih menjadi merah. 

Saya mendengar saja. Malah saya mengakui apa yang dibicarakannya. 

Ianya suatu penyakit. Penyakit malas bekerja, tidak mahu mempelajari sejarah dan tidak mengamalkan apa yang dipelajari. 

Keberuntungan pelajar agama dalam mendalami agama hanya sebatas di ruang kuliah. Berbeza dengan mahasiswa yang bukan dari pengajian agama. Mereka mencuba dan mencari ceruk-ceruk dan sisa waktu yang ada, mendalami agama dengan mengikuti usrah, halaqoh, seminar dan ceramah-ceramah agama.

Pelajar agama diam berteleku. Menjadi seorang individualistik. Tidak menjadikan diri sebagai seorang yang 'holistik.'

Sewaktu seorang pensyarah dari KIAS, datang ke Aceh beberapa waktu yang lalu, dia banyak mengomel mengenai mahasiswa yang belajar di pengajian Islam. Mengapa mereka menjadi sebegitu rupa.

Saya menjawab dengan alasan tingkat "sekolah menengah", "Setan bagi orang awam pangkat leftenen, askar muda baru nak belajar tembak-tembak, sedangkan kita sebagai orang yang mengaji agama ni, setannya pangkat komando paku tiga!"

Pelajar agama dalam persimpangan. 

Bukan memburukkan, maaf.

Tetapi realitinya sebegitu sahabat-sahabatku. Kita kehilangan fokus. Mungkin tidak meluruskan niat? Belajar agama hanya ingin mendapatkan segulung kertas keras dikenal sebagai ijazah.

Merenung keluar jendela, termenung seketika. Penyakit yang melanda masyarakat yang mempelajari pendidikan Islam di Universiti.
"Apa gunanya duduk di Universiti Islam jika apa yang dipelajari tidak tahu. Belajar agama tapi tak faham. Hanya sebatas halal dan haram."
Itulah kata-kata Ustaz Azhar dari Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

Saya sebagai sahabat, menasihatkan diri sendiri serta sahabat-sahabat saya, yang mengikuti pengajian Islam, keluarlah dari kamarmu melihat dunia. Tambahkanlah kreativiti dan ambil tahu tentang dunia luar. 

Kembali perbaharui tujuan hidup, untuk apa kita hidup dan kemana kita akan pergi. 

Janganlah kita menjadi debu-debu yang tidak ada nilai. Hilang di tiup angin.

Jangan lupa, masyarakat memerlukan sentuhan kita. 

Tarbiyyah dan Ta'dib. Pendidikan dan adab. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan.

Penghayatan Islam dikalangan Pelajar Aliran Agama

Al-Ghazali sebenarnya pernah menyebutkan mengenai soal ini sembilan abad yang lalu. Beliau amat bimbang dengan permasalahan ini, pelajar agama yang tidak menghayati Islam yang sebenarnya. Dan hal ini sememangnya telah berlaku dikalangan kita sekarang. Apatah lagi kita berada di dunia serba ada. Dan sebenarnya perkara ini bukanlah hal yang baru di dalam dunia Islam.

Kebanyakan masalah hari ini adalah masalah sosial yang menjadi isu untuk diselesaikan oleh para ulama' dan ustaz. Lihat saja berbagai program-program di TV dan media sekarang, bagaikan cendawan tumbuh setelah hujan. Bagi masyarakat yang menyedari hal ini, dibahu kitalah harapan bagi menurunkan warisan kerohanian kepada manusia di dalam bentuknya yang hakiki.

Solanya adalah, penglibatan golongan pelajar agama di dalam masyarakat sangat berkurangan jika hendak dibandingkan dengan pelajar yang datangnya dari aliran bukan agama.

Dan ya, saya tidak menafikan hal ini terjadi dan berlaku sekarang.

Penyakit ini sebenarnya adalah penyakit rendah diri atau tidak percaya diri dikalangan pelajar agama yang menyebabkan mereka tidak termotivasi untuk ber-fastabiqul khairat. Hal inilah yang perlu diperbaiki untuk meletakan kembali agamawan sebagai sebagai sumber dalam memperbaiki dan menjadi peranan penting dalam menghidupkan budaya ilmu di dalam masyarakat.

Cadangan Untuk Renungan Bersama

  1. Perlunya dikembalikan keyakinan kepada pelajar-pelajar agama tentang konsep "penghayatan ilmu dalam Islam" melalui "spiritual traning" -usrah, forum agama dan sebagainya.
  2. Pelajar agama juga perlu dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan semasa supaya skop pemahaman mereka lebih luas. Kerana mereka mempunyai dua peranan dalam hidup, iaitu peranan dalam masyarakat melalui hubungan Tuhan dengan manusia (hablumminannas) dan kedua hubungan mereka dengan Tuhan (hablumminallah).
  3. Pemerintah dan ulama' harus diselaraskan, kerana mereka memainkan peranan yang penting di dalam melaksanakan penghayatan nilai-nilai Islam di dalam masyarakat.

Tiada ulasan: