Berbicara tentang Falsafah Islam tidak terlepas dari hal-hal yang berkaitan dengan falsafah secara umum. Kalau istilah di Indonesia, Falsafah dikenali atau disebut sebagai 'filsafat'. Berfikir merupakan hasil usaha manusia untuk memberi manfaat dan kebaikan di alam ini. Akan tetapi berfikir secara falsafah dalam berfikir bebas dan mendalam yang tidak dipengaruhi oleh cara berfikir dari filosof-filosof Yunani. Oleh itu, alangkah baiknya kita sebelum kita mengenali Falsafah Islam, kita mendalami dahulu apa itu Falsafah secara umum.
Pengertian Falsafah
Akal merupakan pemberian dan nikmat yang istimewa diberikan oleh Allah swt kepada manusia. Jadi, sifat akal bagi manusia adalah keingin-tahuan segala sesuatu termasuk dirinya sendiri. Dan perlu diketahui, pengetahuan manusia bukanlah dibawa sejak lahir lagi kerana pada ketika itu, manusia masih belum memiliki fungsi akal yang sempurna dan tidak mengetahui apa-apa.
Perlu diketahui, pengetahuan itu terbahagi kepada dua:
- Pengetahuan yang bukan hasil usaha aktif manusia
- Pengetahuan yang hasil usaha dari manusia itu sendiri.
Pengetahuan yang pertama diperoleh berdasarkan wahyu dari Allah swt melalui al-Quran dan utusan-Nya dan yang kedua melalui indera dan akal. Pengetahuan kedua ini disebut terbahagi kepada tiga bentuk:
- Pengetahuan Indera (Pengalaman sehari-hari)
- Pengetahuan Ilmu Sains (Pendekatan Ilmiah)
- Pengetahuan Berfikir (Falsafah: melalui proses berfikir dalam mencari hakikat sesuatu secara sistematis.)
Falsafah ialah satu disiplin ilmiah yang mengusahakan kebenaran yang umum dan asas. Perkataan falsafah dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab فلسفة yang juga berasal daripada perkataan yunani philosophia, yang bermaksud "cinta kepada hikmah". Secara umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
- Merupakan satu usaha pemikiran yang tuntas
- Tujuannya adalah untuk mendapatkan kebenaran
Sehingga kini, ahli-ahli falsafah masih belum mencapai kata sepakat mengenai takrifan falsafah. Malah ada yang mengatakan bahawa falsafah merupakan sesuatu yang tidak dapat ditakrifkan. Ini adalah kerana kita dapat berfalsafah tentang pengertian falsafah. Maka dengan itulah kita akan menemui pendapat yang berbeza-beza mengenai takrif falsafah di antara ahli-ahli falsafah itu sendiri. Bagi rujukan umum, di sini kita hanya mengambil satu contoh takrif falsafah daripada Drs. Sidi Gazalba:
"Berfalsafah ialah mencari kebenaran dari kebenaran untuk kebenaran, tentang segala sesuatu yang dimasalahkan, dengan berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Apabila seseorang berfikir demikian dalam menghadapi masalah dalam hubungannya dengan kebenaran, adalah orang itu telah memasuki falsafah. Penuturan dan uraian yang tersusun oleh pemikirannya itu adalah falsafah."
Dengan penjelasan di atas , dapat kita membuat kesimpulan bahawa , dengan berfikir falsafah, ia mengandung ciri-ciri rasional, sistematik, menyeluruh (universal), mendasar (radical). Pada dasarnya berfikir falsafah ia berusaha untuk menyusun suatu sistem yang rasional dalam rangka mengetahui sesuatu termasuk diri kita sendiri. Suatu sistem falsafah harus bersifat komprehensif. Oleh kerana itu, tidak ada satupun di luar jangkauan. Seorang filosof atau pemikir dalam mencari kebenaran atau hakikat segala sesuatu harus di nyatakan dalam bentuk umum dan menyeluruh. Dalam erti kata yang lain, dalam falsafah, tidak boleh ada satu sisi pun yang tertinggal. Begitu juga dengan ciri falsafah yang berikutnya, mendasar. Ilmu sains hanya sebatas pengalaman empiris dan hasil penelitian sedangkan falsafah mengkaji lebih jauh dari itu. Jadi tidak ada batas dan sempadan dalam berfikir.
Jujun S.Suriasumantri menambahkan lagi satu lagi karekteristik dalam bidang falsafah, iaitu spekulatif. Spekulatif adalah dasar bagi sains (ilmu) yang hanya bersifat sementara, yang kemudiannya harus dibuktikan secara empiris dengan menggunakan pendekatan ilmu atau sains. Agaknya ciri inilah yang memisahkan antara pengetahuan bagi falsafah dan pengetahuan sains.
Walaupun falsafah menjadikan spekulatif sebahagian dari ciri-cirinya, namun perlu di ingat, berfikir secara falsafah bukan bererti ia berfikir secara berteka-teki atau mereka-reka dengan tidak ada aturan. Akan tetapi dalam analisis dan pembuktian akan tetap diketahui dan di tetapkan di mana spekulatif yang benar dan yang mana spekulatif yang salah atau tidak logik.
Sementara itu, kebenaran hasil kajian keilmuan dan sains harus dapat dikaji semula oleh saintis-saintis untuk mendapatkan hasil yang baru. Jika tidak dapat menemukan hasil yang baru, maka penemuan seperti itu tidak dapat ditawarkan oleh para saintis yang lain dan di anggap tidak ada.
Objek Kajian Falsafah
Objek kajian falsafah terbahagi kepada tiga bahagian utama:
- al-Wujud atau Ontologi
- al-Ma'rifat atau Epistemologi
- al-Qayyim atau Aksiologi
Ontologi-membahas sesuatu yang ada (al-manjudat). Ia membahas sesuatu yang wujud dan ada. Dalam falsafah, 'yang mungkin' ada pun termasuk di dalam perbahasan ontologi.
Pada umumnya, perbahasan ini terbahagi kepada dua bahagian: yang pertama disebut sebagai fizik dan yang kedua disebut sebagai metafizik. Bidang fizik membahas tentang sesuatu yang terlihat dari pandangan kasar manusia, iaitu manusia, alam semesta dan segala sesuatu yang terkandung di dalamnya, baik benda yang hidup mahupun yang mati. Sementara bidang metafizik membahas mengenai ketuhanan atau sesuatu yang bersifat immateri atau sesuatu yang wujud tetapi tidak terlihat (ghaib).
Epistemologi-Perbahasan epistemologi lebih menyangkut mengenai hal-hal yang berkaitan dengan hakikat pengetahuan dan cara bagaimana atau dengan sarana apa pengetahuan dapat diperoleh. Pembicaraan mengenai pengetahuan ini ada dua teori. yang pertama adalah realisma dan yang kedua adalah idealisma.
Realisma berpandangan pengetahuan adalah gambaran yang asli yang terdapat di luar akal dan bersesuaian dengan kenyataan. Sebagai contoh pasu bunga. Dalam pengetahuan kita pasu bunga berbentuk seperti mana yang kita ketahui dan bersesuaian dengan apa yang di gambarkan.
Teori yang kedua, idealisma berpandangan bahawa pengetahuan adalah gambaran yang menurut pendapat atau penglihatan orang yang mengetahui. Pengetahuan menurut idealisma ini bererti tidak menunjukan kebenaran yang sebenarnya kerana -menurutnya- pengetahuan yang sebenarnya adalah mustahil.
Mengenai tentang cara-cara untuk memperoleh pengetahuan pula ada dua teori:
- Emperisma (Pengalaman)
- Rasionalisma (Logik akal)
Emperisma menganggap bahawa pengetahuan diperoleh melalui perantaraan pancaindera. Alat-alat inilah yang yang memperoleh kesan-kesan dari apa yang ada di dalam dunia realti. Kesan-kesan tersebut dikumpul dalam diri manusia yang kemudian disusun dan diatur menjadi pengetahuan.
Manakala teori yang kedua di sebut sebagai rasionalisme mengganggap bahawa hanya akal saja yang boleh memperoleh pengetahuan. Diakui bahawa pancaindera memang di perlukan dalam mendapatkan data-data atau hasil, tetapi untuk menghubungkan satu data dengan data yang lainnya memerlukan sekali akal fikiran. Jika hanya bersandarkan kepada pancaindera sahaja, maka manusia tidak mampu menafsirkan proses alamiah yang terjadi di alam semesta ini. Jadi secara kesimpulan, akallah yang menyusun konsep-konsep rasional yang di sebut sebagai pengetahuan.
Aksiologi-Pembahasan aksiologi berhubungan dengan hakikat nilai. Dalam menentukan baik dan buruk, maka ia di bahas dalam hal-hal yang berkaitan dengan falsafah etika atau akhlak. Dalam menentukan benar atau salah di bahas di dalam hal-hal yang berkaitan dengan falsafah logik atau ilmu mantiq. Sedangkan berbicara tentang indah atau tidak, di bahas dalam falsafah estetika.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan