Ahad, 18 Mac 2018

Opah, SRITI, Kelas Tahsin al-Quran, dan Perniagaan

Bismillahirrahmanirrahim. 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt, kerana-Nya lah saya dapat menulis di ruangan ini. Tulisan ini merupakan tulisan pertama bagi bulan ini. Hanya sekadar berkongsi rasa, perasaan dan pengalaman. 

Pada ketika ini, sudah masuknya satu Rejab yang mana bulan ini merupakan bulan Israk dan Mikraj Nabi kita, Muhammad saw. Mudah-mudahan Allah swt mempertemukan bulan yang paling mulia bagi sekalian bulan iaitu Bulan Ramadhan, bulan yang lebih baik dari 1000 bulan. 


Opah dan Kehidupan. 

Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan urusan pengakhiran hidup opah saya, Mehram Binti Kulup Ahmad yang telah pergi buat selama-lamanya pada 8 Mac yang lalu. 


Sesungguhnya dari Allah kita datang, dengan kepada Allah-lah kita kembali. 

Saya merupakan cucu pertama beliau, yang mana sejak dari kecil saya bersamanya. Dialah yang menjaga saya sejak saya berumur 3 bulan, di bawa pulang ke kampung dari Seremban, Negeri Sembilan. 

Ketika perkhabaran Opah meninggalkan kami, saya baru sampai setelah tak sampai seminit Opah pergi menghembuskan nafasnya yang terakhir. Segala memori habis diputarkan semenjak kecil sehinggalah kali terakhir bertemu dengannya. 

Hari itu tubuh dingin Opah tinggal dengan kami semalaman untuk menunggu urusan pengkebumian yang akan berlangsung esok. Kami puas menatap wajah mulusnya satu malam. Dan kami seperti mengharap dengan mangatakan: 

"Wahai Opah, bangunlah dari tidurmu, celiklah matamu, kami semua, anak beranak, cucu cicitmu semua di sekelilingmu. bangkitlah, tataplah wajah kami semua sebelum engkau pergi buat selama-lamanya."

Sehinggalah keesokkan harinya, sehingga masuk ke liang lahad, masih Opah tidak mencelikkan matanya. Dan kami sedar, kami tidak akan dapat lagi melihat, menatap, menyentuh, berbicara dan mendengar celotehmu lagi. 

Dan apabila tanah dikambus untuk menutup liang lahad, diletakkan pokok bagi menghiasi pusaranya, lalu dibacakanlah surah al-Insan dan tahlil yang diketuai oleh adikku, Abdul Rahman. Kemudian setelah selesai, maka sayalah yang mentalkinkan di situ. 

Sungguh, betapa peringatan-peringatan kepada kami apabila talkin dibacakan. Apatah lagi cucunya ini yang melantunkannya. Dan diakhirnya, dengan tambahan, saya mendoakan kesejahteraan kepada Opah kami yang sangat disayangi dengan lantunan doa dengan penuh pengharapan dan kasih sayang. 

Dan saya mengatakan sebelum berpisah jauh denganmu. "Selamat jalan ke negeri yang abadi Opah, insha Allah, kita akan bercerita dan berceloteh lagi di alam lain. Moga kiranya di alam itu, tempat yang penuh kerehatan dan kenikmatan yang kekal abadi selamanya."

Dan beruntunglah Opah, bahawa banyak bekalanmu yang kami siapkan di sini. 

Dan untunglah, engkau dipusarakan dibawah telapak kaki suamimu. Mungkin ianya simbolik engkau adalah bidadari bagi suamimu. Dan suamimu redha denganmu. Berbahagialah Tok Noh!

(Saya pun baru tahu bahawa di atas pusara Opah, kubur suaminya. Huhu)

Insha Allah Opah, kita akan bersua lagi. Selamat kembali pada Tuhanmu. 

Kelas Tahfiz SRITI al-Fateh di Raub. 

Alhamdulillah, SRITI al-Fateh telah membuka kelas tahfiznya, yang mana saya yang menjadi salah seorang pengajarnya. Alhamdulillah, seramai 8 orang yang memulakan pengajiannya, kemudian bertambah lagi 4 orang, dan insha Allah, akan bertambah lagi ke depannya. 

Kelas ini mempunyai 7 orang lelaki dan 5 orang perempuan dari pelbagai latarbelakang. Alhamdulillah semuanya aktif dan bersemangat untuk menghafaz al-Quran. 

SRITI al-fateh ini baru sahaja tahun ini dibuka, Pengelolanya Ustaz Rosaidi al-Ayubi. Saya mendoakan agar SRITI ini mendapat tempat di hati masyarakat Raub khususnya para pencinta ilmu dan Islam. 

Sekarang ini para pelajar Tahfiz SRITI al-Fateh sedang melancarkan hafazan mereka bermula dari surah al-Qoori'ah sehinggalah surah an-Naas. Di dalamnya juga mereka mempelajari tajwid dan menulis al-Quran juga. 

Yuran yang dikenakan berpatutan, RM60.00 sebulan untuk kelas 4 kali seminggu. Kelas pada hari Ahad, bermula pada jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi. Perkara yang diajarkan adalah tahfiz, tajwid, menulis al-Quran dan memperbaiki bacaan al-Quran. 


Kelas Tahsin al-Quran


Awal bulan ini, saya telahpun menjadi Imam Satu di Masjid Kampung Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lembah Klau. Disamping itu juga, dengan tidak membuang masa yang ada memandangkan saya datang dari jauh untuk ke sana, saya membuka kelas tahsin al-Quran. 

Kelas Tahsin al-Quran ini dijalankan dengan mudah-mudahan, masyarakat menjadi celik al-Quran, tahu mengaji dan tahu apa yang dibacakan selama ini. 



Bukan itu saja, malah kelas tahsin saya dibuka di beberapa bahagian dalam Raub seperti di sekolah saya sendiri bagi masyarakat Bukit Pampong, Masjid Jelu, Masjid Tengku Abdullah di Pamah Rawas dan Surau Kampung Temalian di atas bukit Kampung Pamah Rawas juga. 

Sungguhpun begitu, sebenarnya guru al-Quran masih tidak mencukupi bagi menampung keperluan di Raub ini. 

Namun saya yakin, di Raub ini banyak guru al-Quran terutamanya semakin banyaknya sekolah tahfiz yang dibina. Yang tinggal cuma perlu digerakkan bagi mengisi kekosongan yang ada. 

Dan semalam, ada seorang anak muda datang bertemu saya setelah saya selesai mengajar di surau Temalian. Dia mengakui takut untuk masuk ke kelas tahsin yang diadakan memandangkan dia baru saja membaca iqra' 3. Umur saja sudah 18 tahun. 

Namun saya katakan bahawa tak rugi masa, malah patutnya bersyukur kerana Allah swt memberi hidayah dan kesedaran untuk mengaji. Alangkah ruginya jika masa muda, masih duduk berfoya-foya dan buang masa. 

Dan insha Allah, anak muda tersebut merancang ingin buat satu kelas yang sahabat-sahabatnya satu pengajian boleh hadir bagi menuntut ilmu al-Quran. Alhamdulillah, ini salah satu perkembangan yang sangat baik di Raub khususnya pemuda. 

Mudah-mudahan Allah swt memudahkan urusan anak muda tersebut seterusnya anak muda di Raub ini. Insha Allah.


Perniagaan




Alhamdulillah, begitu banyaknya cabaran dan dugaan untuk meneruskan perniagaan. Bertatih-tatih nak teruskan. Ya, minat itu ada, tapi dek kesibukan yang ada, susah untuk pegang. 

Alhamdulillah, seiring masa yang ada ini, dipaksakan sesungguh-sungguhnya. Kalau boleh tidak mahu lagi berterusan seperti hangat-hangat tahi ayam. Kehidupan mesti diteruskan. Usaha mesti dikuatkan. 

Untuk apa tertunggu-tunggu. Status Rakanniaga masih lagi di atas bahu. Peluang ada di depan mata. Apatah lagi barang yang dijualpun bukan barangan yang biasa. Madu Lebah Tualang yang memang hebat. 

Alhamdulillah, dalam seminggu ini dapat juga pesanan 3 balang madu lebah sarang. Tidaklah sesuatu yang boleh dibanggakan, tetapi seiring dengan usaha, insha Allah, Allah yang telah menetapkan rezeki. 

Pelanggan ini seperti ikanlah, kalau betul umpannya, akan mengenalah. Kalau pasang matakailnya banyak, lagilah banyak rezekinya. Kita ini hanya mampu berdoa dan bertawakkal. Selebihnya, hanya Allah sajalah yang memberi rezeki. 

Kalau benar ada yang mahu, klik di sini

Pastikan sebutkan nama dan produk apa yang minat untuk di beli. 

Kalau berminat jadi ejen dan dropship, klik di sini

Jadi saya kira cukuplah perkongsian saya pada tulisan kali ini. Insha Allah akan saya tulis lagi perkara yang lain pada kesempatan yang ada.

Mudah-mudahan Allah swt permudahkan urusan kita semua.

Tiada ulasan: