"Jika kamu teringat dari suatu hajat tentang saudaramu yang kamu percayai, maka ingatlah apa yang diperbuat oleh Abu Bakar. Ia adalah sebaik-baik manusia, yang paling bertakwa, yang paling adil sesudah Nabi. Ia pula adalah orang yang paling menepati apa-apa yang di embankannya. Ia adalah orang kedua -setelah Nabi- yang paling terpuji di hadapan manusia, dan orang pertama yang membenarkan apa yang di bawa oleh Rasulullah."
******
Nama lengkap beliau, Abdullah Bin Uthman Bin Amir Bin Ka'ab at-Taimi al-Quraisyi. Sebelum memeluk Islam, beliau digelar sebagai Abdul Kaabah. Kemudian Rasulullah menamakan beliau dengan nama Abdullah. Ia digelar as-Siddiq (yang membenarkan), gelaran biasanya Abu Bakar dan selain itu, beliau juga digelar sebagai al-Atiq (yang membebaskan).
Beliau lahir di Mekah dua tahun beberapa bulan selepas kelahiran Nabi Muhammad SAW. Ia berkulit putih, kurus, matanya cengkung, badannya bungkuk, rambutnya lebat, suka menyemir (mewarnakan) rambutnya dengan bahan pewarna al-hinna dan katam.
Beliau adalah lelaki yang pertama sekali beriman kepada Rasulullah. Tentang keislaman beliau, Rasulullah SAW bersabda:
"Tidak ku ajak seorang pun yang masuk Islam melainkan ia ragu dan bimbang kecuali Abu Bakar. Ia tidak ragu dan bimbang ketika ku sampaikan kepadanya. (HR. Ibnu Ishaq)
Beberapa orang sahabat Islam di tangan beliau. Antara mereka adalah Zubair Bin Awwam, Uthman Bin Affan, Abdurrahman Bin Auf, Sa'ad Bin Abi Waqqas, Thalhah Bin Ubaidillah, dan Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah. Mereka semua adalah orang-orang yang mendapat jaminan dari Rasulullah SAW masuk ke dalam Syurga. Beliau juga adalah salah seorang yang dijamin masuk ke Syurga.
Beliau pernah memerdekakan tujuh orang hamba dan mereka semua pernah di siksa kerana memperjuangkan dan mempertahankan Islam. Mereka adalah Bilal Bin Rabah, Amir Bin Furaihah, Zunairah @Zinnirah, Nahdhiyah dan puterinya, Jariyah Binti Mu'ammil dan Ummu Ubays. Rasulullah mempersaudarakan Abu Bakar dengan Kharijah Bin Zuhair.
Pernah suatu ketika, beliau bersama Nabi SAW, Umar dan Uthman menaiki ke puncak bukit Uhud. Tiba-tiba Bukit Uhud bergegar. Terus Nabi SAW berkata:
"Tenanglah wahai Bukit Uhud,! Di atasmu ada Nabi, Abu Bakar as-Siddiq, dan dua orang saksi! (maksudnya Umar dan Uthman)" (HR Muslim)
Beliau mendapatkan gelaran as-Siddiq kerana beliau membenarkan peristiwa Isra' dan Mikraj. Tentang beliau, Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya tidak ada seorangpun di antara manusia yang sanggup mengorban akan diri dan hartanya kerana aku Selain dari Abu Bakar Bin Abi Quhafah. Sekiranya aku ingin mengambil seorang kekasih, aku akan mengambil Abu Bakar sebagai kekasihku. Akan tetapi persaudaraan dalam Islam lebih utama. Hendaklah kalian menutup semua pintu masjid ini kecuali pintu Abu Bakar." (HR Bukhari)
Dalam Sirah Nabawiyyah dan mana-mana sirah yang menceritakan tentang Hijrah Nabi SAW ke Madinah, Abu Bakar adalah teman sepanjang perjalanan. Allah SWT merakamkan sejarah ini di dalam al-Quran, surah at-Taubah: 40:
"Dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada di alam gua (gua Tsur)."
Selama peperangan yang terjadi sewaktu Rasulullah masih hidup, beliau tidak pernah ketinggalan mengikutinya.
Beliau mempunyai empat orang isteri: Ummu Ruman, Qutailah, 'Asma binti Umais, dan Habibah. Ia memiliki enam orang anak, 3 perempuan dan 3 laki-laki. Anaknya yang lelaki bernama: Abdullah, Abdurrahman, dan Muhammad. Sedangkan anak perempuan adalah Asma', 'Aisyah dan Kulthum. Aisyah Binti Abu Bakar adalah isteri yang paling Rasulullah cintai.
Abu Bakar adalah amir yang pertama kali haji dalam Islam dan orang pertama menjadi imam solat selepas wafatnya Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah SAW wafat, kaum muslimin menjadi tidak menentu (suasana menjadi kacau). Dengan tegas, beliau menenangkan kaum muslimin dengan berkata:
"Barangsiapa di antara kalian yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati. Dan barangsiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup, tidak mati."
Beliau menjadi Khalifah pada tahun 11 Hijrah, Kaum Muslimin memilihnya menjadi Khalifah pertama Rasulullah. Pidato pertamanya setelah di angkat menjadi Khalifah berbunyi:
"Aku di angkat menjadi pemimpin kamu semua, bukan bererti aku orang yang terbaik di antara kalian,. kalau aku memimpin dengan baik, maka bantulah aku. Jika aku salah, maka hendaklah kamu semua meluruskan aku. Kejujuran adalah amanah dan kebohongan adalah khianat. Orang lemah di antara kalian adalah orang yang kuat menurut pandanganku sampai aku menunaikan apa yang menjadi haknya. Orang kuat di antara kalian adalah orang yang lemah menurut pandanganku sehingga aku mengambil hak darinya."
Beliau menjabat sebagai khalifah selama dua tahun tiga bulan. Pada masa pemerintahannya, beliau berjaya mengumpulkan al-Quran, memerangi orang-orang murtad dan orang-orang yang enggan membayar zakat. Juga pada masanya dimulai perluasan dan wilayah-wilayah baru.
Beliau meriwayatkan 142 hadis dari nabi SAW. Di antaranya, Beliau pernah menyampaikan kepada Nabi:
"Ajarilah aku sebuah doa yang aku bermunajat padanya di dalam solatku." Nabi SAW bersabda: "Katakanlah, Ya ALLAH, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku dengan aniaya yang banyak, dan tidak ada yang mengampuni dosa selain engkau, maka berilah aku ampunan dari sisi-Mu dan kasihanilah aku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Pengasih." (HR Bukhari)
Abu Bakar meninggal pada tahun 12 H dalam usia 63 tahun, sama umur seperti wafatnya Rasulullah SAW. Jasadnya dimakamkan bersebelahan dengan makam Nabi SAW di bilik Aisyah. Sebelum meninggal, ia menunjukan Umar sebagai pengganti beliau.
Ali Bin Abi Thalib berkata selepas Abu Bakar meninggal:
"Semoga ALLAH mengasihimu, wahai Abu Bakar. Kamu adalah teman rapat Rasulullah, sahabat setianya, tempat curahan hatinya, tempat menyimpan rahsianya, dan sahabat yang diajak bermusyawarah. Kamu adalah lelaki pertama yang memeluk Islam, orang yang paling tulus imannya, orang yang laing baik yang menemani Rasulullah, yang paling banyak kelebihannya, yang paling mulia di masa lalu, yang paling mulia kedudukannya, yang paling tinggi darejatnya, dan yang paling mirip dengan Rasulullah SAW dalam hal petunjuk dan jalan-Nya. Allah menamaimu dalam kitab-Nya dengan nama siddiq. Allah berfirman: "Orang yang membawa kebenaran dan membenarkannya, mereka itulah orang yang bertakwa" (Az-Zumar: 33). Orang yang membawa kebenaran ialah Muhammad dan membenarkannya adalah Abu Bakar. Kamu adalah orang yang paling dermawan di kala orang lain bersifat kikir. Kamu telah menemani nabi menghadapi berbagai kesulitan di kala orang lain berdiam diri. Kamu telah menemani Nabi dengan setia di masa-masa kritis dan menggantikan beliau dengan baik dan menjalankan khilafah dengan baik."
Masih adalah sahabat yang baik seperti Abu Bakar di zaman ini... Allah~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan