Khamis, 4 Ogos 2011

Hukum Mengadakan Demontrasi Secara Aman


Sudah hampir sebulan gerakan BERSIH 2.0 berlalu dan itu merupakan sejarah yang patut tidak dilupakan oleh rakyat Malaysia. Saya sebagai rakyat Malaysia yang berada di Nanggroe Aceh Darussalam pun merasakan tempias-tempias percikan semangat dari perarakan BERSIH ini. Sampaikan ada segelintir mahasiswa di tempat kuliah saya menanyakan hal itu kepada saya, apakah pandangan saya dalam hal itu. Rupa-rupanya mereka pun mengikuti perkembangan negeri jiran mereka. Jadi pada kesempatan ini saya ingin menulis tentang ini. Apakah hukumnya dalam mengadakan demontrasi secara aman.

Saya bukanlah mahasiswa fakulti Syariah yang lebih mendalam ilmunya tentang hukum hakam dalam Islam, tetapi ini adalah kewajiban saya seorang muslim untuk memperdalami urusan agama saya, apatah lagi ini merupakan isu antara ideologi dan agama. Apakah ini berkaitan dengan agama atau hanya sebagai propaganda dalam meruntuhkan institusi kemanusiaan. 

Tulisan ini merupakan hasil pengkajian saya (hasil penelitian dan analisis sewaktu berada di bangku kuliah) terhadap apa yang berlaku sepanjang pasca berlakunya demontrasi BERSIH 2.0. Sebelum saya bahaskan lebih mendalam, adalah lebih baik kita tahu ada apa dengan BERSIH. Anda boleh klik di sini


Mengadakan demontrasi merupakan sebahagian dari sistem demokrasi. Ini tidak bermakna di dalam Islam tidak boleh melakukan demonstrasi. Demonstrasi adalah merupakan satu bentuk pernyataan bantahan terhadap pihak yang berkuasa yang dilakukan secara berkumpulan ke atas satu-satu isu yang tidak berpihak kepada keadilan, supaya tindakan dan jalan penyelesaian segera di ambil sebaik mungkin,

Demonstrasi di dalam Islam sebenarnya adalah sebahagian daripada jihad di jalan Allah dan usaha yang serius untuk membantu saudara seagama yang dizalimi. Ia juga dilakukan bagi menuntut keadilan daripada pihak yang berkuasa sekalipun melibatkan saudara-saudara daripada kalangan non-muslim.

Demonstrasi juga sebahagian di dalam merealisasikan konsep "Amar Makruf Nahi Mungkar". begitu juga dalam memberikan nasihat kepada pihak-pihak tertentu, terutama pihak-pihak yang berkuasa. Biasanya suara seorang individu kurang berkesan berbanding dengan suara yang ramai, apatah lagi di dalam suara yang ramai itu, terdapat individu yang di hormati di dalam masyarakat. Sudah tentu suara mereka lebih mudah di dengari dan kesannya mempengaruhi. 

Allah SWT menyuruh kita sebagai umat Islam agar saling bekerjasama dan saling tolong menolong antara satu sama lain. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"....Dan tolong menolonglah kamu dalam melakukan kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong dalam melakukan dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah, sungguh, Allah sangat berat siksa-Nya." (QS: Al-Maidah: 2)
Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya seorang mukmin itu bagi mukmin yang lainnya adalah ibarat bangunan. Saling kuat menguatkan antara satu sama lain"(HR Bukhari)
Demonstrasi sebenarnya termasuk ke dalam perkara adat dan hukum di dalam perkara adat adalah harus, sebagaimana di dalam kaedah "usul segala sesuatu adalah harus." Dan ini adalah pendapat yang sahih yang di pilih oleh ijma' (majoriti) ulama dan ulama' usul. Jadi, tidak boleh mengharamkan sesuatu selagi tiada nas yang sahih lagi sarih tentang pengharamannya. Sebaliknya kewujudan nas yang lemah dari segi sanadnya dan sahih dari segi sabitnya tetapi tidak sahih dari segi kandungannya yang menunjukan haram, hukumnya kekal sebagaimana hukum asal iaitu harus.

Pendapat golongan yang mengadakan demonstrasi sebagai bid'ah adalah tertolak, kerana bid'ah yang di maksudkan ialah bid'ah di dalam perkara ibadah saja dan bukannya adat. Selain itu, demonstrasi bukanlah masalah ibadah khusus  tetapi ibadah umum. ia juga sebagai sarana dan wasilah di dalam dakwah politik dan dakwah. Sama saja dengan menggunakan internet, radio atau televisyen ketika berpolitik atau dakwah.

Dalil yang perlu ada wasilah atau sarana adalah:
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang kamu dapat sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu mush-musuh Allah  dan musuh-musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya..."
Di sini wasilah di dalam peperangan adalah pasukan berkuda bagi menggerunkan musuh-musuh. Akan tetapi dalam menyebarkan dakwah, kita di sarankan menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada bagi memudahkan penyampaian dan seruan bagi menyampaikan risalah Islam. Nabi SAW sendiri tidak menolak penggunaan teknik parit ketika perang Khandaq semata-mata kerana merupakan budaya perang dari Parsi dan bangsa arab pun belum pernah mengenali strategi itu.

Dakwaan demonstrasi berasal dari Barat adalah bukan satu alasan yang kukuh bagi pengharaman tersebut. Ia sendiri adalah suatu perkara yang harus dan orang-orang Islam pula melihat ia sebagai mendatangkan manfaat kepada diri mereka. Apatah lagi ianya sedikitpun tidak merugikan Islam. yang penting kita mengambil sesuai dengan Aqidah dan berhubungan dengan nilai-nilai syariat Islam serta ianya tidak bertentangan dengannya.

Ada dakwaan yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu dalam pengharaman demonstrasi ini adalah menggunakan dalil daripada sabda Nabi SAW:
"Sesiapa saja yang menyerupai sesuatu kaum, termasuk di dalam golongan mereka"
Sebenarnya ia hanya khusus kepada meniru perkara yang berkaitan dengan aqidah golongan kafir atau pakaian yang khusus untuk upacara mereka.

Ada juga dakwaan bahawa demonstrasi biasanya melibatkan kemusnahan harta benda milik individu dan kerajaan. Dakwaan ini tidak boleh diterima sepenuhnya kerana ada juga demonstrasi yang dilakukan secara aman tanpa merosakan dan memusnahkan harta benda awam. Sebenarnya jika demonstrasi di lakukan dengan baik dan mengikut peraturan yang di tetapkan serta kawalan ketat oleh pihak polis, patuh kepada batasan masa yang ditetapkan, insha Allah ia akan berjalan dengan baik. Ini kerana adalah tujuan di adakan demonstrasi itu adalah menuntut hak dan keadilan dan bukan bertujuan merosakan harta benda awam.

Di dalam sirah Nabawiyyah tentang sejarah awal Idtiba' (demonstrasi menunjukan kekuatan kaum muslimin pada pemimpin Quraisy) di saat tawaf. Pada bulan Zulkaedah tahun ke-7 hijrah, Nabi SAW bersama dengan para sahabat melakukan umrah-qada. ketika bertawaf di Kaabah, Nabi SAW menyuruh para sahabat bertawaf sambil berdemonstrasi mempamerkan otot tangan kanan mereka, sehinggakan kaum musyrikin kagum dengan kekuatan fizikal kaum mislimin yang sedang tawaf itu. Setelah 3 hari berlalu, kaum musyrikin berjumpa dengan Ali KWJ sambil berkata: "Tolong sampaikan kepada teman-teman anda agar segera meninggalkan kami  kerana batas waktu anda sudah habis." Cara berdemo dengan Idtiba' ini di peringati sampai sekarang dan menjadi kewajiban lelaki muslim ketika melakukan tawaf.

Tidak di nafikan semasa berdemonstrasi terkeluar umpaan, celaan, makian serta kutukan . namun tidak semua umpatan dan celaan itu di larang di dalam Islam, malah ada yang membenarkannya jika kena pada tempatnya. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang) kecuali orang-orang yang di aniayakan. Dan ingatlah, Allah sentiasa mendengar, lagi Maha Mengetahui" (QS: An-Nisa: 148)
Jangankan perkataan, bahkan tindakan pun dibenarkan oleh berdasarkan firman Allah SWT:
"Dan (jika kamu hendak membalas, maka) balasan sesuatu kejahatan itu ialah kejahatan yang bersamaan dengannya, dalam pada itu, sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang ebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim." (QS: Asy-Syura: 40)
Walau bagaimanapun terdapat 2 perkara yang perlu di raikan sebelum mengadakan demonstrasi secara aman iaitu:
  • Tidak menimbulkan kemudharatan yang lebih besar kepada agama Islam dan umatnya seperti melibatkan kemusnahan harta benda awam, pembunuhan dan seumpamanya.
  • Demonstrasi itu diyakini mendatangkan kemaslahatan kepada umat islam. Misalnya boleh memberikan kesedaran kepada pihak yang berkuasa untuk mengambil tindakan yang sepatutnya dan dapat membuktikan kepada dunia dan umat Islam masih berada di dalam keadaan yang baik, walaupun menghadapi pelbagai ujian dan cubaan.

Tiada ulasan: