Khamis, 4 Julai 2013

Ramadhan: Visi dan Misi Kita


Ramadhan: Misi dan Visi Kita

Alhamdulillah, tinggal 5 hari saja lagi kita akan menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang dimuliakan didalam Islam, bulan yang menjadi bulan tarbiyyah bagi diri kita sebagai umat Islam. 

Ramadhan, dalam 12 bulan, hanya satu bulan saja yang diwajibkan keatas umat Islam berpuasa. Di dalamnya ada keampunan, kerahmatan dan pelepasan diri dari neraka.

Namun adakah kita menyedari bahawa apakah pada Ramadhan kali ini juga, kita masih berada di tahap yang sama seperti Ramadhan yang lalu? Hanya mengenal bulan Ramadhan itu sebagai bulan puasa, sekadar menahan lapar dan dahaga? Di malamnya kita hanya bersolat terawih di Masjid?

Ramai di kalangan kita gagal dalam memahami apakah sebenarnya misi dan visi kita sebagai seorang muslim di bulan Ramadhan ini? Kita terlepas pandang bahawa di bulan itulah, kita dapat memperbaiki diri kita lebih baik dari hari-hari sebelumnya. 

Sabda Nabi SAW maksudnya: "…maka apabila hari puasa seseorang kamu, maka janganlah dia melakukan maksiat dan janganlah dia melakukan perbuatan orang jahil (seperti berkelahi, bertegang lidah dan sebagainya). Maka jika seseorang mencacinya atau melawannya maka hendaklah dia berkata bahawa saya adalah orang yang berpuasa." (riwayat al-Bukhari).

Puasa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan diri dari melakukan hal-hal yang dilarang di dalam agama. Ia mengajarkan kita bagaimana kita mengawal diri kita. Mungkin sebelum ini, kita gagal mengawal sebahagian dari diri kita dalam melakukan hal-hal yang negatif. Tetapi setelah kita memahami erti sebenarnya berpuasa, maka seharusnya kita akan mengerti, mengapa ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. 

Sabda Rasulullah s.a.w :

“(Allah s.w.t berfirman) : Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan minum serta syahwatnya kerana-KU. Puasa (yang dia kerjakan adalah) kerana-KU. Puasa adalah untuk-KU. Sedangkan, AKU memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda kecuali ibadah puasa. Ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-KU dan (sudah tentu) AKU sendiri yang akan memberi balasannya”
(Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwaththa’, Kitab al-Shiyam – no: 603)

Rasulullah s.a.w bersabda :

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)

Untuk Ramadhan kali ini, mari sama-sama kita 'set up' visi dan misi kita, apa yang kita mahu sasarkan perubahan yang kita ingin lakukan di dalam bulan Ramadhan pada kali ini. Semoga Ramadhan pada kali ini, lebih baik dari Ramadhan sebelumnya, dan hasilnya akan berkekalan untuk jangka masa yang lama. 

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanyalah kerana Allah"

Abdullah Hakimi Bin Zanal Abidin
Exco Agama dan Kepimpinan 
PKPMI-PUSAT sesi 2013/14

Tiada ulasan: