Isnin, 18 Februari 2013

Bacalah! dan Sebarkanlah!



Di dalam menjalani kehidupan sehari-hari. Pastinya ada banyak hal yang kita pelajari. Baik atau buruk, benar atau salah, suka dan duka, dan beberapa hal. Semuanya di hujungnya, kita cuba membaca hakikat apa yang terjadi dalam menjalani kehidupan kita pada hari ini. 

Firman Allah swt:



Di sini Allah swt memerintahkan kita untuk membaca. Menjadi umat yang intelektual. Dan ia menjadi salah satu syarat untuk menjadi seorang Muslim yang sebenar. 

Ayat pertama hingga ayat kelima surah al-'Alaq adalah ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui malaikat Jibril. Ia merupakan ayat perintah agar umat Nabi saw menjadi umat yang bertamadun dengan memperbanyakan ilmu pengetahuan melalui pembacaan.

Allah swt memerintahkan kita untuk membaca dengan mengingati-Nya. Kerana Allah swt lah yang menjadi sebab atas apa yang 'terhidang' yang terang dan jelas di depan mata. Allah-lah yang menciptakan segala sesuatu. Jadi Allah swt tidak terlepas dari segala hal yang berkaitan dengan ciptaan-Nya. 

Iqra!: Fikirkanlah dan Zikir!

Di dalam ayat ini, 'Iqra! (bacalah!) mempunyai erti yang sangat luas. Ia bukanlah ayat yang menunjukkan erti membaca tulisan semata-mata. tetapi ia menunjukkan sesuatu dalam erti melihat, memandang, mentadabbur, memikir, menganalisis, menstruktur, dan mengkaji. Kerana melihat dari ayat kedua, ia menjelaskan Allah swt menciptakan dari segumpal darah yang beku.


Apa kaitannya? Jika dari pandangan orientalis, mereka meragui keragaman ayat sebegini. Apa yang diperintah. Mengapa ia perlu merujuk tindakan Tuhan?

Sebenarnya, dalam ayat ini menerangkan supaya, manusia mengkaji tentang asal usul dirinya. Allah swt mengajak kita berfikir tentang hakikat diri kita. Asal usul kita yang boleh menyebabkan kita mengkaji lebih mendalam apa yang sebenarnya permaknaan arahan membaca di awal ayat. 

Iqra! ia merujuk penggunaan istilah fa'el Amr  dari penggunaan tatabahasa arab yang merujuk kepada arahan. Iqra' berasal dari kata Qara-a (Qaf-Ra-Aa) yang membawa erti baca. 'Iqra'!' diterjemahkan sebagai 'bacalah!' merujuk kepada perintah.

Jadi di sini, Allah swt mengarahkan kepada umat Islam yang menjadikan al-Quran sebagai panduan, untuk membaca agar umat ini tidak ditimpa penyakit kebodohan. Salah satu faktor terjadinya musibah, kemusnahan yang berlaku adalah disebabkan pembodohan ada di mana-mana. Punya akal, namun tidak dapat membezakan antara baik dan buruk, benar mahupun salah. Dan pada akhirnya, ia merugikan umat Islam itu sendiri.

Akibat dari pembodohan, umat Islam menjadi lemah dan mudah diperbodohkan oleh musuh-musuh Islam dan terjadilah peperangan dan perpecahan di kalangan umat Islam itu sendiri. Ada yang mengikut telunjuk musuh-musuh Islam dan ada yang masih lagi berpegang pada tali Allah swt.

Firman Allah swt: 
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (QS: ali-Imran: 103)
Erti Jahiliyyah
Dalam perspektif (pandangan) Al-Quran, “Jahiliyyah” mempunyai maksud yang berbeza daripada apa yang kita fahami daripada orientalis. Jahiliyyah sebenarnya adalah suatu sikap atau keadaan masyarakat pada umumnya yang bodoh terhadap nilai-nilai Islam, ataupun secara mudah mereka bodoh terhadap nilai perhambaan seorang manusia kepada Allah yakni akan tanggungjawab sebagai seorang khalifah Allah. Dan bilamana mereka bodoh terhadap Islam maka mereka diberi julukan “Jahiliyyah” oleh Al-Quran.
Tidak hairan apabila kita membaca karangan As-Syahid Sayyid Qutb, beliau ada menempelkan perkataan jahiliyyah pada individu, penguasa dan juga masyarakat apabila mereka tidak mengikut tata cara hidup Islam. Mereka buta atau bodoh di sebabkan tidak nampak akan jalan sebenar yang Islam tunjukkan untuk memandu hidup manusia ke arah cahaya.
Al-Quran telah menerangkan tentang sikap Jahiliyyah ini dalam beberapa tempat. Penerangan Al-Quran secara jelas mendefinisikan Jahiliyyah dengan begitu terang sekali, dengan gaya pengungkapan dan contoh-contoh yang di berikan.-Sumber (klik di sini)
Sebarkanlah Ilmu

Jadi membaca adalah salah satu jalan penyelamat Umat Islam. Jika umat Islam berilmu, maka sudah tentulah, jahiliyyah tidak melekat pada diri umat Islam dan seterusnya dapat mempertahankan Islam dari serangan musuh-musuh Islam. 

Dan apabila umat Islam berilmu, maka ingatlah bahawa Rasulullah saw mengarahkan kepada kita untuk menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain:

بَلِّغُوا عَنِّى وَلَوْ آيَةً

Sampaikan dari ku walaupun sepotong ayat.
(HR: Bukhari, Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Hibban)

Jadi, apabila kita ada pengetahuan, maka kita diminta untuk menyebarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Ia sebenarnya melatih kita untuk berkomunikasi dalam menyampaikan ilmu, meningkatkan keyakinan diri ketika berhadapan dengan manusia sehingga terjadi interaksi bertukar-tukar ilmu. Malah pada hasilnya, umat Islam menjadi umat yang bertamadun sesuai dengan identiti seorang Muslim iaitu berilmu. 

Pastikan kita adalah umat Islam yang tidak terkena penyakit pembodohan,

Jangan biarkan virus Jahiliyyah menular pada kita,

Juga pada ahli keluarga, sanak saudara, dan sahabat-sahabat anda,

Kita ibarat satu bangunan yang kukuh, 

Saling kuat menguatkan antara satu sama lain.

Tiada ulasan: