Rabu, 13 Februari 2013

Maryam Jameelah: Tokoh Wanita Intelektual Islam

Maryam Jameelah (23 Mei 1934-31 Oktober, 2012) adalah seorang pengarang lebih tiga puluh buah buku mengenai budaya dan sejarah Islam. Beliau adalah suara wanita terkemuka Islam konservatif dan fundamentalis, dan dikenali melalui tulisan-tulisan beliau yang banyak mengkritik menenai dunia Barat.

Nama asal beliau adalah Margret Marcus yang dilahirkan di New York dari keluarga berketurunan Yahudi. Beliau mendalami agama Yahudi dan agama lain semasa di alam remaja, sebelum beliau memeluk agama Islam pada tahun 1961 dan berhijrah ke Pakistan.

Beliau telah mendapat pendidikan di Amerika yang bercorak sekular di sekolah awam setempat. Beliau merupakan seorang pelajar yang cerdik dan bijak. Beliau kemudiannya menjadi seorang ahli intelektual yang gigih serta ahli bilografi yang luar biasa dan sering membawa buku di sampingnya. Pembacaannya diluar keperluan-keperluan kurikulum sekolahnya. Ketika beliau memasuki zaman remaja, beliau seorang yang sangat serius berfikir serta mengkritik cara berfikir yang sempit. Ini merupakan suatu perkara yang ganjil bagi seorang gadis yang muda sepertinya. 

Minatnya yang utama adalah bidang Agama, Falsafah, Sejarah, Antropologi, Sosiolagi dan Biologi. Perpustakaan sekolah, serta perpustakaan awam setempat dan kemudiannya Perpustakaan Awam New York menjadi rumahnya yang keduanya.

Selepas memperoleh kelulusannya dari sebuah sekolah menengah di musim panas tahun 1952, beliau telah memasuki Universiti New York di mana beliau mengikuti program kesenian umum. Semasa di universiti beliau telah diserang penyakit yang serius pada tahun 1953. Penyakitnya itu telah menjadi bertambah berat hingga beliau terpaksa menghentikan pengajiannya dua tahun dan kemudiannya tidak dapat menamatkan pengajiannya tanpa memperolehi sebarang diploma.

Beliau telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta dan awam selama dua tahun (1957-59). Hanya setelah beliau keluar dari hospital itulah baru beliau menyedari kebolehannya dalam bidang penulisan. Terjemahan kitab Al-Quran oleh Marma-duke Picktthall dan dua buah buku karangan ulama Muhammad Asad, iaitu sebuah autobiographic berjudul, “Jalan Ke Mekah” (The Road To Mecca) dan “Islam Di Persimpangan Jalan” telah membuahkan minatnya terhadap Islam. 

Setelah berutus-utus surat dengan dengan beberapa orang tokoh Islam di negara-negara Islam serta setelah membuat hubungan muhibbah dengan beberapa orang saudara baru Islam di Kota New York, beliau telah memeluk Islam di bangunan  Islamic Mission di Brooklyn, New  York. Ia disaksikan oleh Sheikh Daoud Ahamad Faisal yang kemudiannya telah menukar namanya  dari Margaret Marcus kepada Maryam Jameelah.

Semasa berutus-utus surat secara gigih dengan kaum Muslimin di seluruh dunia dan membaca sambil menyumbangkan hasil karyanya kepada sebarang majalah Islam yang berbahasa Inggeris, Maryam Jameelah pun telah diketemukan dengan tulisan-tulisan Maulana Sayyid Abul Ala Maududi. Semenjak November 1960, mereka pun mulalah berbalas-balas surat saban masa. 

Pada musim bunga 1962, Maulana Abul A'la al-Maududi telah menjemput beliau berhijrah ke Pakistan dan tinggal sebagai salah  seorang ahli keluarganya di  Bandar Lahore. Maryam Jameelah telah menerima jemputan itu dan pada tahun kemudiannya  dia berkahwin dengan Mohammad Yusof Khan, seorang pekerja sepenuh masa untuk Jama’at el-Islami yang kemudiannyan menjadi penerbit utama semua buku karangannya. Beliau kemudian menjadi ibu kepada empat orang anak, hidup bersama madunya serta anak-anaknya di sebuah rumah besar beserta ipar-iparnya. Suatu hal yang luar biasa bagi seorang wanita yang telah berumah tangga, dia terus menulis sebagai melanjutkan minat intelektualnya. Sesungguhnya karya-karyanya yang terpenting telah ditulisnya semasa atau di antara masa beliau mengandung. Beliau amat mematuhi pakaian purdah atau burkah.

Kebenciannya terhadap fahaman tidak bertuhan (Ateism) dan materialisme (materialism) dalam pelbagai bentuknya baik dahulu mahupun sekarang sangat kuat dan tidak pernah berkurang. Dalam usaha penyelidikannya yang tidak mengenal penat dan lelah, beliau meletakan Islam sebagai satu jawapan yang paling tepat dan wajar terhadap Kebenaran Mutlak yang merupakan satu-satunya sahaja yang dapat member erti, petunjuk, tujuan serta nilai kepada soal hidup dan mati.

Berikut adalah karya-karya beliau:
  1. ISLAM VERSUS THE WEST
  2. ISLAM AND MODERNISM
  3. ISLAM IN THEORY AND PRACTICE
  4. ISLAM VERSUS AHL AL KITAB PAST AND PRESENT
  5. AHMAD KHALIL
  6. ISLAM AND ORIENTALISM
  7. WESTERN CIVILIZATION CONDEMNED BY ITSELF
  8. CORRESPONDENCE BETWEEN MAULANA MAUDOODI AND MARYUM JAMEELAH
  9. ISLAM AND WESTERN SOCIETY
  10. A MANIFESTO OF THE ISLAMIC MOVEMENT
  11. IS WESTERN CIVILIZATION UNIVERSAL
  12. WHO IS MAUDOODI ?
  13. WHY I EMBRACED ISLAM
  14. ISLAM AND THE MUSLIM WOMAN TODAY
  15. ISLAM AND SOCIAL HABITS
  16. ISLAMIC CULTURE IN THEORY AND PRACTICE
  17. THREE GREAT ISLAMIC MOVEMENTS IN THE ARAB WORLD OF THE RECENT PAST
  18. SHAIKH HASAN AL BANNA AND IKHWAN AL MUSLIMUN
  19. A GREAT ISLAMIC MOVEMENT IN TURKEY
  20. TWO MUJAHIDIN OF THE RECENT PAST AND THEIR STRUGGLE FOR FREEDOM AGAINST FOREIGN RULE
  21. THE GENERATION GAP ITS CAUSES AND CONSEQUENCES
  22. WESTERNIZATION VERSUS MUSLIMS
  23. WESTERNIZATION AND HUMAN WELFARE
  24. MODERN TECHNOLOGY AND THE DEHUMANIZATION OF MAN
  25. ISLAM AND MODERN MAN

Tiada ulasan: