Jumaat, 2 November 2012

Sederhanakan Ucapanmu


Ada satu hal yang saya rasakan sejak saya memasuki daerah silibus pengajian saya di jurusan Aqidah dan Falsafah, penggunaan bahasa. 

Sudah lama ditegur oleh sahabat-sahabat, bahawa ketika saya memberi penyampaian keilmuan kepada masyarakat, hatta kepada sahabat-sahabat saya sekalipun (begitu juga di dalam usrah,) bahasa yang digunakan pakai adalah bahasa-bahasa yang sulit di fahami oleh orang lain.

Terbiasa mungkin. 

Ia berlaku di bawah kesedaran saya selama ini. Bahasa silibus saya, bahasanya agak tinggi. Kurang di mengerti oleh sebahagian orang dan agak sulit untuk dihadamkan. Melainkan jika seseorang itu banyak pembacaannya dan pengalamannya. 


Cara berfikir saya bukan rasionalis, tapi empiris (melalui pengalaman) dan idealis. 

Pengamatan cara pandang fikiran saya sering tersasar apabila dalam penyampaian. Seronok apabila kita berkongsi ilmu pengetahuan pada orang lain. Namun satu perkara yang tidak saya berhati-hati. Bahasa. 

Ingin saya kongsikan status salah seorang murabbi dakwah di Malaysia, Ustaz Abdul Kadir al-Jofri:
"Apa antara persamaan antara Alfadhil Ustaz Azhar Idrus, Maher Zain dan Najwa Latif? Eh saya bukan nak samakan tingginya status ulamak dgn artis ya... Cuma bentuk persamaan yang saya rasa jelas sama yang kita semua boleh ambil faedah darinya.

Ia terletak pada kaedah yang berbunyi: خاطبوا الناس على قدر عقولهم iaitu bercakap dengan manusia berdasarkan kadar akal mereka. Ia juga bersesuaian dengan cara Rasulullah صلى الله عليه وسلم apabila bercakap dengan sasaran dakwah walaupun Baginda adalah Penghulu orang yg fasih.  
Al-Imam Albukhari meriwayatkan, Sayidina Ali juga pernah berpesan: 

 حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ؟  
"Berkata-katalah dengan manusia dengan apa yang mereka ketahui. Adakah kamu suka mereka mendustakan Allah dan Rasul-Nya?" 
Ada yang bertanya mengapa sebahagian ustaz tidak menyebutkan dalil apabila menjawab persoalan atau menyatakan fatwa. Sebenarnya konsep di ataslah diterapkan. Yang penting fatwa atau jawapannya memang benar berdalil, cuma beliau rasakan tidak perlu dinyatakan. Orang kata, "keep it simple!
Saya membaca kitab untuk sahabat-sahabat di Mesir selama 7 tahun. Perbahasannya agak tinggi sedikit kerana mereka penuntut ilmu agama. Ramai di kalangan mereka yang telah pulang dan mengajar di seluruh Malaysia. Alhamdulillah. Tahun-tahun terakhir di Mesir saya mula mengajar pula kepada adik-adik Kuliah Perubatan di sana dan mula merantau ke benua-benua lain. Saya rendahkan sedikit gayanya. Alhamdulillah ia memudahkan saya apabila pulang dan mengajar di Malaysia. Di TV dan Radio saya diminta oleh para penerbit untuk mengekalkan konsep santai ini.

Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah contoh ikutan yang terbaik." 
Kadang-kadang kita sebagai daie terlupa, etika dalam menyampaikan ilmu/dakwah adalah berdasarkan keadaan mad'u dan suasana sekeliling. Taraf keilmuan yang ada pada orang yang kita sharing, terkadang beliau tidak pernah mempelajari silibus yang kita ada. Berpada-padalah, jangan sampai nanti di katakan 'enta sesat!'.

Sampaikanlah dalam gaya bahasa yang mudah difahami, sesuai dengan kemampuan orang lain. Dan jangan menjadi dai'e yang syok sendiri yang bajet hebat dan tinggi ilmunya.

Insha Allah, saya cuba menyederhanakan ucapan saya. Agar mereka yang saya seru, memahami serta dapat mengerti apa yang saya katakan. Sesungguhnya antara dai'e yang dekat di hati masyarakat adalah mereka yang menyederhanakan bahasanya. 
 
Teringat doa Nabi Musa kepada Tuhannya:
"Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah urusanku, dan lepaskanlah kekakuan lidahku, agar mereka mengerti ucapanku." (QS: Thaha: 25-28)
Sederhanakan ucapanmu teman,

Agar engkau di mengerti,

dan mereka mengerti,

Apa yang di ucapkan olehmu.

--------------------------------
Adakah bahasa yang saya gunakan di blog ini juga mempunyai masalah yang sama juga? =)

Tiada ulasan: