Rabu, 29 Oktober 2014

Fokus dan Kerja Berpasukan



"Kita sebenarnya banyak kehilangan fokus sehinggakan apa yang kita cita-cita dan impiankan tidak dapat diselesaikan dengan segera..."

Saya menjelaskan beberapa keadaan dan contoh kepada sahabat-sahabat sejawat. Bukan bermakna saya merintih dan meminta untuk difahami. Namun saya perlu mengungkapkannya demi kejayaan sebuah organisasi. 

Fokus. Mungkin bermula pada tulisan ini. Dan ini perlu saya sampaikan.

Mungkin di sekeliling kita atau ditempat kerja kita berlaku pertindihan kerja atau diarahkan untuk membuat kerja yang tidak jelas diarahkan kepada kita. 

Saya teringat sewaktu saya memimpin pelajar di Aceh sewaktu mahasiswa dulu. Antara yang saya pelajari dari kegagalan saya adalah, "keputusan sebenarnya bukanlah pada saat anda memegang jabatan sebagai ketua, tetapi bagaimanakah anda dan team sukses anda mampu membina dan memutuskan beberapa keputusan dan memilah dan memilihnya menjadi satu keputusan yang baik dan memberi kesan yang besar sehingga satu team mampu memahami apa yang perlu dilaksanakan oleh pasukan."

Satu pasukan bukanlah hanya fokus terhadap satu satu bidang, tetapi menyelesaikan sekecil-kecil perkara sehingga dapat menyelesaikan masalah yang besar-besar pula. 

Kesannya adalah mengagumkan. 

Membahagi-bahagikan tugas diatas satu meja bulat merupakan kaedah terbaik yang dianjurkan oleh Nabi saw. Melihat dari kesuksesan peperangan Badar al-Kubra, kita menyaksikan seorang Nabi bermesyuarat bersama para sahabatnya untuk mengambil keputusan yang betul dan tepat dalam pengurusan strategi. 

Ia bukan keputusan seorang diktator. Pemikiran satu orang, atau one man action.

Nabi saw merupakan seorang manusia biasa yang juga mempunyai kelemahan. Nabi saw mengajarkan kepada kita erti bagaimana hendak menyelesaikan sekecil-kecil masalah sehingga dapat menyelesaikan sebahagian besar masalah. 

Itulah kuasa berpasukan. Fokus!

"Seorang mukmin bagi mukmin yang lainnya ibarat satu bangunan yang kukuh, saling kuat menguatkan antara satu dengan lainnya."

Kuat dan kukuh itu adalah melihat dari bagaimana kita melengkapkan sesuatu itu dengan apa yang diperlukan. Sekiranya bangunan itu memerlukan tiang, biarlah kita menjadi tiang. Jika tidak ada dinding, kitalah yang akan menjadi dinding. Kerana kita memahami bahawa kita cuba melengkapkan apa yang diperlu dilengkapkan. Kita bukan sepenuhnya orang yang melengkapkan bangunan yang kukuh itu melainkan kita berpegang tangan dan membina bangunan dengan fokus! Dan ia akan menjadi kukuh oleh kerana kita bersatu hati dan bersefahaman.

Barulah masalah yang kecil tadi dapat menimbulkan efek yang besar-besar pula. 

Tiada ulasan: