Alhamdulillah, telah berlalunya Ramadhan, bulan Muhasabah, bulan rahmat dan bulan keampunan. Alhamdulillah, masuk pula bulan Syawal, bulan kemenangan dan bulan ujian selepas kemenangan. Adakah kita bersyukur ataupun masih ditakuk lama.
Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana masih lagi bertemu dengan Ramadhan, bertemu pula dengan Syawal. Masih lagi berkelip-kelip mata, masih lagi menghembus hela nafas. Sedar-sedar rupanya makin meningkat umur kita. Cuma kita masih tidak menyedari yang kita menghampiri kematian.
Allah..telah lama tidak menulis di laman ini kerana kesihatan yang agak mengganggu diri. Tidak dapat istiqomah dalam menulis. Nikmat kesihatan yang di tarik sementara. Mudah-mudahan sentiasa tersenyum mengharapkan keredhaan-Nya dan kita redha apa yang di berikan oleh-Nya. Itulah Ikhlas! (Tapi sejauh mana kita menerima kenyataan "cenderamata" dari-Nya...Fikir-fikirkanlah duhai diri!)
Berdepan dengan fenomena munafik, 'cakap tak serupa bikin'. Kita menasihati tapi kita tak ukur diri. Ya... berdepan dengan sikap berbohong. Di sangka kuat tapi lemah! Koreksi diri kemudian kenal dirimu. Bukankah amalan berbohong itu salah satu sikap dari wilayah kemunafikan!
Firman Allah SWT:
"Tiap-tiap diri yang terikat, tidak terlepas dari balasan buruk bagi perbuatan yang jahat (buruk)" (Surah al-Mutdatsir: 38)Oleh sebab itu, Islam amat menekankan tentang peng-islah-an (perbaikan) terhadap diri. Jika diri menyedari tentang hakikat nilai diri, maka seharusnya menyedari tentang kemampuan dan kekurangan diri. Jika overdos, maka terjadilah kerosakan pada diri. Akibatnya akan memberi kesan kepada keluarga dan masyarakat sekitarnya. Boleh jadi merebak dan menjadi wabak yang teruk kepada negara.
Firman Allah SWT:
"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu..." (Surah at-Tahrim: 6)Sebab itu Islam meletakan perbaikan bermula dari diri sendiri dahulu, barulah menyeru perbaikan pada orang lain. Pepatah arab mengatakan:
"Orang yang tidak memiliki apa-apa, tentu tidak akan dapat memberikan apa-apa"Kebanyakan orang yang menyeru -dai'e-, mereka hanya berbicara dengan yakin! Mereka hanya berbicara dengan bahasa yang menyentuh jiwa. Tapi sebenarnya merekalah salah satu dari rosaknya masyarakat. Ustaz dan Ustazah pula mempamerkan sifat-sifat "kemunafikan di luar kawasan." Orang yang diseru pula terkial-kial melihat fenomena ini. Salah siapa?
Mereka yang merasakan atau mengaku diri mereka sebagai salah seorang dari pendakwah, mempamerkan gaya "alim" merosakan imej institusi agama. Sebenarnya fenomena ini, telah pernah berlaku pada zaman al-Ghazali. Al-Ghazali menukilkan di dalam kitab karangannya, Mizan al-Amal:
"Orang yang hanya terfokus mempelajari ilmu-ilmu dunia tanpa di sertai dengan ilmu-ilmu syar'ie, maka ia telahpun menghabiskan umurnya di dalam aktiviti yang tidak akan memberi manfaat apa pun di akhirat. Sebaliknya, orang yang hanya terfokus pada ilmu-ilmu agama sahaja, maka tidak akan mampu memahami agama kecuali hanya sebatas kulit kasarnya sahaja, atau lebih jauh lagi hanya imiginasi dan angan-angan, tanpa menyentuh substansi dan hakikatnya. Dengan demikian, ilmu-ilmu syarie akan dapat di kuasai dengan baik jika di sertai dengan ilmu-ilmu empiris-rasional (fardhu kifayah). Ilmu fardhu kifayah ibarat ubat yang berguna untuk penyembuhan sedangkan ilmu fardhu ain ibarat makanan."Bukanlah penulis ingin menyalahkan mereka-mereka yang penulis sebutkan tadi. Tapi inilah hakikatnya. Kita sebagai makhluk yang diberikan oleh Allah akal fikiran dan hati agar sama-sama menyeimbangi gerak dan perilaku kita sebagai hamba-Nya. Dan kita perlulah mengetahui tentang erti nilai bagi diri dan juga implikasi-implikasi yang bakal terjadi pada generasi yang akan datang.
Akal fikiran dan hati hendaklah seiring sejalan agar kaki mudah melangkah lebih baik. Bukankah kedua-duanya Allah berikan kepada kita agar kita seimbang. Jika kita hanya punya akal tanpa hati, kita tiada perasaan dan kaku. Jika ada hati tapi tak punya akal, kita ibarat robot yang belum di program juga kaku! Jadi kita harus bersyukur kerana kita dilengkapi dengan kedua-duanya. Barulah kaki tahu ke mana arah tuju yang perlu di lalui.
Ada Hati, Jaga
Akal fikiran juga biar terjaga.
Allah perlulah kita juga jaga,
Agar kita sentiasa berada di dalam redha-Nya.
Abdullah Hakimi
12.00 am
Sungai Buloh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan