Pada hari Ahad yang lalu, saya di jemput untuk menjadi pengisi bagi majlis penutupan bulan Madinatul Quran. Program ini diselenggarakan oleh Quran Aplikasi Forum, salah satu unit kegiatan mahasiswa (UKM) di kampus IAIN Ar-Raniry.
Alhamdulillah seramai 60 orang berjaya sampai ke 'destinasi'. Saya diberitahukan bahawa program ini asalnya mendapat sambutan seramai 300 orang, setelah itu berkurangan pada setiap bulannya sehingga ianya berakhir pada 23 Jun yang lalu.
Mereka datang dari berbagai latarbelakang fakulti. Sungguh, saya berbahagia melihat mereka. Namun seperti biasa, kehadiran perempuan lebih mendominasi lelaki. Lelaki hanya boleh dikira dengan jari. Sungguhpun begitu, merekalah di antara pemuda-pemuda yang berkualiti.
Saya menjadi motivator pada hari itu. Saya diminta memberi motivasi kepada mereka mengenai al-Quran. Asalnya saya tidak tahu apakah saya harus berceramah atau bagaimana konsepnya. Saya tidak tahu. Sebelum saya naik ke pentas, ada sesi syarahan.
"Bila dah ada sesi syarahan, ceramah lah tu. Bila berceramah, pastilah orang-orang ini yang baru berjinak-jinak dengan al-Quran terasa bosan." Fikirku.
"Sekarang, kita mengundang, Ustaz Hakimi untuk naik ke pentas, memberi motivasi dan semangat kepada kita semua, sekaligus membaca doa penutup untuk acara ini..."
MC telahpun menjemput, saya mula tersemput.
Saya naik kepentas, memegang mic seperti biasa, menarik nafas untuk menenangkan diri. Saya berdoa di dalam hati, semoga Allah berikan ilham untuk saya berbicara.
'Allahumma ameen'
Tiba-tiba datanglah ilham dari langit turun ke Bumi, bagaikan Bulan jatuh ke riba.
'Alhamdulillah..' Bisikku
Dengan tidak memperkenalkan diri, saya terus masuk ke dalam isi yang ingin saya sampaikan. Bermula dengan perintah Allah swt di dalam al-Quran yang menganjurkan kita bertaaruf sesama sendiri. Dengan cara yang paling pantas dan cepat.
Asalnya mereka kaku dan beku. Saya melihat ruang semakin panas.
Mereka saya kelompokan mereka dengan fakultas, setelah itu, bulan kelahiran, daerah (kampung halaman), dan sebagainya. Mereka ada yang berlari ke sana sini, mereka ada yang menjerit tercari-cari.
Pada akhirnya saya bertanya pada mereka, apa yang mereka dapat dari module yang saya sampaikan pada ketika itu. Nah, jelas.. mereka baru sahaj bertaaruf sesama mereka, yang sebelum ini mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain. Yang paling mengesankan mereka, mereka berjumpa dengan orang kampung halaman mereka sendiri.
Namun yang saya sedikit kesalkan, para pemuda yang berada di dalam program tersebut, layu dan malu tidak bertempat. Mungkin inilah penyakit para pemuda sekarang. Kalau berbicara dan berdemo ke sana-sini, mungkin mereka berani, tetapi dalam konteks yang lain, mereka ada sesuatu yang mereka tidak biasa.
'The pink elephat syndrome'
Akhirnya saya memutuskan untuk bercerita mengenai sejarah. Seorang pemuda yang berjaya menciptakan sejarah dunia, yang sentiasa dijadikan perbualan orang yang tahu mengenai diri. Seorang yang telah diramalkan merampas kekuasaan sebuah kerajaan besar di Byzantium, dan beliau disebut sebagai sebaik-baik tentera dan sebaik-baik raja.
Beliau adalah Sultan Muhammad II atau lebih dikenali sebagai Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya merebut Kota paling kebal di dunia, Konstantinopel.
Beliau yang disebut di dalam hadis sebagaimana di sebut:
"Akan dibuka kota Konstantinopel itu, rajanya adalah sebaik-baik raja, dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera."
Para hadirin mendengar dengan penuh khusyuk, mengenai pemuda yang berumur 21 tahun itu yang mampu menawan sebuah kota. Namun saya tanyakan, apakah kita ini mampu?
"Lelaki adalah ketua bagi kaum perempuan, namun apakah kita ini lelaki, atau 'Jantan?" Saya menyoal kaum lelaki.
Kaum perempuan pula ketawa.
Pemuda semakin krisis dalam membentuk identiti. Saya risau mengenai hal ini.
Kita sebagai pemuda, banyak contoh-contoh pemuda yang boleh saya ceritakan. Begitu juga dengan wanita. Tokoh-tokoh baik di zaman Nabi saw sendiri atau sebelumnya, ataupun mereka yang hidup di abad ini.
Seperti yang terjadi di Aceh, kebanyakan yang memohon permohonan cerai adalah dari isteri. Ia bukanlah berkaitan dengan keganasan rumah tangga, tetapi si suami yang meninggalkan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Suami tidak mampu menjadi seorang pemimpin yang mampu memimpin keluarganya ke arah jalan yang seharusnya ia bawa. Sungguh, ini satu kerugian yang besar di Aceh.
Apalah gunanya jika sebuah keluarga tidak ada yang memimpin.
Ia bukan soal kasih sayang, ia soal kemanakah hala tuju.
Mereka mencari bahagia, bukan celaka.
Semoga kita (lelaki) dikalangan orang yang bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.
Abdullah Hakimi
25 Jun 2013
Blang Krueng,
Aceh Besar.
Saya sedang memanaskan jari-jari saya untuk kembali menulis. Semoga Allah permudahakan kembali.
Saya sedang memanaskan jari-jari saya untuk kembali menulis. Semoga Allah permudahakan kembali.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan