Isnin, 2 Mei 2011

Memahami Konsep Irfani, Bayani dan Burhani Dalam Pengkajian Sirah Nabawiyyah Dan Khulafa’ ar-Rasyidin Serta Permasalahan Umat Hari ini 2

Konsep Irfani dalam Sirah Nabawiyyah- Karekteristik Periode Mekah

            Saya memulakan konsep Irfani ini bukanlah saya melangkaui apa yang telah diajarkan, tetapi menurut pandangan saya bahawa Islam itu sendiri telah dimulai dengan karekteristik pandangan Irfani. Akan tetapi pembaca lebih berhak mengatakan pandangan saya ini adalah betul atau salah. Jika betul, insha ALLAH, penulis akan mendapatkan ganjaran sebanyak dua pahala. Jika salah hanya mendapatkan satu sahaja memandangkan ini merupakan sebuah usaha dalam menyatupadukan semula umat Islam dalam mengekalkan eksistansi identiti Tamadun Islam.

            Karekteristik periode Mekah adalah proses pembinaan, penempaan dan pembangunan aspek aqidah. Seperti yang kita tahu, sebagai contoh, dalam membina sebuah bangunan, pasti kita akan menyiapkan segala keperluan serta membina dasar-dasarnya agar lebih kukuh dan kuat untuk meneguhkan pembinaan. Jadi dalam proses ini, Rasulullah SAW banyak mengajarkan bagaimana mengenal Tuhan, siapa Tuhan dan semuanya mengenai ketuhanan. Perlu di ambil perhatian, pada waktu ini, hukum syariat masih belum dilaksanakan lagi. Yang baru dilaksanakan adalah kewajiban untuk solat berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah bahawa kaum muslimin pada waktu itu, jika mahu beribadat atau solat, mereka terpaksa bersembunyi di celah-celah batu, bukit dan semak-semak, agar cara ibadat mereka tidak diketahui oleh orang lain. Ini kerana adalah mereka ingin menyelamatkan nyawa mereka dari terancam. Sesungguhnya pada waktu itu dikenal dengan zaman pra-Islam.

            Pada karekteristik periode ini, Rasulullah SAW di Isra’ Mikrajkan oleh Allah SWT sebagai sebuah Izzah kepadanya selain bagi menghilangkan kesedihannya. Pada waktu ini, orang mukmin yang sudah ditempa dan dipasakkan oleh aqidah yang kuat terus mempercayainya kerana mereka tahu bahawa ini sebuah kemuliaan bagi sang penyampai risalah daripada Tuhan Sekalian Alam.

            Jadi dalam hal yang berkaitan dengan Irfani ini adalah sesuatu hal yang tidak boleh di pertikaikan lagi walaupun menggunakan logik akal sekalipun kerana ini berkaitan dengan keyakinan dan juga kemantapan Aqidah seseorang penganut tersebut. Apabila mereka mempercayai bahawa Allah SWT itu Maha Kuasa, jadi tiada apa yang perlu dihairankan kerana itulah kuasa Allah SWT.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
“Seseorang mukmin itu diuji menurut kekuatan pegangannya kepada agama.”

Didalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Sekiranya pada agamanya kental, maka akan ditambah ujian kepadanya.”
           
            Untuk mendekatkan diri kepada Allah, mereka perlu melalui berbagai ujian daripada Allah untuk menguji dan juga untuk menempa keyakinan hati mereka bahawa Islam adalah agama yang diredhai oleh Allah SWT. Para sahabat Nabi di uji dengan berbagai siksaan dari para penduduk Musyrikin di Mekah, dipulaukan selama beberapa tahun. Dalam Surah al-Ankabut, ayat 1-3, Allah SWT menceritakan perihal keadaaan mereka:

            “Aliff Laam Miim, Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan dengan mengatakan “kami telah beriman.” Padahal mereka tidak diuji?, Dan sungguh, kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui tentang orang-orang yang dusta.”

Konsep Bayani dalam Sirah Nabawiyyah-Karekteristik Periode Madinah

            Karekteristik Periode Madinah adalah sejak Hijrah atau berpindahnya Nabi dan umat Islam di Mekah ke Madinah, jadi perubahan dimensi keadaan Islam juga bertukar. Ketika berada di Mekah, umat Islam ditindas dan disiksa segala macam siksaan. Akan tetapi ruang lingkup suasana untuk mengamalkan ajaran Islam bertukar apabila mereka berhijrah ke Madinah. Jadi ruang lingkup perbahasan dalam Islam juga semakin melebar. Bukan saja di dalam medan dakwah tetapi sudah masuk ke susur jalur pemerintahan.
            Sejarah membuktikan bahawa Madinah pada waktu itu menjadi negara Islam pertama ditubuhkan. Dan ayat-ayat diturunkan ketika itu kebanyakannya adalah berkaitan dengan hukum hakam syariah (ayat-ayat muhkamat). Nabi sebagai sumber keluarnya sesuatu hukum. Pada waktu itu juga turun perintah untuk berjihad, mengeluarkan zakat dan berbagai lagi perintah, baik secara langsung dari Allah SWT menerusi ayat-ayat yang diturunkan mahupun perintah-perintah melalui ucapan Nabi SAW.

            Nabi memerintah dengan menegakan syariat Islam, baik dengan berdasarkan kepada apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Pada masa pemerintahan Nabi SAW, beberapa kali perang dilancarkan. Ini kerana pada waktu itu, umat Islam sudahpun mempunyai negara sendiri dan mereka juga sudah mempunyai kekuatan yang mencukupi.

            Dalam konteks penerimaan hukum syariat itu, tidak terjadi permasalahan kerana yang terjadi ketika itu adalah mereka telah mantap dari sudut keimanan dan keteguhan aqidah. Jadi apa saja yang diperintahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam pada ketika itu, mereka menerima dengan tangan terbuka kerana mereka tahu Allah SWT yang menciptakan manusia, maka sesungguhnya Allah SWT tahu apa yang diperlukan oleh hamba-hamba-Nya dan tahu apa yang akan terjadi jika tiada ketetapan untuk manusia.

Konsep Burhani dalam Sirah Nabawiyyah: Karekteristik Periode Madinah dalam pembentukan Ketamadunan Islam

            Ditinjau dari persepektif Burhani, mungkin kita boleh melihat lebih teliti tentang konsep yang telah dibangun oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan sehari-hari walaupun ia bersifat mendasar tetapi ia adalah sebuah penanaman benih yang akan berkembang menjadi lebih besar untuk keperluan umat yang akan datang. Islam tidak menghalang dengan perbentukan modernisasi dan kemajuan, tetapi hendaklah diselaraskan dengan hukum alam dan syariat agar ia menjadi kemudahan dimasa umat yang mendatang.

            Antara keprofesionalan yang ditonjolkan dalam kehidupan Nabi SAW adalah dalam bidang perniagaan. Penulis mengajak pembaca cuba mengkaji dan meneliti konsep yang ditonjolkan oleh Nabi SAW sewaktu baginda menjual barang-barang dagangan milik Khadijah. Bagaimana Rasulullah SAW pulang ke Mekah dengan membawa hasil yang berganda-ganda. Adakah kerana beliau dalah calon nabi dan rasul ketika itu? Sudah tentu tidak! Kepakaran yang ditonjolkan oleh beliau bukan sahaja dari sifat amanah, jujur tetapi sifat interpersonal yang dimiliki oleh nabi membuatkan pelanggan berasa yakin dengan barang-barang yang dijual oleh nabi SAW menepati citarasa pelanggan. Teringat sebuah kata-kata pakar perniagaan: “Customer is the King!”

            Kita lihat pula dari sudut ketenteraan. Jika kita melihat secara lebih mendalam, strategi yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah berbeza dari cara peperangan orang Arab ketika itu yang sering menggunakan teknik gerila dan berundur. Kita mengambil iktibar dari perang Badar dan Uhud.

Perang Badar adalah perang yang pertama dalam Islam. Langkah pertama yang diambil oleh Rasulullah SAW adalah musyawarah dengan para sahabatnya untuk berbincang mengenai strategi yang akan dilakukan oleh mereka dalam menghadapi serangan musyrikin Mekah. Akhirnya hasil keputusan yang disepakati, mereka memilih untuk menguasai tempat yang mempunyai sumber air dan  mengambil tempat yang agak selesa. Berbanding dengan tentera Musyrikin yang tiada melakukan musyawarah dan tidak bersatu suara dalam persiapan menghadapi peperangan dan tidak mempunyai kesiapan dalam berperang walaupun bersenjata lengkap!

Perang Uhud mempunyai situasi yang berbeza dengan perang Badar. Rasulullah mengambil langkah pertama dengan mengarahkan kaum Muslimin dengan menguasai tempat yang tinggi terlebih dahulu. Di samping mempersiapkan dari segi pertahanan dan juga serangan. Kedisiplinan dalam hal ini adalah diperlukan dalam peperangan. Walaupun dalam peperangan ini seri. Dilihat dalam kehebatan strategi, kaum muslimin memperoleh kemenangan. Oleh kerana kesilapan teknikal (tidak taat kepada araham pemimpin), terjadilah beberapa perkara yang tidak diingini berlaku menyebabkan barisan kaum muslimin jadi kucar kacir.

Dilihat dari konsep kenegaraan, Rasulullah SAW banyak memainkan peranan penting dalam pembinaan penstruktran negara Islam Madinah. Struktur sosio-budaya yang tinggi dengan berbagai kebudayaan dan suku-bangsa yang bersatu di dalam negara Islam Madinah. Berbagai diplomasi dari luar datang ke Madinah untuk melihat dan merasai kebudayaan Islam yang diterapkan yang sebelum ini tidak ada dalam sejarah kenegaraan negara-negara dunia!.

 Dengan adanya perlembagaan undang-undang yang berkuat kuasa-Piagam Madinah, Ketenteraan, Kedutaan, Pusat Informasi dan sebagainya menyebabkan ia menjadi contoh negara moden baru ketika itu. Yang pastinya, moden bukanlah dilihat dari struktur pembangunan yang mantap dan tinggi, tetapi sistem pengaturan yang berkesan dalam sebuah pemerintahan terhadap sosio-geografi dalam sebuah negara.

Jadi Rasulullah SAW bukanlah “figure” yang hanya berpegang pada satu konsep sahaja malah beliau menguasai kesemua konsep yang di jelaskan sebelum ini. Adakah umat Islam tidak berbangga dengan keperibadian Rasulullah SAW. Bukankah Rasulullah juga dekat dengan Tuhan, beliau juga manusia biasa yang dikurniakan kenabian, beliau juga seorang pemimpin kaum muslimin juga negara. Jadi apakah Islam itu hanya terhad kepada satu-satu pandangan saja?

Marilah kita sama-sama merenungi ayat ini sebaik-baiknya.

“Mereka adalah orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan baring (dalam keadaan mengiring) dan (juga) mereka adalah orang yang berfikir tentang penciptaan langit dan bumi...” (QS: Ali Imran)

Selesai ditulis pada:
Sabtu, 30 April 2011
Sekolah Menengah Kebangsaan Doktor Burhanuddin,
Taiping

Tiada ulasan: