Isnin, 4 Mac 2013

Medan: Sekularisme Yang Berakar Umbi


Sesuatu yang menarik apabila saya ke Medan. Ini merupakan kali kedua saya di Medan dan alhamdulillah, perjalanan kali ini berbeza dengan sebelumnya. Namun saya panjatkan kesyukuran kepada Allah swt, kedua-dua perjalanan saya, adalah urusanyang moga-moga, Allah swt membalasnya dengan pahala. 

Yang pertama kali saya pergi, program kepemimpinan anjuran Badan Dakwah dan Kerohanian, PKPMI-Cawangan Medan. Alhamdulillah, program tersebut merupakan satu program yang bermanfaat. Apatah lagi yang mengisi program tersebut adalah mantan Presiden PMRAM 2010, Ustaz Shahrizan Hazime dan S/U beliau ketika itu, Ustaz Haslan. 

Kali kedua, adalah minggu lepas, dalam menguruskan pendaftaran anak kepada sahabat kami, Saudara Zubir dan isterinya di Konsulat Jenaral. Alhamdulillah, Allah swt memudahkan urusan kami di sana. 

Saya pergi ke sana dengan tiga orang lagi sahabat saya. Sofian, Illias dan Surya. Dan kami menyewa sebuah kenderaan. Dan alhamdulillah, ianya cukup selesa dan kenderaan itulah yang menjadi 'rumah tumpangan' kami di sana. 

Kota Medan, suasananya hampir mirip dengan Malaysia, suasana dan budaya, apatah lagi stesen minyak Petronas hidup di sana. Saya sebagai warganegara Malaysia cukup berbangga dengan adanya pertronas di Bumi Indonesia ini. 

Sekarang, Bumi Melayu Deli ini berada di dalam waktu pemilihan Gubernur yang baru. Siapakah yang bakal di lantik? Kita mendoakan semoga Allah swt memenangkan orang yang layak dan berkualiti dalam membina negeri Medan yang lebih baik. 

Apa yang saya ingin cerita di sini, saya ingin menceritakan pengalaman saya ketika berada di tengah-tengah kotaraya Medan. Mungkin ada yang sudah tahu, namun saya hanya menceritakan apa yang saya lihat dan memberikan pandangan. Mungkin ada sahabat-sahabat boleh melontarkan pertanyaan untuk kita diskusikan. 

Kita risau jika perkara ini berlaku di kalangan kita sendiri. 

Mungkin. 

Pada suatu malam, setelah menghantar sahabat kami ke hotel (pasangan suami isteri), kami menginap di dalam 'rumah tumpangan' kami. Pada asalnya kami di terminal Bas Kurnia. Oleh kerana tidak selesa dengan bunyi bas keluar masuk, kami berpindah ke tempat lain. 

Berpindah ke tempat lain, tidak lagi boleh dikatakan tempat yang selamat. Kami di ganggu dan terganggu. Ya, kami faham, dunia ini punya dua jantina saja, namun ia bertambah dengan "kehendak zaman".

Pondan atau istilah di Indonesia, Bencong. 

Kami merasa tidak selesa. Kami sedang tidur di dalam kereta, mereka melihat-lihat dengan merenung kami melalui tingkap kereta. Alhamdulillah, kami mengunci kereta sebelum tidur. Jika tidak, mungkin kami jadi mangsa....

Kami risau perkara itu berlaku. 

Akhirnya kami berpindah tempat yang lebih selamat. Kawasan hotel tempat sahabat kami menginap. Kami merasa selamat dan selesa. Tidak ada gangguan kerana kami berada di dalam kawasan yang berpagar. Lagi pula hotel itu adalah hotel Aceh, Sangat menjaga prinsip Islam dalam perkhidmatannya. 

Alhamdulillah, saya melihat hotel ini berkembang di sana. 

Namun, di luar pagar, ramai sekali para pondan serta pelacur menjual diri mereka. Lelaki menjadi perempuan. Melihat mereka, saya menjadi kasihan. Kasihan kerana mereka kehilangan identiti sebagai seorang lelaki. Mereka tidak mampu melawan nafsu dan keinginan mereka. 

Kerana mereka merasa kekosongan. 

Kerana mereka merasa jiwa mereka terganggu. 

Mereka sebenarnya ingin meluah sesuatu, namun malu. Saya berfikir, siapakah yang mahu mengajak mereka kembali ke fitrah?

Mereka berada di dalam kepalsuan. Mereka berpura-pura bahagia dalam kekecewaan.

Di dalam hati saya, saya berazam untuk ke Medan lagi. Dan saya cuba turun ke lapangan sana untuk melihat dan bertanyakan sendiri kepada mereka tentang mengapa mereka jadi seperti itu. 

Hatta sekalipun mereka bukan muslim. 

Dan kebanyakan mereka adalah remaja dan masih muda belia. 

Remaja adalah aset negara yang paling penting dalam melahirkan sebuah masyarakat yang bermoral dan berbudi luhur. Jika remaja pada hari ini tergolong insan rosak akhlak dan moralnya, maka pada masa akan datang mewarisi keperibadian yang rosak pula dalam memimpin ummah ini. Jadi merupakan perkara yang paling penting adalah mendidik para remaja kepada jalan yang benar dan bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam membina moral remaja perlunya persepaduan kerjasama antara keluarga, sekolah dan masyarkat. Ketiga institusi ini berperanan dalam membina generasi muda ke arah kecemerlangan ataupun ke arah kebobrokan. Begitu juga dalam diri remaja itu sendiri perlu adanya kesedaran kepada kebaikan dan pembinaan diri. Perkara yang paling asas pendidikan remaja yang bermoral adalah ilmu dan pengetahuan agama, jika nilai-nilai agama dipraktikkan oleh ketiga institusi tadi dan diterapkan dalam diri remja, maka insya Allah, remaja di negara ini akan menjadi generasi yang cemerlang dan terhindar dari perangai yang busuk dan tercela. 

Kegiatan pelacuran juga sangat-sangat aktif. Ia sangat membimbangkan. Ini kerana Indoenesia merupakan negara yang paling banyak penganut agama Islam. 

Ruh Islamnya tidak ada. 

Untuk keesokan harinya, kami menguruskan pendaftaran anak kepada sahabat kami. Alhamdulillah, Allah swt memudahkan urusan. Sewaktu kami menguruskan segala yang berkaitan, saya dan surya merasa lapar. Yang lain, alhamdulillah, sudah makan sebelumnya. 

Kami berjalan dengan memasuki satu lorong. Susah rupanya mencari makanan halal. Saya terlihat satu kain rentang.

RM Muslim Mamak 

(RM=Rumah Makan)

Saya melangkah masuk ke dalam kedai tersebut, namun kaki saya tidak mampu melangkah lagi. 

Ada dua orang wanita, tuan kedai bersama anaknya. Pakaiannya tidak mencerminkan seorang muslim. 

Tiba-tiba sahabat saya ini masuk. Terus di mengatakan adakah ini halal? tangannya menunjukan ke arah makanan yang ada. 

Terus tuan punya kedai mengucap dua kalimah syahadah. 

Saya masih lagi duduk di luar kedai. Masih ragu-ragu. 

Sahabat saya mengajak masuk, dan atas keyakinan saya, mudah-mudahan ya makanan yang halal lagi baik. Oleh kerana lapar mungkin. 

Sedang kami makan, mereka bertanya kepada Surya asal dari mana dan mengapa ke sini. Pada pertengahan perbualan, mereka mengatakan:

"Kalau Islamnya, jangan merujuk pada pakaian, tapi iman. Imannya di sini" sambil menunjukan ke arah dadanya. 

Saya teringat perbualan sahabat saya ketika kali pertama menjejakkan kaki ke Medan. 

"Sekularisme telah berakar umbi di sini. Islam hanya sekadar agama dan beribadah, selebihnya hanya kehidupan duniawi. Susah untuk mengubahnya lagi. Dan ia mengambil masa yang lama untuk berubah."

Inilah contoh sekularisme yang telah berakar umbi ke dalam masyarakat Islam. Saya tidak perlu ke Turki, dan saya tidak perlu ke negara Muslim yang sekular. Saya hanya perlu ke negeri Melayu saja. 

Proses sekularisme yang sangat-sangat berakar umbi, boleh dijadikan penelitian yang sangat-sangat berguna untuk kehidupan umat Islam. 

Saya fikir begitu. 

Kerajaan Melayu Deli dulu agama rasminya Islam. Undang-undangnya pun Islam. Namun sekarang, ia sudah berbeza. Ia mengikut kehendak zaman moderen dan globalisasi. 

Suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad dalam musnadnya:

قال رسول الله : يوشك الأمم ان تداعى عليكم كما تداعى الأكلة إلى قصعتها فقال قائل : ومن قلة نحن يومئذ؟ قال : بل أنتم يومئذ كثير , ولكنكم غثاء كغثاء السيل , ولينزعن الله من صدور عدوكم المهابة منكم وليقذفن الله فى قلوبكم الوهن فقال قائل : يارسول الله وما الوهن ؟ قال : حب الدنيا وكراهية الموت

Maksudnya : "Akan hampir seluruh umat manusia menyeru kamu sebagaimana diseru makanan ke bekasnya. Maka seorang berkata : Dan adakah disebabkan jumlah kami pada waktu itu menjadi sedikit?. Jawab baginda : Bahkan jumlah kamu pada hari itu begitu ramai tetapi kami seperti buih seumpama buih air banjir. Dan akan dicabut daripada sanubari musuh kamu perasaan kagum terhadap kehebatanmu disamping Allah akan mencampakkan penyakit wahan ke dalam hati kamu. Maka seorang berkata : Wahai Rasulullah! Apakah penyakit wahan itu. Lalu sabda baginda : Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian."

Ingatlah, pesan Nabi saw:

Rasulullah s.a.w dengan sabdanya:

مَثَلُ المُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ الوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالحُمَّى

Maksudnya : "Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut terasa dan menanggung kesakitan."

Moga kita sentiasa menjadi golongan yang menyeru ke arah kebaikan. 

Dunia ini bermacam-macam ragamnya,

Membuatkan kita berfikir dan berzikir,

Hikmah disebalik kejadian yang berlaku.

Tiada ulasan: