Ahad, 24 September 2017

Dan Tiga Tahun Pun Berlalu...



Bismillah... Dengan Nama Allah, aku menulis. 

Segala puji bagi Allah swt, aku menulis.

Dan Allahu Akbar, Aku menulis. 

Aku mengucapkan puji-pujian kepada Allah swt. Allah yang bersifat ar-Rahim, (Maha Penyayang) dan Ar-Rahman (Maha Pengasih), kerana memberiku kekuatan dan peluang untukku menulis.

Selawat dan salam keatas junjungan Baginda, Rasulullah (sallallahu alaihi wasallam) kerana memotivasikan hati ini untuk menulis kembali.

"Dan (ingatlah ketika Nabi Ibrahim berkata: "Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati." Allah swt berfirman: "Belum yakinkah kamu?" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku.) -Surah al-Baqarah: 260

Maha suci Allah swt, setelah tiga tahun menyepi, laman ini usang seperti rumah yang kosong ditinggalkan. Tidak ada penghuninya kerana menghilang membawa diri. 

Maha suci Allah swt, setelah tiga tahun, kali terakhir pada Oktober 2014, alhamdulillah, aku cuba bangkit untuk menulis kembali. Aku termotivasi dengan firman Allah swt:

"Tempat penamat yang harum semerbak kasturi (syurga), dan untuk yang demikian itu hendaknya kamu berlumba-lumba." -Surah al-Muthaffifin: 20

Aku ingin menyahut seruan-Nya. Aku ingin mendapatkan pahala yang begitu banyak. Aku memotivasikan diriku untuk menulis kembali. 

Tiga tahun ini, alhamdulillah, aku telah selesai kuliah di Universitas Islam Negeri ar-Raniry (2008-2015), dan aku menikmati tahun-tahun mendatang sehingga kini mengabdikan diri untuk al-Quran. Puji dan syukur kepada Allah swt kerana memberikan aku peluang untuk terus dan bernafas dengan al-Quran. 

Dan tiga tahun ini, segala puji bagi Allah swt yang telah mengatur takdirku, kesusahan sewaktu menjadi mahasiswa dan memegang pelbagai taklifan, membentuk diriku kini. Dan sekarang, taklifan yang membebani diriku semakin bertambah dan berat. Banyak yang perlu diatur dan disusun, dirancang dan dikemaskini. Apatah lagi urusan hidupku sendiri. 



Tiga tahun ini, aku merenung diri. Aku menginsafi apa yang telah aku perbuat. Moga Allah swt memaafkan kesalahan kami. Moga Allah swt memberi hidayahnya kepada kami, moga Allah swt juga memberikan keampunannya kepada kami. Dan moga Allah swt memasukan kami ke dalam syurga-Nya yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan. 

Wahai Tuhan kami, sesungguhnya engkau mendengar rintihan kami, maka ampunilah kami. Ampunilah kami dan ampunilah kami. 

Terima kasih Tuhan kerana masih memberi peluang kepada kami.

Terima kasih Tuhan kerana masih membenarkan kami untuk melakukan kebaikkan.
Terima kasih Tuhan kerana memanggil kami semula menghadapmu. 
Terima kasih Tuhan atas segala pemberian-Mu. 
Terima kasih Tuhan atas segala-galanya. 

Kerana tiada daya dan updaya melainkan dengan kekuatan-Mu yang Maha Perkasa dan Berkuasa atas sesuatu. 

Tiada ulasan: