Khamis, 26 April 2018

Kisah Mengaji di Masjid


Alhamdulillah, diberi peluang oleh Allah swt untuk mengajar al-Quran di masjid-masjid dan surau-surau. Ketika ini, saya telah pun berpengalaman setahun lebih menjadi pengajar al-Quran di masjid-masjid sekitar Dong, Raub dan Lembah Klau di Raub juga.

Setelah tiga tahun bermastautin di negeri orang ini, pada tahun ini diminta oleh pihak Jabatan Agama Islam Daerah Raub untuk mengisi kekosongan Imam di masjid Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Lembah Klau. Dalam masa yang sama, mengajar jugalah di masjid itu selama tiga hari berturut-turut.

Sebenarnya seronok mengajar al-Quran di masjid. Ia bukan saja akan membuatkan kita menambah pengalaman dan cara mengajar, ia juga akan menambah teman dan saudara.

Ya benar, kita asing di negeri orang, maka inilah cara untuk kita menambah kenalan dan taulan. Alhamdulillah, selama berkelana di negeri orang, banyak pengalaman yang dapat kita berkongsi.

Ada hari yang kadang-kadang saya tidak dapat hadir untuk mengajar kerana ada urusan tertentu yang perlu diselesaikan. kadangkala terlewat sampai kerana baru sampai dari destinasi yang jauh.

Bila sudah lama saya tidak hadir, maka pastinya (bagi saya), jemaah akan mula berkurangan kerana tidak ada kelas mengaji. 

Jadi pada hari Sabtu yang lalu, saya ada kesempatan untuk hadir mengajar di sebuah masjid. Kebiasaannya, yang nak mengaji al-Quran ni ramai. Tapi pada malam itu hanya hadir 4 orang sahaja. Bilal masjid bertanya khabar dan memberitahu kerana sudah tiga minggu saya tidak hadir, masyarakat mula berfikir yang saya tidak mengajar lagi. 

Saya mengatakan tidak mengapa, lagi bagus orang tak ramai sebab kita boleh "tamak" dengan banyak membaca pada malam ini. Bukan selalu dapat peluang seperti ini. Bilal pun setuju. Lalu selepas solat maghrib, kelas tahsin al-Quran pun di mulai. 

10 minit berlalu dengan tenangnya, hanya 4 orang sahaja, kemudian selang 5 minit kemudian, orang mula bertambah, dan semakin bertambah sehingga menjadi lebih kurang 23 orang termasuk muslimat. Bilal masjid pun terkejut. 

Ya, kita fikir, semasa awal mengaji tadi, hanya empat orang sahaja, bila dah nak dekat solat Isyak, tiba-tiba ramai. Macam malaikat pula yang mengisi. 

Subhanallah, sesungguhnya hanya Allah swt sajalah yang mengggerakkan hati-hati masyarakat kita dalam menuntut ilmu agama, hantaa dalam memperbaiki bacaan al-Quran. Jadi para guru-guru al-Quran janganlah bersedih ketika kurangnya berjemaah. Bukan kerana sambutan, tapi biarlah kita mengajar untuk mengejar pahala. 

Kalau saja kita katakan adanya pengaruh kita, ingat, kita juga hamba Allah. Mereka juga hamba Allah. Maka hendaklah kita memohon kepada Allah swt agar Allah bukakan lagi hati-hati manusia untuk terus belajar al-Quran seterusnya mengamalkan isi kandungannya agar kita semua mendapat syurga yang dijanjikan Allah swt. 

Alangkah indahnya dengan mengaji al-Quran, kita dapat menikmati masa-masa di dalam firman-firman Allah dengan mentadaburinya, dengan merasakan lazatnya ketika kita mengetahui betapa banyaknya janji-janji Allah swt kepada orang-orang yang beriman. Betapa takutnya ketika sampai kepada ayat-ayat azab dan siksa. 

Allahu...

Moga-moga kita sebagai guru-al-Quran dapat mengajarkan dan mendekatkan masyarakat dengan al-Quran. Dan kita doakan agar mudah-mudahan masyarakat sentiasa berinteraksi dengan al-Quran serta mampu menjadikan masyarakat kita masyarakat yang mengutamakan nilai-nilai Islam dan takut hanyalah kepada Allah swt semata-mata.

Ini doa kita. 

Tiada ulasan: