Jumaat, 29 September 2017

Minggu Sabar dan Redha.


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt yang telah mengizinkan hamba-Nya menulis lagi.

Dua minggu ini merupakan minggu yang sangat mencabar dan mencalar kesabaran. Subhanallah, Allah jualah yang memberikan kekuatan untuk hamba-Nya untuk terus sabar dan yakin bahawa janji Allah itu benar. 

Semasa marah menyinggah ke dalam hati, saya teringat pesan seorang Ustaz, yang apabila kita marah, kita hendaklah diam sejenak dan memikirkan sesuatu yang lain untuk meredakan kemarahan kita.

Memikirkan para Nabi yang menerima hambatan dari kaumnya, merenungkan para ulama yang di uji kesabarannya oleh pemerintah kuku besi. Memandang jendela para murabbi yang bersusah payah untuk membangunkan sekolah. 

Subhanallah, memikirkan kesusahan yang mereka alami itu jauh lebih susah berjuang dari diri sendiri. Siapalah kita untuk membandingkan diri ini dengan mereka. 


Teringat kalam Tuhan:
إن الله مع الصابرين
"Sesungguhnya Allah bersama dengan hamba-Nya yang sabar."


Perhatikan, berapa ramai manusia yang apabila berada di dalam kesusahan, ia mengadu kesusahannya di hadapan Allah swt? 

Allah swt-lah yang memberikan ujian pada hamba-hamba-Nya. Bukankah Dia mampu menarik kembali apa yang hamba-Nya tak sanggup lalui. Atau Allah swt menunjukkan jalan keluar yang terbaik.

Sesungguhnya jalan yang dilalui oleh para pejuang Islam adalah jalan cinta. Allah swt menguji hamba-Nya dengan cinta dan kasih sayang-Nya. Kerana setiap yang kita lalui itu akan menjadi amal dan ladang pahala bagi kita jika kita terus bersabar dan redha dengan setiap ujian dari Allah swt. 

Untuk apa terus-terusan untuk terus merungut? Kerana kita perlu sedar rungutan tidak mampu untuk mengubah apa-apa. Yang boleh diubah apabila kita bergerak mencari arah dan solusi untuk keluar dari masalah. 

Mudah-mudahan dengan Allah swt memberi kita taufik dan hidayah-Nya agar kita dapat terus bergerak meluaskan kebaikan dan menambah pahala kita. Kita sedar bahawa kita adalah pendosa, yang mungkin sebahagian besar dosa kita masih tidak diampunkan kerana kita ada dosa dengan manusia yang lainnya. 

Ampuni kami ya Tuhan, atas khilaf kami. 
Tunjukilah kami jalan yang lurus, agar kami dapat ke syurga dengan redha-Mu.
Tambahkanlah iman kami agar kami sentiasa dapat mengingatimu. 
Hidupkanlah hati kami dengan Iman,
Suburkan hati kami dengan iman,
Dan matikanlah kami dalam iman.
Wahai Tuhan Maha Penerima Taubat. 

Tiada ulasan: