Sabtu, 24 November 2012

Muhasabah Si Penghafaz Al-Quran



Sesampainya di rumah, saya teringat suatu ayat tentang Allah swt akan menjaga Al-Quran, Kalam-Nya:
Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Quran dan Kamilah yang akan menjaganya” (Al Hijr 15:9)
Alhamdulillah, saya seorang yang pernah menghafaz al-Quran. Di Maahad Tahfiz al-Quran wal-Qiraat Addin, Kampung Tualang Sekah, Malim Nawar. Perak. 5 tahun setengah saya mengambil masa untuk mengkhatamkannya. Kalau di kira-kira semua, mungkin sebenarnya 2 tahun setengah saya khatam. Tolak berhenti hafalan, sakit masuk hospital dan sebagainya. 

Saya keluar dari sekolah itu pada penghujung tahun 2007 yang lalu. Sudah hampir enam tahun berlalu. Alhamdulillah, saya juga mendapat syahadah 30 juzuk juga dari sekolah. Namun, sekarang, saya bukan al-Hafiz, namun hanya mampu menjadi seorang 'al-HABIS.'

Rata-rata saya hanya boleh mengulang hafalan sehingga juzuk 10. Di tambah dengan juzuk 30. Alhamdulillah!. Namun saya agak terkilan, kemana hilangnya 19 juzuk lagi.


Saya akui, saya lalai setelah saya keluar dari sekolah. Mungkin kerana Biah/suasana tidak ada. Jadual mengulang hafalan jarang saya ikuti. Terkilan dengan diri saya sendiri. Lebih-lebih lagi ketika ini, sibuk hanya tuhan saja yang tahu. 

Sungguh, ketika ini saya merasakan rugi-serugi-ruginya. Apalah gunanya 5 tahun saya bersekolah, namun saya melupakannya. Mungkin kerana saya baru sedar sekarang kepentingannya dalam kehidupan sehari-hari. Malah saya merasakan al-Quran itu kunci kepada hati, perasaan, jiwa dan pemikiran saya. Seakan-akan saya kehilangan. 

Al-Quran itu ibarat kunci kepada seluruh ilmu pengetahuan. Lebih-lebih saya yang mempelajari ilmu falsafah, sains dan agama. Merasa kerugian yang amat sangat. 

Ya Allah! Maafkan hamba-Mu ini. Lalai!

Dan beberapa hari ini, saya mendengar alunan bacaan al-Quran oleh Muqri'-muqri' seperti Syeikh Said Saad al-Ghamidi, Mansyari, al-Faasi, Syeikh Jibril, Abdurrahman as-Sudais dan lain-lain. Saya teringat sewaktu di sekolah. Bacaan-bacaan mereka inilah yang menemani sebelum tidur,

Saya juga teringat teman-teman saya sewaktu di sekolah, mereka menghafal al-Quran, namun buruk akhlaqnya. Saya teringatkan mereka. Bagaimanakah mereka di 'sana' sekarang? Dalam hati saya, saya berdoa semoga mereka saja di tempatkan di sebaik-baik tempat. 

Saya yang masih hidup ini? Oh! Saya menderita. Saya merasa kehilangan. Saya terkadang cuba berfikir sejenak, apakah al-Quran yang saya ada ketika ini, mampu memberikan cahayanya, syafaatnya kepadaku? Atau ia memusuhiku kelak? Teringat pada sebuah hadis:
Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”(Riwayat Muslim)
Oh! Alangkah ruginya ketika ini. 

Dan ketika ini, saya berazam, tahun depan saya sudah menghafaz keseluruhannya. Saya akan bertanggungjawab dalam menjaganya. Mungkin Allah swt memberi saya peluang sekali lagi agar sedar, bahawa menghafaz al-Quran ini bukanlah syarat untuk keluar dari sekolah, tetapi bertanggungjawab menjaganya demi Islam. 
“Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Qur’an dan yang mengajarkannya” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
“Sesiapa membaca Al Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah rumah kamu di dunia ini.” (Riwayat Imam Ahmad , Abu Daud)
Saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian yang menghafaz al-Quran seperti saya, jangan lupa untuk mengulang hafazan al-Quran. Rugi dan rasa penyesalan yang tidak sudah-sudah. Bukan kerana mahu populariti atau sekadar menjadi imam terawikh di bulan Ramadhan, tetapi kita bertanggungjawab terhadap umat ini.

Sedarlah, kita membawa panji-panji Islam. Ianya cahaya buat umat ini. Jika kalian mengabaikan al-Quran, nescaya ia akan memusuhi kita, malah melaknat kita suatu hari ini. Na'uzubillah! 

Marilah kita muhasabah kembali, apa yang telah kita perlakukan. 

Janganlah kita menyesal di kemudian hari.

Sesal kemudian tidak berguna lagi. 

Tiada ulasan: