Ahad, 18 Februari 2018

Aku Ingin Menulis Lagi.

Bismillahirrahmanirrahim. 


Alhamdulillah, blog ini usianya sudah hampir menginjak ke angka sembilan. Tahun depan genap sedekad umurnya. Bermula dari tahun 2010 dan kini sudah tahun 2018. 

Imbas kembali. Asalnya penulis bermula dengan satu blog pada pertengahan tahun 2009 yang diberi nama "Warna-warna Kehidupan" namun blog itu terpaksa ditutup kerana masalah programming. Mungkin pada ketika itu saya sedang mencuba pelbagai hal dan ingin mencuba sesuatu yang baru. Nak nampak macam website kononnya, tapi hujungnya sampai blog itu pun macam dah tak wujud lagi. 


Namun saya tidak berputus asa, saya buat blog ini semula dengan nama yang berbeza. Saya beri nama "Musafir Kehidupan." Mungkin kerana sehingga kini, hidup saya masih lagi mengembara, dan mungkin kena pada sebutannya, kekallah blog ini atas namanya. 

Sembilan tahun juga berlalu, niat saya ingin menjadi penulis tetap juga segar. Cuma masalah masa saja. Tidak dinafikan faktor masa dan keadaan setelah tamat pengajian merupakan cabaran untuk terus menulis. 


Saya fikir saya seorang saja yang terkandas dalam menulis, rupanya sahabat-sahabat seperjuangan ketika masih diperantauan juga tak dapat meneruskan menulis atas faktor yang saya sebutkan tadi. Masing-masing punya kerjaya dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan. 

Atas faktor inilah, kalau dulu mungkin faktor masih banyak masa yang boleh digunakan untuk mendapat maklumat dan menulis, atas batasan masa yang ada sekarang ini, mungkin istilah yang tepat adalah perlunya pengorbanan masa dan tenaga bagi terus istiqomah dalam menulis. 


Kalau lihat dari views pun, sudah sampai tahap perlu mula kembali. Kalau dulu dapat 500-700 views sebulan, sekarang tidak lagi. Kalau dulu tak perlu lagi jalan-jalan ke blog orang lain, sekarang kena buat kembali. Lagipun, blog ini bukanlah blog yang terkenal pun. 

Blog ini pun telah di'kembali'kan ke rupa asalnya. Warna merah dan ukiran senihalus di balik tabirnya. Tidaklah sama 100% dengan yang dulu, tapi sekurang-kurangnya saya mencuba untuk kembali pada kehendak dan niat sewaktu memulakan pembinaan blog ini. 

Saya menulis adalah untuk menyebarkan kebaikkan, menceritakan keindahan dan kegundahan dari alam. Apa yang menjadi iktibar, cuba dikongsikan bersama para pembaca. Dan pada hujungnya untuk dikumpulkan menjadi sebuah buku supaya kebaikan yang saya perolehi dapat disebarkan kepada ruang yang lebih luas lagi.

Saya berharap apa yang saya pernah coretkan di dalam ini menjadi ladang pahala yang berterusan. Kerana dulu saya bercita-cita menjadi penulis. 

Saya mohon kepada Allah swt dengan segala kerendahan hati dan jiwa, mengampunkan segala dosa saya yang telah lalu dan akan datang, memberi ilham dan petunjuk yang baik, membawa tulisan ini menjadi saksi bahawa semuanya untuk Islam semata. 

Saya berharap dan berdoa agar sahabat-sahabat saya yang lain yang pernah berjuang dalam penulisan agar bangkit kembali dan diberikan peluang untuk terus berkarya. Hanya Allah swt sajalah yang memberikan kekuatan serta kesabaran untuk sama-sama bangkit kembali berjuang atas helaian kanvas kehidupan ini. 
Wahai Tuhan kami, bantulah kami dalam menyebarkan kebaikan. Hanya engkau sajalah yang memberi kekuatan dan petunjuk. 

Tiada ulasan: