Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan

Ahad, 1 April 2012

Ibrah Cinta Safura dan Khadijah


"Ah..tak habis-habis...!" sahabat saya menghempaskan surat khabar yang dibacanya di atas meja.


"Memang takkan habis..."


"Sampai bila?"

"Sampai bila-bila..."

Dia memandang wajah saya dalam-dalam. Seolah-olah memahami maksud yang tersirat dalam saya memberikan jawapan kepadanya.

"Sampai mereka sedar yang itu sebahagian dari tanggungjawab mereka..."

Saya mengambil cawan dan meneguk sedikit teh. Masih terasa hangat. 


"Eh... awak ni tak tahu ke? Ini zaman moden. Zaman edan. Mana ada perempuan yang duduk di rumah sekarang. Semuanya keluar untuk membantu keluarga masing-masing. Bantu suami dalam mencari nafkah buat keluarga." 

Sahabat saya mula mengerutkan dahinya. Ya, saya tahu benar dirinya sentiasa merisaukan keadaan kerosakan masyarakat yang terjadi sekarang.


"Kalau benar mereka keluar mencari nafkah, kenapa banyak kes penceraian sekarang? Adakah tidak memahami tanggungjawab seorang suami dan isteri?" tanya saya.

"Yang menjadi mangsa adalah anak-anak." sambung saya lagi. 

"Apalah erti cinta sekarang ini ye? Dah banyak sangat kejadian seperti ini berlaku. Belum lagi kita lihat pemuda pemudi di dalam negara kita sekarang ini. Kebanyakkannya rosak. Dalam paper, tiap-tiap hari ada berita jenayah itu ini, rogol, buang bayi, kanak-kanak hilang, cerai. Tak habis-habis..."

"Memang takkan habis..."



"Awak ni, tak habis-habis..tak habis- habis. Awak tak terfikir ke bagaimana nak menyelesaikannya?"

Saya kembali menghirup air teh, meletakkan kembali di atas meja. Saya memandang beliau dengan pandangan yang mendalam. Agak tertarik dengan diskusi yang di buka. Agak mencerahkan minda untuk cari jalan penyelesaian. 

"Mulakan dengan diri sendiri..."

"Maksudnya?"



"Ya, mengubah menjadi lebih baik. Semua itu memerlukan masa. Kita perlukan ilmu. Sesudah memiliki ilmu, barulah kita mengamalkannya. Dan akhirnya kita memberi."

"Haish, berfalsafah pula awak ni. Direct to the point je."

"Semua itu perlukan proses, kita perlu mencari ilmu, sesudah memilikinya, kita beri pula pada orang yang memerlukan. Kita mulakan dengan diri kita sendiri, jadi kita sudah ada ilmu, kita serapkan dan berikan kepada keluarga kita dan seterusnya kepada masyarakat."

"Jadi, apa yang awak nak sampaikan sebenarnya?"

"Ibu bapalah yang mencorakkan anaknya. Dan sesebuah keluarga itu merupakan salah satu dari institusi kemasyarakatan. Kalau awak kata masalah masyarakat ketika ini, perempuan keluar bekerja di luar, bagi saya tiada masalah. Kita ada contoh." 

"Contoh? Siapa? Eh.. ada ke contoh perempuan yang bekerja di luar?"

Ada....Safura, Isteri Nabi Musa dan Khadijah, Isteri Nabi Muhammad." Saya tersenyum. Ilmu yang saya miliki, saya cuba men-transfer kepada orang lain. Moga Allah yang menilainya nanti.

"Ye ke?" Sahabat saya mula menggaru-garu kepala.

Saya mengangguk. Senyum. 

"Eh...tunggu, tunggu, tunggu... Apa kaitannya dengan Safura dan Khadijah dalam hal ni?"

"Safura isteri Nabi Musa itu, yang suaminya berdepan dengan Raja Fir'aun tu..juga ayahnya seorang nabi bernama Syuaib, beliau bekerja sebagai pengembala kambing. Khadijah pula boss kepada syarikat perniagaannya. Dan kedua-duanya pastilah hidup bermasyarakat."

Saya meneguk teh hangat tadi. Sudah hilang rasa panasnya. Memandang sahabat saya itu, pastinya beliau menunggu penjelasan yang seterusnya.

Gambar Ihsan dari Nieyza Mustapha, UTP Seri Iskandar.

"Cuba kita fikirkan semula, Musa setelah keluar dari Mesir, menuju ke Madyan, bertemu dengan Safura di persimpangan hidupnya, lalu bekerja dengan keluarga Syuaib dengan menjadi pengembala kambing. Dan Muhammad pula bekerja dengan tauke atau boss syarikat perniagaan milik Khadijah. Cerita cinta Safura dan Khadijah boleh di jadikan iktibar untuk wanita zaman sekarang."

"Wah.... hebat ya mereka. Betul..betul..betul. Kenapalah tak terfikir...Jadi apa yang menjadi key pointnya?"

"Mereka mencari cinta yang mereka yakini lelaki itu adalah hebat, kuat dan amanah. Allah telah merakamkan kisah cinta Safura dan Musa di dalam surah asy-Syu'ara. Ketika itu Safura meminta kepada ayahnya supaya mengambil Musa sebagai pekerja kerana beliau yakin Musa adalah orang yang hebat, kuat dan amanah."

"Eh...bagaimana Safura tahu yang Musa tu baik dan sebagainya. Kan Safura tak kenal Musa tu siapa? Sangat-sangat bahaya kalau jumpa orang asing macam tu bagi perempuan."



"Di dalam sirah Nabawiyyah, dijelaskan oleh Ibnu Katsir, Musa membantu Safura dan saudaranya mengangkat penutup telaga sendirian. Dan mereka juga ada bertanyakan beliau ini siapa dan Musa mengaku yang beliau adalah seorang musafir. Jadi Safura mengetahui yang Musa adalah seorang pengembara kerana beliau tidak pernah melihat Musa di negeri itu. Maka Safura menjemput Musa datang kerumahnya untuk menemui bapanya. Sewaktu dalam perjalanan, Safura dan saudaranya berjalan di depan, lalu Musa meminta kepada mereka agar biar saja beliau jalan di depan dan hanya menunjukkan arah mana yang perlu dia ikuti. Bukankah itu sebaik-baik cerita? Musa menjaga diri dengan menjaga pandangannya dan hatinya. Maka pastilah Safura terkesan dengan perilaku yang di tunjukan oleh Musa."

"Wah, Musa menunjukkan teladan yang baik. Patutlah Safura jatuh cinta padanya."

"Bukan itu sahaja, kita harus menyelidiki siapa yang menjadi tulang belakang Safura sendiri. Bukankah ayahnya seorang Nabi? Pastilah Safura dididik dengan akhlak yang mulia sebagai seorang wanita."

"Baru saya tahu, hebat juga ya analisis awak ni. Maknanya kalau Khadijah pula, melihat perilaku Muhammad itu persis sama dengan apa yang di pandang oleh Safura lah ye?

"Ya..Safura dan Khadijah bukan sembarangan orang, mereka adalah orang yang berilmu dan mulia di mata masyarakat di zamannya."

"Kalau Khadijah siapa yang mendidiknya menjadi wanita yang berilmu?"

"Pastilah bapa saudaranya, Waraqoh Bin Naufal."

"Eh...ye ke?"

Saya mengangguk membenarkan.

"Masakan tidak, sewaktu Muhammad pertama kali menerima wahyu, beliau ketakutan lalu Khadijah menyelimutinya. Tidak beberapa lama setelah itu, siapa saja yang tahu tentang hal itu melainkan Khadijah membawa suaminya berjumpa dengan Waraqoh Bin Naufal. Siapa beliau sehinggakan Khadijah membawa suaminya berjumpa dengannya? Dia adalah seorang yang buta tetapi beliau menghafal Injil dan tahu tentang selok belok agama Nasrani. Bahkan, Waraqoh mengakui bahawa Muhammad ada utusan Allah yang di janjikan sebagai Nabi penutup. Bermakna Waraqoh adalah seorang yang berilmu. Dan pastilah sedikit sebanyak Khadijah mengetahui tentang hal-hal kenabian."

"Bermakna untuk melahirkan sebuah masyarakat yang hebat adalah bermula pada diri sendiri setelah itu keluarga dan akhirnya akan lahirlah masyarakat yang mulia kerana ilmulah ya?"


"Ya...lihat saja anak Nabi Syuaib, Safura..lihatlah anak Muhammad, Fatimah. Bukankah mereka ini orang yang berilmu? Dan juga mereka juga turun ke dalam kemasyarakatan? Bila ada ilmu, Insha Allah, aman dunia. Jadi masyarakat kita memerlukan ilmu, mengamalkan lalu memberi atau kongsikan kepada orang lain, yang pada akhirnya bermanfaat kepada dirinya sendiri. Cuma kita perlu kembali pada asal, apa tujuan kita hidup, untuk apa kita hidup dan kemana kita akan hidup. Semuanya akan dipertanggungjawabkan kelak."

Saya melihat teh hangat saya sudah habis. Tak sedar masa sudah dinihari. Masa rehat pun habis. Alhamdulillah, waktu yang lapang diguna untuk memberi manfaat kepada manusia yang lainnya.

"Insha Allah, sama-sama kita perbaiki masyarakat dengan ilmu. Bermula dengan diri sendiri dengan mencari lalu memilikinya, dan berikanlah kepada yang memerlukan. Lebih-lebih lagi keluarga kita."

"Insha Allah...Insha Allah...Insha Allah...you'll fine the way~" Nada dering Maher Zain berbunyi..

"Assalamualaikum! Kimi! Hang ada kat mana?" Suaranya jelas dalam telefon.

"Waalaikumussalam... Ada kat bilik, kenapa? Aku call hang, tak dapat-dapat. Mana pi?" Sofian yang menelefon.

"Sorry-sorry, tadi HP aku habis bateri, ni baru lepas charge. Hang datang tak kenduri Adriani QAF?"

"Laaa...aku nak pi la, aku call hang tak dapat-dapat. Nak pi sekali dengan hang."

"Laaaa...aku dah ada kat tempat kenduri ni. Dok seorang-sorang jadi batang. Cepat sikit datang. Aku dah segan nih. Dok sorang-sorang. Aku tunggu hang kat depan Puswil!"

"OK, Aku datang sekarang."

Tut...tut...tut....

Hilang diskusi ilusiku bersama sahabatku. Di sirna hilang lantaran terbayang makanan kenduri. Perut lapar berbunyi-bunyi. Lelah pula setelah riadhah futsal bersama teman-teman. Alhamdulillah. Cinta-Nya masih berterusan untuk manusia....Moga Allah membalasnya.

---------------------------------------------
Perempuan nak cari laki kena ada ilmu juga. Bukan menunggu lelaki datang melamar! Ta'aruflah dengan sikapnya, baru engkau tahu siapa lelaki itu...^^

1 April 2012
Blangkreung, Aceh Besar

Ahad, 1 Januari 2012

Isu tentang Muzik: Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak

Ini jawapan saya terhadap mereka yang mengkritik program agama yang melibatkan Ustaz Azhar Idrus dan Zizan Raja Lawak dalam hal muzik.

Para ahli mutahaqqiq fatwa mengatakan fatwa boleh berubah mengikut masa, zaman, keadaan dan tempat. Sememangnya para ulama salafus-soleh seperti Imam Syafii melarang keras dan mengharamkan muzik, tetapi itu pada zaman beliau.

Beliau juga mempunyai fatwa yang lama dan baru, berubah mengikut keadaan dan masa. Fatwa beliau di Iraq dan di mesir, fatwa berbeza mengikut tempat, zaman, waktu.

Selaras dengan zaman sekarang, muzik merupakan salah satu uslub dalam menyampaikan dakwah, fitrah manusia suka kepada hiburan. Tokoh ulama' kontemporer merangkap presiden ulama' sedunia, Yusuf al-Qardhawi mengatakan harus tetapi ada syarat-syarat yang harus terpenuhi. Memang, yang harus di ambil perhatian adalah saddu az-zarai'e'. Tapi melihat dari kebaikan yang ada, di ambil sebagai uslub dakwah. Bukankah pada zaman nabi adanya para sahabat yang hebat di bidang syair?

Ini yang harus di ambil perhatian, kita mahu Islam itu ditegakkan, dengan cara yang bagaimana? Pastilah dengan cara yang lembut, bukan cara yang kasar atau keras. Hati manusia ini yang harus di ambil agar mereka mudah menerima Islam. Begitu juga dengan non-Muslim.

Harus di ingatkan, fatwa boleh berubah, mengikut keadaan, tempat, masa dan zaman. Jangan memandang sesuatu perkara kita taqlidkan dengan ulama' terdahulu tapi kita tidak dapat mencari penyelesaian yang berlaku pada umat Islam sekarang. Perkara yang paling penting bagaimanakah kita ingin mengembalikan manusia kepada Islam dan bagaimanakah cara yang paling sesuai dan lembut yang boleh menyebabkan hati-hati umat Islam kembali tertaut dengan Islam itu sendiri sehingga mereka menjadi seorang Muslim yang beriman.

Syukran

Ana Abdullah,
Abdullah Hakimi Bin Zanal Abidin
Banda Aceh,
1 Januari 2012

P/S:
1. Jika ada salah, tolong betulkan, saya budak baru belajar ^^
2. Ada tambahan atau perkongsian, boleh di tambahkan dan di kongsikan.
3. Insha Allah, jika ada kesempatan, saya akan menulis fatwa tentang muzik, baik ulama' salaf dan kontemporer. Jadi kalian boleh memilih dan pilih pandangan mana. Ianya terpulang.

Khamis, 18 Ogos 2011

Seusai Mentari Menyinari


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!
Alhamdulillah, Allah memberiku keringanan untukku menulis lagi. Berkisar tentang kehidupan lagi. Seusai menulis tentang Bara Cinta-Nya Badar, sedang berbaring Allah memberi ilham kepadaku untuk menjawab Gerimis di Kala Mendung. Ya! Tulisan ini kesinambungan tulisan itu.

Aku tersenyum sendirian di kala ini. Sambil mendengar lagu Dari Sujud ke Sujud. Melihat keluar jendela, awan berarak menutupi bulan purnama. Cerah. Menawan setiap kali menjadi penuh. Cemburu sang bintang di langit. Kebesaran Allah. Bulan ibarat Islam dan kegelapan langit ibarat pejuang bathil. Walaupun cahaya tidak sekuat mentari, tapi masih  memantulkan cahaya mentari! Begitulah ibarat Islam di zaman sekarang.

Melihat dan mendengar kata bisikan seorang teman~ kejap! Seorang sahabat. Halus tapi menusuk! "Pedang sakti" yang dimilikinya. Subhanallah...Sesuatu yang Allah berikan kepada beliau. Moga kekal di tangannya. Masa dan sihat merupakan keadaan dan suasana yang Allah akan berikan kepada hamba-Nya sebagai ujian yang ingin mendekatkan diri pada-Nya. Fitrahnya kita lemah. tapi tersenyumlah. Syurga menanti.

Sewaktu gerimis turun di kala awan mendung menyelimuti Bumi. Allah membuka pintu rahmat seluas-luasnya. Oleh sebab itu antara keadaan dan suasana doa yang dimakbulkan adalah sewaktu hujan. Hujan adalah rahmat untuk kehidupan.

Bara Cinta-Nya Badar


Belum terlambat untukku menulis tentang peristiwa bersejarah dalam Islam. 17 Ramadhan 1432 H. Sudah 1430 tahun perang itu terjadi. Hari ini dalam sejarah yang takkan dilupakan. 1000 orang tentera Musyrikin VS 313 tentera Muslimin. 

Sesuatu yang indah dari rasa kemenangan Islam. Sujud syukur penduduk Madinah tatkala mendengar kemenangan tentera Islam. Tidak dapat di bayangkan rasa syukur umat Islam ketika itu. Air mata kemenangan yang di raih. Tasbih dan tahmid di laungkan, memuji kebesaran Allah. Tiada siapa yang menyangka, kelompok kecil yang kurang kelengkapan perang dapat mengalahkan tentera yang 3 kali ganda besar. 

Bergegar singgahsana Mekah. Bermula rasa gempa di singgahsana Parsi. Tersentak maharaja Rom. Kemenangan Islam memecah keheningan ruang darat dan laut Bumi. Cahaya Ilahiyyah tersebar kali kedua setelah kelahiran Nabi SAW. Petanda rahmat ke seluruh alam. Malapetaka bagi kafirun dan musyrikun.

Khamis, 4 Ogos 2011

Hukum Mengadakan Demontrasi Secara Aman


Sudah hampir sebulan gerakan BERSIH 2.0 berlalu dan itu merupakan sejarah yang patut tidak dilupakan oleh rakyat Malaysia. Saya sebagai rakyat Malaysia yang berada di Nanggroe Aceh Darussalam pun merasakan tempias-tempias percikan semangat dari perarakan BERSIH ini. Sampaikan ada segelintir mahasiswa di tempat kuliah saya menanyakan hal itu kepada saya, apakah pandangan saya dalam hal itu. Rupa-rupanya mereka pun mengikuti perkembangan negeri jiran mereka. Jadi pada kesempatan ini saya ingin menulis tentang ini. Apakah hukumnya dalam mengadakan demontrasi secara aman.

Saya bukanlah mahasiswa fakulti Syariah yang lebih mendalam ilmunya tentang hukum hakam dalam Islam, tetapi ini adalah kewajiban saya seorang muslim untuk memperdalami urusan agama saya, apatah lagi ini merupakan isu antara ideologi dan agama. Apakah ini berkaitan dengan agama atau hanya sebagai propaganda dalam meruntuhkan institusi kemanusiaan. 

Tulisan ini merupakan hasil pengkajian saya (hasil penelitian dan analisis sewaktu berada di bangku kuliah) terhadap apa yang berlaku sepanjang pasca berlakunya demontrasi BERSIH 2.0. Sebelum saya bahaskan lebih mendalam, adalah lebih baik kita tahu ada apa dengan BERSIH. Anda boleh klik di sini

Ahad, 10 Julai 2011

Hukum Demontrasi BERSIH 2.0-Antara Mengharamkan dan Mengharuskan

PENDAHULUAN

Ini adalah penulisan separa ilmiah untuk menjawab beberapa pandangan yang dirasakan kurang tepat tentang hukum berdemontrasi. Ia merujuk kepada usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat dan beberapa NGO untuk mengadakan demontrasi yang dipanggil “BERSIH” untuk mencapai matlamat yang telah digariskan. Tulisan ini bertujuan sebagai bahan perbincangan dalaman yang masih terbuka kepada penambahbaikan bagi memantapkan lagi tulisan ini.

DEMONSTRASI
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi empat mentakrifkan demonstrasi seperti berikut:
  1. Penerangan, pera­ga­an dan lain-lain tentang cara kerja sesuatu mesin, keluaran dan lain-lain.
  2. Tunjuk perasaan dgn cara berkumpul beramai-ramai, berarak dan lain-lain.[2]
LATARBELAKANG BERSIH 2.0
  1. BERSIH adalah sebuah jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil dan parti-parti politik dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil di Malaysia.
  2. Hanya menerusi pilihanraya yang bebas dan adil sahajalah, rakyat Malaysia mampu untuk menentukan nasib mereka sendiri Malaysia dan mengharapkan mereka yang menjawat jawatan-jawatan awam untuk bertindak dengan pertanggungjawaban dan berkesan. Selagimana, rakyat tidak mempunyai kuasa untuk menyingkir golongan jahat dalam pemerintahan negara, maka selagi itulah harapan untuk mendaulatkan undang-undang, melindungi hak asasi manusia, mengadakan urus-tadbir kerajaan yang baik dan menggalakkan pembangunan rakyat yang berterusan/lestari akan terus tertakluk kepada budibicara ahli politik yang mempunyai kepentingan peribadi. Matlamat utama untuk menukar kerajaan hari ini adalah merupakan kunci ‘semak dan imbang’ dalam menentang penyalahgunaan kuasa pemerintah.
  3. Adalah amat malang bagi Malaysia kerana walaupun sudah 49 tahun merdeka, ternyata Malaysia masih gagal untuk mengendalikan proses pilihanraya yang bebas dan adil. Kesimpulan ini bukan sahaja dipersetujui oleh masyarakat sivil, parti-parti politik dan pemerhati antarabangsa, malah ia juga diakui sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya. Selepas pilihanraya umum pada bulan Mac 2004 yang dihantui oleh pelbagai penyelewengan dan kontroversi yang jauh lebih serius daripada pilihanraya-pilihanraya sebelumnya, maka, beliau merasakan perlu dan setuju dengan tuntutan awam untuk menjalankan penyiasatan bebas. Namun, amat mengecewakan penyiasatan bebas tersebut akhirnya tidak dijalankan.
  4. Proses pengendalian pilihanraya yang tidak telus ini menimbulkan pelbagai persoalan khususnya persoalan terhadap kuasa mutlak badan pemerintah negara ini. Keadaan sebegini jika dibiarkan berterusan akan membawa petanda yang buruk untuk masa depan masyarakat dan boleh memusnahkan keutuhan sistem politik negara kita. Ini dapat dilihat pada negara-negara yang telah mengalaminya iaitu Thailand, Filipina dan Taiwan. Oleh yang demikian, BERSIH merasakan adalah perlu bagi semua rakyat Malaysia berganding bahu dan menggembleng tenaga untuk membawa perubahan yang menyeluruh dalam proses pilihanraya yang mendatang. Justeru, kami mencadangkan agenda perubahan jangka-panjang dan tiga sasaran kerja dengan segera.
Matlamat Jangka Panjang
  1. 5. Dalam masa jangka-panjang yang akan membatasi batas pilihanraya akan datang, BERSIH yakin dan percaya bahawa kelapan-lapan aspek ini perlu dikaji dan diperbaharui secara keseluruhannya:

A. Sistem pilihanraya
i. Adalah perlu untuk memperbetulkan ketidakseimbangan yang tinggi antara undian rakyat dan kerusi yang dipertandingkan dalam pilihanraya, dimana undi sebanyak 64% boleh diterjemahlkan kepada 91% kerusi bagi parti pemerintah. Ini adalah kerana berteraskan kepada prinsip asas ‘First-Past-The-Post’ atau ‘Yang-Pertama-Melepasi-Tiang’ dan juga manipulasi menerusi pembahagian kawasan pilihanraya yang bericirikan ‘agihan-timpang’ dan ‘curang’ atau ‘tipu-belit’;
ii. Adalah perlu untuk memperkenalkan satu sistem yang menyenaraikan semua perwakilan parti, supaya jumlah minima 30% perwakilan wanita di parlimen terjamin;
iii. Adalah perlu untuk memperkenalkan semula pilihanraya tempatan dengan sistem pilihanraya yang lebih adil, termasuk memberikan ruang yang lebih kepada penglibatan wanita dan kelompok terpinggir dalam masyarakat.

B. Pentadbiran pilihanraya
i. Adalah perlu untuk merubah Suruhanjaya Pilihanraya sekarang yang ternyata gagal untuk bertindak sebagai sebuah institusi yang bebas dengan bergerak ke arah struktur perwakilan pelbagai parti sebagaimana yang dipraktikkan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi;
ii. Memperuntukkan undang-undang yang berkaitan dengan hak pemerhati-pemerhati antarabangsa dan tempatan.

C. Penamaan calon dan parti – bahawa ketimpangan ini mesti diperbetulkan
i. Kuasa berasaskan budibicara yang diberikan kepada Pendaftar Pertubuhan menyebabkan keputusan berkaitan pendaftaran dibuat secara sewenang-wenangnya. Ini dapat dilihat dalam kes Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Malaysian Dayak Congress (MDC);
ii. Keputusan berat sebelah dan sewenang-wenang oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya yang akhirnya menggugurkan kelayakan calon-calon pembangkang adalah tidak adil;
iii. Klausa kontroversi yang membenarkan calon menarik diri selepas penamaan yang akhirnya membawa kepada pertuduhan rasuah dan kemenangan tanpa bertanding yang menyangsikan;
iv. Wang deposit pilihanraya yang tertinggi di dunia yang secara langsung menghalang penyertaan warga Malaysia yang kurang sumber kewangannya, termasuk golongan wanita dan beberapa kumpulan terpinggir dalam masyarakat.

D. Kempen pilihanraya – peruntukan undang-undang bagi perkara-perkara berikut
i. Menetapkan satu tempoh berkempen wajib yang jauh lebih panjang daripada tempoh 8 hari berkempen dalam pilihanraya lepas yang nyata tidak bermakna langsung;
ii. Memberikan hak kebebasan bersuara dan berkumpul yang sebenar-benarnya sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia;
iii. Pengawalan secara berkesan dan menyeluruh dalam proses pembiayaan kos untuk berkempen untuk membendung amalan rasuah;
iv. Pertimbangan untuk mengadakan pembiayaan awam bagi kos berkempen kepada parti-parti politik khususnya bagi calon wanita, kumpulan-kumpulan terpinggir dalam masyarakat dan latihan yang mesra gender.

E. Media
i. Merombak undang-undang yang sedia ada yang telah membolehkan media cetak dan penyiaran dimonopoli oleh para proksi Barisan Nasional;
ii. Peruntukan undang-undang bagi membolehkan semua parti politik mendapat akses atau capaian percuma kepada TV dan radio awam serta akses secara adil (percuma atau berbayar) kepada media swasta;
iii. Peruntukan undang-undang bagi menjamin hak semua parti politik dan calon untuk menjawab segala bentuk tuduhan dan kritikan ke atas mereka menerusi media.

F. Kerajaan Sementara (Caretaker government)
i. Bahawa kerajaan lama adalah dilarang sama sekali untuk membuat sebarang polisi atau keputusan berkaitan dengan pembangunan bilamana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.;
ii. Bahawa menyalahgunakan semua sumber dan instrumen negara bagi tujuan memenangi pilihanraya atau untuk kepentingan parti adalah merupakan kesalahan jenayah;
iii. Bahawa penyediaan dan penyemakan daftar pemilih perlu dibuat secara telus dan tertakluk kepada semakan kehakiman.

G. Daftar Pemilih
i. Bahawa daftar pemilih perlu dikemaskinikan dan tepat, untuk mengelakkan (i) penyingkiran dan pemindahan secara tidak sukarela para pengundi yang sah dan (ii) penyamaran dan pengundian berganda oleh ‘pengundi hantu’;
ii. Bahawa semua rakyat yang layak mengundi perlu secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

H. Pengundian
i. Melaksanakan penggunaan dakwat kekal (indelible ink) untuk menghalang pengundian berganda;
ii. Memansuhkan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi yang berada di luar negara memandangkan pertanggungjawaban dan kerahsiaan amat terancam dalam amalan semasa.

Matlamat Jangka Pendek
  1. Untuk jangka pendek, BERSIH menyeru kepada Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya, Tan Sri Abd. Rashid bin Abd. Rahman dan Datuk Kamaruzaman bin Mohd Noor untuk melaksanakan tiga pembaharuan khusus yang berkaitan dengan daftar pemilih dan pengundian sebagai langkah pertama untuk menuju ke arah pilihanraya yang bebas dan adil:
i. Penggunaan dakwat kekal (sebagaimana yang dilakukan di Indonesia dan India) untuk menghalang pengundian berganda;
ii. Pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara;
iii. Penyemakan semula daftar pemilih yang lengkap demi memastikan segala kesalahan dan ketimpangan yang sedia ada dapat dihapuskan dan menyediakan satu daftar pemilih yang sebenar-benarnya telus dan meyakinkan;
iv. Semua parti yang bertanding sepatutnya menerima akses yang sama rata kepada media yang dikawal kerajaan terutamanya TV dan radio. Iklan politik daripada semua parti mestilah diterima tanpa sebarang sikap pilih kasih. Media juga perlu memberi hak menjawab sekiranya terdapat laporan berunsur negatif yang berkaitan dengan seseorang ahli politik atau parti politik.
  1. Sekiranya BERSIH tidak melihat sebarang respon positif daripada Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihanraya berkaitan dengan agenda jangka panjang tersebut, dan terutamanya, tiga agenda pembaharuan secara segera, maka BERSIH akan berkempen di seluruh negara untuk menuntut perubahan dalam pilihanraya serta turut menggesa perletakan jawatan mereka.[3]
Selain itu, himpunan BERSIH terpaksa dianjurkan setelah semua saluran yang diusahakan oleh PAS tidak dilayan[4]. Aduan berkenaan layanan yang tidak sama rata untuk akses kepada media, persempadanan semula yang dilihat sangat jelas jelas bertujuan memenangkan Barisan Nasional, laporan pendaftaran pengundi bukan rakyat Malaysia, rasuah dan banyak lagi telah banyak dilakukan, tetapi TIADA SATU pun mendapat respon yang baik daripada pihak berkuasa. Dari itu, apa lagi pilihan yang rakyat ada selain dari meluahkan melalui demonstrasi.

Jumaat, 17 Jun 2011

10 Tokoh Sahabat Yang Dijamin Masuk Syurga 2: Umar Bin Al-Khattab

Rasulullah SAW bersabda:
"Di antara umat-umat yang hidup sebelum kalian, ada orang-orang yang diberikan ilham dan memiliki kemampuan seperti Nabi. Jika ada salah Seorang dari umatku, maka dia adalah UMAR."
******
Nama beliau adalah Umar bin Khattab, bin Nufail bin Abdul Uzza al-Quraisyi. Beliau di gelar dengan nama Abu Hafsh (bapa kepada anak singa -Hafsh: anak singa- mungkin kerana kepribadiannya yang agak keras dan digeruni) dan juga digelar sebagai al-Farouq (pemisah antara yang hak dan bathil). 

Beliau berwajah tampan, tangan dan kakinya berotot, janggutnya lebat dan suka mewarnakannya dengan warna al-hinna dan katam.Kepala bahagian depannya botak, bentuk tubuhnya yang tinggi dan besar, warna kulitnya coklat kemerah-merahan, tubuhnya yang tegap dan suaranya lantang.

Beliau adalah seorang yang terkenal dengan kepintarannyadan paling keras wataknya di kalangan pemuda-pemuda Quraisy. Beliau pandai membaca dan menulis. Sewaktu beliau masih lagi jahiliyyah, beliau selalu menjadi utusan, duta besar bagi pihak Quraisy dan beliau menjadi kebanggaan kaum Quraisy ketika itu.

Syifa' binti Abdullah mengatakan tentang Umar:
"Kalau (Umar) berbicara, perbicaraannya dapat di dengar, jalannya (beliau melangkah dengan) sangat cepat, kalau memukul orang lain pasti menyakitkan, dan dia benar-benar seorang ahli ibadah."
Sebelum beliau memeluk Islam, beliau adalah seorang yang sangat memusuhi kaum muslimin, sampai ada orang yang berkata:
"Seandainya keldai milik Umar masuk Islam, maka Ibnul-Khattab sekali-kali tidak akan masuk Islam."
Beliau memeluk Islam pada tahun keenam selepas kenabian. Dan nama beliau adalah berada di urutan yang ke-40 dari orang-orang yang mula masuk Islam. Keislaman Umar merupakan bukti dari kecintaan Allah dan pemuliaan-Nya terhadap Umar, di mana Allah mengabulkan permintaan dari Rasulullah SAW. Rasulullah berdoa:
"Ya ALLAH, kuatkanlah Islam dengan salah satu dari dua orang yang Engkau cintai, dengan Abu Jahal atau Umar bin Al-Khattab."
Ibnu Mas'ud pernah berkata:  
"Posisi kami menjadi kuat setelah Umar memeluk Islam."
Umar adalah satu-satunya sahabat yang berhijrah ke Madinah secara terang-terangan. Beliau menentang golongan Musyrik Quraisy dengan berkata:
"Sesungguhnya aku berniat untuk berhijrah, siapa yang menginginkan ibunya celaka atau anaknya menjadi yatim, maka besok, temuilah aku di belakang lembah ini!"
Akan tetapi, tidak ada seorang pun yang di antara mereka yang berani menemui Umar.

Tentang Umar, Nabi SAW mengatakan:
"Sesungguhnya Allah telah menjadikan kebenaran pada lidah dan hati Umar." (HR at-Tirmizi)
"Di antara umat-umat yang hidup sebelum kalian, ada orang-orang yang diberikan ilham dan memiliki kemampuan seperti Nabi. Jika ada salah Seorang dari umatku, maka dia adalah Umar." (HR Bukhari)
"Demi jiwaku yang berada di dalam genggamannya, sesunggunya syaitan sama sekali tidak akan membiarkanmu berjalan di suatu jalan, melainkan dia akan berjalan di jalan selain jalan yang kamu lewati." (HR Bukhari)
Sewaktu Rasulullah SAW masih hidup, beliau tidak pernah terlepas dari semua peperangan yang Rasululah ikuti. Meskipun Umar seorang yang berkarekter keras,jika dia mendengar alunan ayat suci al-Quran, beliau sering pengsan kerana takutnya pada azab neraka. Beliau sering jatuh pengsan ketika mendengar firman Allah SWT:
"Dan jelaslah bagi mereka azab dari Allah yang belum pernah mereka perkirakan." (Az-Zumar: 47)
""Pada hari ketika manusia berfiri menghadap Tuhan semesta alam." (Al-Muthaffifin: 6) 
Pendapat-pendapat Umar sejalan dengan kehendak al-Quran dalam enam masalah:
  1. Beliau pernah mengusulkan untuk membunuh tawanan perang Badar dan tidak menerima tebusan dari mereka, lalu turun ayat al-Quran yang mengukuhkan pendapatnya.
  2. Beliau pernah mengusulkan agar isteri-isteri Rasulullah mengenakan hijab (tabir), lalu turun ayat al-Quran berkenaan dengan masalah itu.
  3. Beliau pernah mengusulkan kepada Rasulullah agar Nabi tidak mensolatkan jenazah orang-orang yang munafik, lalu turun ayat al-Quran yang melarang Nabi untuk melakukannya.
  4. Beliau ada mencadangkan agar maqam Ibrahim menjadi tempat untuk melakukan solat, lalu turun ayat al-Quran yang menyuruh kaum muslimin untuk solat di tempat tersebut.
  5. Ketika isteri-isteri Nabi berkumpul kerana cemburu dengan sikap Nabi, beliau mengatakan kepada mereka: "Jika Nabi menceraikan kalian, boleh jadi Tuhan akan menggantikan isteri-isteri yang lebih baik dari kalian." Setelah itu turunlah surah at-Tahrim yang di dalamnya terdapat ayat yang menegaskan hal tersebut.
Umar adalah orang pertama yang membai'at Abu Bakar menjadi Khalifah. Beliau termasuk orang yang mengusulkan kepada Abu Bakar untuk memerangi orang-orang yang murtad. Beliau juga mengusulkan memerangi orang-orang yang enggan membayar zakat kerana negara Islam ketika itu masih dalam keadaan yang lemah. Usulan ini ditolak oleh Abu Bakar tapi pada akhirnya beliau menerima pendapat Abu Bakar.

Umar di angkat menjadi Khalifah atas pencalonan dari Abu Bakar. Hal pertama yang beliau lakukan adalah membebaskan tawanan perang ar-Riddah (perang menumpaskan golongan murtad.) Pada masa pemerintahannya, wilayah Syam, Iraq, Persia, Mesir, Burqah (Nama sebuah daerah di Libya), Tripoli bahagian Barat, Azerbajian, Nahawand dan Jurjan berhasil di taklukannya. Dan pada masa pemerintahannya juga, kota Bashrah, Kufah dan Fusthath (Cairo-Mesir) berhasil di bangun.

Beliau juga memperkenalkan matawang Dirham dengan cap "Alhamdulillah" pada satu sisinya dan sebelahnya lagi "La Ilaaha Illallah" dan "Muhammad Rasulullah". Umar adalah seorang yang sangat mengasihi rakyatnya. dan terkenal tegas kepada para pembantunya. untuk hal ini, beliau menyusun sebuah undang-undang "Min Aina Laka Hadza?" (Dimana kamu memperoleh harta ini?")

Umar seringkali melakukan pengintipan ke pasar-pasar sendirian. Beliau pernah mengatakan:
"Seandainya ada seekor Bighal (Kuda Kecil) yang tersadung di Irak, maka aku akan bertanya tentangnya."Mengapa kamu tidak membuka jalannya wahai Umar?''
Umar pernah juga mengatakan:
"Aku telah berjanji dengan diriku sendiri bahwa aku tidak akan memakan samin dan daging sehingga seluruh kaum muslimin kenyang memakan keduanya."
Beliau juga pernah mengatakan:
"Dosa yang paling di takuti oleh seorang parajurit daripada musuh"
Dalam kesempatan lain, beliau berkata:
"Hisablah dirimu sebelum dirimu di hisabkan dan timbangkanlah dirimu sebelum kamu di timbangkan. Sebab esok hari hisab akan lebih ringan bagi kamu jika hari ini kamu menghisab diri kamu. Dan bersiap-siaplah kamu bagi menghadapi hari-hari paling agung, dimana pada hari itu kamu di hadapkan kepada Tuhan-Mu, tiada satupun keadaanmu yang tersembunyi bagi Allah."
Pada masa jahiliyyah, beliau mengahwini kerabatnya sendiri, Ummu Kulthum Binti Jarwal. Setelah beliau memeluk Islam, beliau mengahwini Zainab binti Mazh'un, Ummu Kulthun binti Ali Bin Abi Thalib, Jamilah Binti Tsabit, Ummu Hakim Binti Harits, Aikah Binti Zaid, dan Subaidah Binti Harits. Beberapa orang isterinya meninggal di saat masih terjalin hubungan perkahwinan dengannya.

Beliau memiliki 12 orang anak, 6 laki-laki dan 6 perempuan. nama anak-anak lelakinya adalah, Abdullah, Abdurrahman, Zaid, Ubaidillah, Ashim dan 'Iyadh. Anak beliau yang perempuan bernama Hafsah, Ruqayyah, Fatimah, Syafiyyah, Zainab dan Ummu Walid.

Beliau adalah orang pertama yang menetapkan tahun Hijriyyah sebagai kelender Islam dan orang pertama yang digelar sebagai Amirul Mukminin. Beliau juga orang pertama yang mengumpulkan orang-orang dalam solat Terawikh, menyinari masjid-masjid di malam bulan Ramadhan, mengumpulkan orang-orang untuk solat jenazah dengan empat takbir, menghentikan pemberian zakat untuk orang-orang yang baru memeluk Islam berdasarkan hasil ijtihadnya bahawa kuasa hukumnya ('illat-nya)telah hilang, memberikan hadiah kepada orang yang menghafaz al-Quran, menjadikan urusan pengangkatan khalifah kepada orang-orang tertentu (majlis syura), menjadikan talak tiga dengan satu lafaz menjadi talak Ba'in, memerintahkan untuk mencerai wanita-wanita yang ahli kitab dan melarang mereka untuk menikahi mereka, menghukum orang yang mengejek, mengambil zakat kuda, menjadikan cukai dalam beberapa tingkatan sesuai dengan kemampuan ekonomi rakyat, menggugurkan wajib cukai kepada golongan miskin, ahli dzimmah dan kaum papa, mendirikan pengkalan-pengkalan (kem-kem) ketenteraan, menjalankan perlatihan ketenteraan, mebuka pejabat pengurusan ketenteraan, mengkhususkan beberapa tenaga kesihatan, hakim dan juru dakwah bagi para tentera, mendirikan baitul mal untuk kaum muslimin, mencetak mata wang Dirham, menetapkan pemberian khusus  bagi setiap bayi yang lahir dalam Islam, memberikan perbelanjaan kepada anak pungut yang di ambil dari Baitul mal, mengaudit kekayaan para ahli pejabat dan pegawai negara dan mengadakan undang-undang "Min Aina Laka Hadza", menyuruh untuk membunuh sekelompok orang yang bersubahat membunuh satu jiwa, menyuruh untuk membunuh kaum wanita yang bekerja sebagai dukun (paranormal), dan orang pertama merotan orang yang memalsukan cop rasmi negara.

Beliau meriwayatkan sebanyak 527 hadis dari Nabi SAW. Beliau menjabat sebagai khalifah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari. Sebelumbeliau meninggal, ia bermimpi seolah-olah seekor ayam jantan mematuknyasatu atau dua kali. patukan pertama adalah tanda datangnya ajalnya.

Umar meninggal pada tahun 23H akibat ditikam dengan sebilah pisau dari arah belakang saat beliau ingin solat Subuh oleh Abu Lu'lu Fairuz al-Farisi Al-Majusi, seorang mantan pembantu Mughirah Bin Syu'bah. Jasadnya dimakankan di samping makam Rasulullah dan makan Abu Bakar di bilik Aisyah. Ketika itu, usia beliau genap 63 tahun, sama seperti umur Nabi dan Abu Bakar meninggal dunia.

******

-Mencari di balik kepimpinan Umar yang mampu mengubah sebuah negara kecil menjadi negara yang moden dan luas-

10 Tokoh Sahabat Yang Dijamin Masuk Syurga 1: Abu Bakar As-Siddiq

Hassan Ibnu Tsabit bersyair tentang diri Abu Bakar as-Siddiq R.A:
"Jika kamu teringat dari suatu hajat tentang saudaramu yang kamu percayai, maka ingatlah apa yang diperbuat oleh Abu Bakar. Ia adalah sebaik-baik manusia, yang paling bertakwa, yang paling adil sesudah Nabi. Ia pula adalah orang yang paling menepati apa-apa yang di embankannya. Ia adalah orang kedua -setelah Nabi- yang paling terpuji di hadapan manusia, dan orang pertama yang membenarkan apa yang di bawa oleh Rasulullah."
******

Nama lengkap beliau, Abdullah Bin Uthman Bin Amir Bin Ka'ab at-Taimi al-Quraisyi. Sebelum memeluk Islam, beliau digelar sebagai Abdul Kaabah. Kemudian Rasulullah menamakan beliau dengan nama Abdullah. Ia digelar as-Siddiq (yang membenarkan), gelaran biasanya Abu Bakar dan selain itu, beliau juga digelar sebagai al-Atiq (yang membebaskan).

Beliau lahir di Mekah dua tahun beberapa bulan selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ia berkulit putih, kurus, matanya cengkung, badannya bungkuk, rambutnya lebat, suka menyemir (mewarnakan) rambutnya dengan bahan pewarna al-hinna dan katam.

Beliau adalah lelaki yang pertama sekali beriman kepada Rasulullah. Tentang keislaman beliau, Rasulullah SAW bersabda: 
"Tidak ku ajak seorang pun yang masuk Islam melainkan ia ragu dan bimbang kecuali Abu Bakar. Ia tidak ragu dan bimbang ketika ku sampaikan kepadanya. (HR. Ibnu Ishaq)
Beberapa orang sahabat Islam di tangan beliau. Antara mereka adalah Zubair Bin Awwam, Uthman Bin Affan, Abdurrahman Bin Auf, Sa'ad Bin Abi Waqqas, Thalhah Bin Ubaidillah, dan Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah. Mereka semua adalah orang-orang yang mendapat jaminan dari Rasulullah SAW masuk ke dalam Syurga. Beliau juga adalah salah seorang yang dijamin masuk ke Syurga.

Beliau pernah memerdekakan tujuh orang hamba dan mereka semua pernah di siksa kerana memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Mereka adalah Bilal Bin Rabah, Amir Bin Furaihah, Zunairah @Zinnirah, Nahdhiyah dan puterinya, Jariyah Binti Mu'ammil dan Ummu Ubays. Rasulullah mempersaudarakan Abu Bakar dengan Kharijah Bin Zuhair.

Pernah suatu ketika, beliau bersama Nabi SAW, Umar dan Uthman menaiki ke puncak bukit Uhud. Tiba-tiba Bukit Uhud bergegar. Terus Nabi SAW berkata: 
"Tenanglah wahai Bukit Uhud,! Di atasmu ada Nabi, Abu Bakar as-Siddiq, dan dua orang saksi! (maksudnya Umar dan Uthman)" (HR Muslim)
Beliau mendapatkan gelaran as-Siddiq kerana beliau membenarkan peristiwa Isra' dan Mikraj. Tentang beliau, Nabi SAW bersabda: 
"Sesungguhnya tidak ada seorangpun di antara manusia yang sanggup mengorban akan diri dan hartanya kerana aku Selain dari Abu Bakar Bin Abi Quhafah. Sekiranya aku ingin mengambil seorang kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku. Akan tetapi persaudaraan dalam Islam lebih utama. Hendaklah kalian menutup semua pintu masjid ini kecuali pintu Abu Bakar." (HR Bukhari)
 Dalam Sirah Nabawiyyah dan mana-mana sirah yang menceritakan tentang Hijrah Nabi SAW ke Madinah, Abu Bakar adalah teman sepanjang perjalanan. Allah SWT merakamkan sejarah ini di dalam al-Quran, surah at-Taubah: 40:
"Dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada di alam gua (gua Tsur)."
Selama peperangan yang terjadi sewaktu Rasulullah masih hidup, beliau tidak pernah ketinggalan mengikutinya. 
Beliau mempunyai empat orang isteri: Ummu Ruman, Qutailah, 'Asma binti Umais, dan Habibah. Ia memiliki enam orang anak, 3 perempuan dan 3 laki-laki. Anaknya yang lelaki bernama: Abdullah, Abdurrahman, dan Muhammad. Sedangkan anak perempuan adalah Asma', 'Aisyah dan Kulthum. Aisyah Binti Abu Bakar adalah isteri yang paling Rasulullah cintai. 

Abu Bakar adalah amir yang pertama kali haji dalam Islam dan orang pertama menjadi imam solat selepas wafatnya Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah SAW wafat, kaum muslimin menjadi tidak menentu (suasana menjadi kacau). Dengan tegas, beliau menenangkan kaum muslimin dengan berkata:
"Barangsiapa di antara kalian yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati. Dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup, tidak mati."
Beliau menjadi Khalifah pada tahun 11 Hijrah, Kaum Muslimin memilihnya menjadi Khalifah pertama Rasulullah. Pidato pertamanya setelah di angkat menjadi Khalifah berbunyi:
"Aku di angkat menjadi pemimpin kamu semua, bukan bererti aku orang yang terbaik di antara kalian,. kalau aku memimpin dengan baik, maka bantulah aku. Jika aku salah, maka hendaklah kamu semua meluruskan aku. Kejujuran adalah amanah dan kebohongan adalah khianat. Orang lemah di antara kalian adalah orang yang kuat menurut pandanganku sampai aku menunaikan apa yang menjadi haknya. Orang kuat di antara kalian adalah orang yang lemah menurut pandanganku sehingga aku mengambil hak darinya."
Beliau menjabat sebagai khalifah selama dua tahun tiga bulan. Pada masa pemerintahannya, beliau berjaya mengumpulkan al-Quran, memerangi orang-orang murtad dan orang-orang yang enggan membayar zakat. Juga pada masanya dimulai perluasan dan wilayah-wilayah baru.

Beliau meriwayatkan 142 hadis dari nabi SAW. Di antaranya, Beliau pernah menyampaikan kepada Nabi:
"Ajarilah aku sebuah doa yang aku bermunajat padanya di dalam solatku." Nabi SAW bersabda: "Katakanlah, Ya ALLAH, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku dengan aniaya yang banyak, dan tidak ada yang mengampuni dosa selain engkau, maka berilah aku ampunan dari sisi-Mu dan kasihanilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih." (HR Bukhari)
Abu Bakar meninggal pada tahun 12 H dalam usia 63 tahun, sama umur seperti wafatnya Rasulullah SAW. Jasadnya dimakamkan bersebelahan dengan makam Nabi SAW di bilik Aisyah. Sebelum meninggal, ia menunjukan Umar sebagai pengganti beliau.
Ali Bin Abi Thalib berkata selepas Abu Bakar meninggal:
"Semoga ALLAH mengasihimu, wahai Abu Bakar. Kamu adalah teman rapat Rasulullah, sahabat setianya, tempat curahan hatinya, tempat menyimpan rahsianya, dan sahabat yang diajak bermusyawarah. Kamu adalah lelaki pertama yang memeluk Islam, orang yang paling tulus imannya, orang yang laing baik yang menemani Rasulullah, yang paling banyak kelebihannya, yang paling mulia di masa lalu, yang paling mulia kedudukannya, yang paling tinggi darejatnya, dan yang paling mirip dengan Rasulullah SAW dalam hal petunjuk dan jalan-Nya. Allah menamaimu dalam kitab-Nya dengan nama siddiq. Allah berfirman: "Orang yang membawa kebenaran dan membenarkannya, mereka itulah orang yang bertakwa" (Az-Zumar: 33). Orang yang membawa kebenaran ialah Muhammad dan membenarkannya adalah Abu Bakar. Kamu adalah orang yang paling dermawan di kala orang lain bersifat kikir. Kamu telah menemani nabi menghadapi berbagai kesulitan di kala orang lain berdiam diri. Kamu telah menemani Nabi dengan setia di masa-masa kritis dan menggantikan beliau dengan baik dan menjalankan khilafah dengan baik."

Masih adalah sahabat yang baik seperti Abu Bakar di zaman ini... Allah~