Isnin, 26 November 2012

#1: Biarlah Ada Tujuan


Episod 1: Biarlah Ada Tujuan

"Ustaz, ana ada satu soalan. Bila ustaz nak bina masjid!?"

Terkedu dengan soalan itu. Jika muslimin yang bertanya, mungkin boleh diajak bergurau senda. Tapi ini muslimat.

"Kalau ada jodoh, adalah. Kalau bukan di sini, di Malaysia!"

"Takkan ustaz tak minat dengan muslimat-muslimat di sini?"

"Nak minat pun, kena ada tujuan."

"Tapi takkanlah tiada?"

Sebenarnya saya tahu soalan itu sebenarnya (kemungkinan) ingin mengetahui isu-isu khabar angin yang melanda masyarakat persatuan di sini.

"Walaupun Nabi saw sendiri menganjurkan pilihlah yang adanya agama, namun bagi ana sendiri, perlu ada tujuan. Tapi bagi ana, ana pandang muslimat di sini sebelah mata saja."

Jujur, biarlah berbekas!


"Kenapa?"

"Bukanlah ingin mengatakan keburukan, namun mahu mengatakan sekufu, rasanya jauh. Mungkin kerana cara pandang ana memandang muslimat di sini."

"Memilih?"

"Ya! Memilih."

"Jangan memilih sangat ustaz, nanti susah."

"Biar susah, asal bahagia!"

"Ana jika mahukan muslimat, pastilah ana akan cari yang benar-benar boleh 'hidup' dengan ana. Ana mencari seseorang biarlah bertujuan. Agar nanti tidak tersilap langkah. Bukan mencari yang terbaik, namun yang boleh menerima."

"Tapi tak salah kan jika ada muslimat di sini yang mahukan ustaz?"

"Siapa?"

"Jika ada.."

"Jika ada, mestilah dengan jalan yang ma'ruf. Namun yang pastinya, kemungkinan ana tidak memilih yang ada di sini."

"Sampai begitu sekali?"

"Ya! Kerana ana ada tujuan dan pilihan tersendiri."

Bukan ingin menolak pelawaan ataupun risikan muslimat di sini, namun hati tidak bertemu dengan yang sesuai. Apakan daya kerana mungkin telah mengenali mereka-mereka yang berada di sini. Walaupun tidak kenal semuanya.

"Mengapa bertanya seperti itu?"

Tidak menjawab. Ya, pastinya ada sesuatu bila ada yang bertanya.

"Tidak mengapalah ustaz, ana faham pendirian ustaz. Tapi janganlah sampai terlalu memilih."

"Mencari biarlah kena pada diri, agar terasa tenang. Menjadi Qurratul Aini dan Qalb buat diri."

"Tapi seakan-akan ustaz memandang rendah dengan muslimat di sini."

"Tidak! Bukan ana memandang rendah dengan muslimat di sini. Namun tidak ada 'hati'!"

"Atau ustaz sudah ada pilihan di hati?"

"Mengapa bertanya begitu memaksa?"

"Kerana ada yang menunggu!"

"Biarkan dia menunggu, kerana ana tidak ada hati untuk siapa yang menunggu!"

Titik!

Perbualan tiba-tiba sepi.

--------------------------

Mencari ketenangan di pesisir pantai. Melihat luasnya kekuasaan-Nya. Hembusan angin lembut menderu-deru. Indah di pandang mata. Burung-burung terbang tinggi. Ke sana dan ke sini, tangkas!

Fakhrul membaringkan tubuhnya di atas sebuah batu besar. Merehatkan diri setelah berenang sendirian. Fikirannya terawang-awang di langit biru.

"Allahu Akbar!" Terpacul di lidahnya. Lancar.

'Pelajaran, hutang keliling pinggang, cita-cita!, ya Allah... Ujian-Mu sungguh berat. Terasa sempit di dadaku. Seluruh pelusuk hati dan jiwaku terasa sempit. Ringankanlah beban ini ya Allah!'

Hatinya merintih. Fikirannya memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan kuliahnya. Membayar hutang-hutangnya. Tanggungjawab terhadap keluarganya semakin banyak. Fakhrul merasakan seharusnya beliau menamatkan kuliah kini. Namun, ada saja ujian yang melanda. 

Fakhrul bingkas bangkit. Menuju ke gigi air, mengambil wudhuk. Azan zuhur bergema. Kewajiban yang harus segera di tuntaskan.

Sendirian di balik bukit. Fakhrul cuba menenangkan jiwanya. Hidup biarlah ada tujuan, agar tidak mati sebelum mati. 

"Hidup itu suatu pilihan!" Tegas Fakhrul. Monolog sendirian. 

Fakhrul berdiri setelah menunaikan solat zuhurnya. Mengambil beg nya lalu mencari makanan.

Sendirian. Ingin menenangkan diri.

Lautan bergelora. Segelora di dalam hatinya.

Namun laut tidak pernah berhenti untuk mencapai daratan.

Istiqomah. 
--------------------------

Di tempat lain, ada yang tersedu-sedu dengan apa yang di ucapkan oleh Fakhrul. Ada hati yang terguris. Terluka. Namun di tahan perasaannya.

Jiwa feminin nya terusik. Tidak pernah Wardani berjumpa dengan lelaki seperti itu. 

Ya! Dia mengakui yang dia meminati lelaki yang bukan calang-calang orangnya. Meminati pemuda yang tenang wajahnya. Sentiasa tersenyum. Namun tegas pendiriannya. Ramai juga yang meminatinya

Hatinya sakit. Kerana takut pemuda yang dicintainya itu, ada muslimah lain yang mendapatkannya.



Hati. Siapa yang tahu bila hati terluka?

"Sabarlah Wardani, kumbang bukan seekor." Pujuk Thursina.

Thursina mengerti, sahabatnya ini apabila menyukai sesuatu, pasti akan mendapatkannya.

Bukanlah Wardani mungkiri cara yang ma'ruf, namun pertanyaan yang dilemparkan sahabatnya sewaktu sahabatnya bertanya di Yahoo Messenger, balasannya tidak seperti yang di harapkan.

Terasa gelap dunia ini.

Namun di dasar hatinya mengakui, sebenarnya lelaki itu mempertahankan maruah dirinya. Ada benarnya kata-kata pemuda itu.

Di sebalik kesedihan Wardani, semakin kagum dia akan lelaki itu.

Siapa yang tidak mahu, lelaki yang menjaga maruah dirinya. Menjaga perilaku. Menjaga dari segenap hal. Pastinya juga apabila mempunyai pasangan hidup, setia menanti. Kebahagiaan di miliki. 



****Bersambung****

Cerpen: Tersenyum Pelangi Pada Surat Cintaku
Episod 1

Tiada ulasan: