Jumaat, 17 Jun 2011

Tuan Ibrahim: Tubuh Panel Syariah Kawal Media Perdana

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Untuk memastikan insiden penghinaan terhadap agama Islam tidak berulang, PAS menyarankan kerajaan menubuhkan satu panel khas pengawasan syariah yang berfungsi mengawal penyiaran dan memandu media perdana supaya tidak bercanggah dengan agama Islam.

Perkara itu disyorkan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berikutan insiden penyiaran karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dalam akhbar milik Umno, Utusan Malaysia yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.
“Lembaga pengawasan syariah ini bukan sahaja mengawal agar penyiaran tidak bercanggah dengan syarak, tetapi turut memandu media perdana agar setiap bahan penerbitan yang boleh merosakkan minda atau akhlak remaja dapat dikawal dan memastikan mereka untuk menyiarkan bahan penyiaran yang lebih bertanggungjawab,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya pagi ini.
Pada 15 Jun yang lalu, Utusan telah menyiarkan karikatur yang dilukis seorang yang dikenali sebagai Miki. Beliau telah membuat dua perbandingan situasi mengenai kaedah pelaksanaan hukuman jenayah rogol.
Gambar pertama yang merujuk kepada dialog antara pengadu wanita dan seorang agamawan yang berimejkan seorang alim.

Agamawan tersebut telah menolak aduan tersebut setelah wanita itu tidak mempunyai empat orang saksi walaupun ia mempunyai rakaman kejadian tersebut menggunakan telefon bimbit.

Dialog yang dikatakan menghina Islam adalah: 
“Peralatan itu tak boleh jadi saksi, sebab dia tak ada telinga dan tak ada mata! Dia hanya Besi.”
Gambar kedua pula merujuk kepada dialog di antara pengadu wanita dan seorang yang digambarkan sebagai anggota polis.

Pihak polis menerima rakaman telefon bimbit untuk dijadikan bukti aduan rogol tersebut. Dialognya berbunyi: 
“Bagus ... Alat itu pun boleh jadi bukti!”.
Kelmarin, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Nik Mat turut menyelar Utusan dengan menyifatkan akhbar milik Umno tersebut sebagai “Denmark Malaysia” kerana menyiarkan karikatur yang menghina syariat Islam.

Jana Pendapatan Sekarang!

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada akhbar Denmark yang pernah menyiarkan karikatur yang menghina Islam dengan menerbitkan kartun Nabi Muhammad memakai serban yang bentuknya mirip sebutir bom.

Bagi Tuan Ibrahim pula, beliau menyifatkan pelbagai penulisan yang tidak membantu perpaduan kaum, keharmonian masyarakat dan pengukuhan akidah yang telah berlaku dengan berleluasa sejak muktahir ini seolah-olah menggambarkan bahawa sudah tiada langsung kawalan kepada etika dan tanggungjawab sosial terhadap pemberitaan.
“Dengan adanya lembaga pengawasan syariah ini, diharap dapat membina media lebih bertanggungjawab kerana kesan penyebaran media perdana mempunyai kesan langsung kepada rakyat,” tambah beliau.
Selain itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menasihatkan pelukis karikatur dan editor Utusan Malaysia yang menyiarkan karikatur tersebut untuk meminta maaf dengan kadar segera.
“Kerana kesilapan mereka boleh dianggap sebagai satu penghinaan besar kepada hukum syarak dan juga telah mengelirukan orang ramai mengenai ajaran Islam yang sebenar dalam isu rogol,” tegur beliau.
Semalam, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi telah memberikan tempoh tujuh hari itu bermula dari tarikh karikatur berkenaan disiarkan kepada Utusan Malaysia agar memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam atas kesilapan menyiarkan karikatur yang menghina Islam itu.
“Kami memberi tempoh selama tujuh hari bermula 15 Jun supaya Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam kerana menyiarkan karikatur yang menghina Islam.
“Kami juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis kartun itu dan jika tidak akan meneruskan siri bantahan, kami akan membuat perhimpunan lebih besar bagi menyatakan pendirian kami yang tidak bersetuju dengan karikatur itu yang secara jelas menghina Islam,” katanya yang menyerahkan memorandum bantahan kepada Utusan di ibu pejabat akhbar itu.
*******
Beginilah apabila tidak faham tentang konsep dan Maqashid Syar'iyyah, dengan mudah mempersendakan al-Quran, memijak-mijak secara halus. Menganggap undang-undang itu buatan manusia yang sama tarafnya dengan undang-undang yang dibuat oleh manusia.

Tiada ulasan: