Isnin, 15 Ogos 2011

Akhlak Hilang, Aqidah Terbuang


Melihat fenomena remaja masa kini tidak kira di mana jua kita berada sekalipun baik di Malaysia mahupun di Indonesia, seringkali kita melihat bahawa fenomena keruntuhan akhlak semakin menjadi-jadi. Di Malaysia krisis hedonisme semakin popular. Di negeri syariat Islam Indonesia, Nanggroe Aceh Darussalam pula akhlak remaja di sini juga terjejas teruk selepas tsunami yang melanda pada akhir tahun 2004. 

Jika para pelancong datang ke negeri Serambi Mekah Indonesia ini, mungkin mereka terpaksa termenung seketika melihat fenomena seperti ini. rasa tidak percaya mula menyelubungi diri. Entah di mana silapnya, negeri yang hebat suatu ketika dulu makin lenyap di dalam lautan hedonisme. Itulah hakikat keruntuhan ketamadunan Aceh.

Apabila malam minggu menjelma, ramailah pemuda pemudi Islam "memeriahkan" malam tersebut dengan pelbagai acara yang telah di programkan lewat sms atau telefon bersama pasangan masing-masing. Ada yang ke pantai, menikmati cahaya bulan purnama, merasai belaian hembusan angin dan udara, di samping bergurau senda. Unit pencegah maksiat (istilah di sini:WH atau Unit Wilayatul Hisbah) ada terpaksa melopong dan ternganga, bukan kerana mereka tidak mampu, tetapi hampa! Kuasa yang ada hanyalah terbatas! Undang-undang HAM menjadi kuasa besar dalam mempertahankan kebebasan Hak Asasi Manusia.



Syariat Islam yang dilaung-laungkan dulu sepertinya hampir sudah tidak kedengaran lagi. Yang tinggal hanyalah slogan-slogan kosong yang di bawa sewaktu pilihan raya negeri. Alhamdulillah, masih lagi ada segelintir yang masih lagi meneruskan agenda perjuangan Islam, baik di peringkat nasional mahupun peringkat mahasiswa. Jika di Indonesia, tentunya Parti PKS (Partai Keadilan Sejahtera) yang menjadi dominan untuk menjadi wadah sebagai pemangkin wujudnya syariat Islam di Aceh lebih-lebih lagi di Indonesia. Jika di peringkat Mahasiswa, adanya lembaga-lembaga yang mendominasi, antaranya KAMMI (Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia) dan LDK (Lembaga Dakwah Kampus) serta lain-lain.

Jika di lihat permasalahan yang terjadi di Aceh, sama persisnya seperti keruntuhan di negara-negara yang pernah melaksanakan syariat Islam. Contohnya keruntuhan Kerajaan Bani Umaiyyah dan Abbasiyyah di Spanyol dan Khilafah Uthmaniyyah di Turki. Semuanya runtuh kerana kerosakan moral dan akhlak di kalangan pemuda. Jika di negara-negara yang bukan muslim pula seperti Rom, Parsi, Pompei, Yunani, semuanya musnah gara-gara mengetepikan nilai-nilai moral dan akhlak! Begitu juga kisah-kisah yang disebutkan di dalam al-Quran tentang kemusnahan kaum Nabi Luth, dan Tsamud. Semuanya menjadi saksi atas semua kejadian ini. Runtuh kerana rosaknya akhlak pemimpin dan masyarakat. Singkatnya, Sunnatullah!

Firman Allah SWT:
"(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang yang telah kami utuskan sebelummu daripada rasul-rasul kami dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi peraturan kami yang tetap itu." (Surah al-Isra': 17:77)
Apa Itu Akhlak?

Menurut bahasa, perkataan akhlak berasal daripada perkataan bahasa arab. Perkataan "akhlak" adalah bentuk jamak dari khuluq, yang bererti budi pekerti, sifat, tingkah laku, tabiat dan perangai. Akhlak boleh dikatakan sebagai kesusilaan dan sopan santun. Khuluq merupakan sifat gambaran batin manusia dan boleh dikesan dari bentuk lahiriyah (perbuatan) manusia itu sendiri. 

Menurut Al-Ghazali, Akhlak adalah sifat yang tertanam dalam jiwa yang menimbulkan bermacam-macam perbuatan yang mudah, tanpa memerlukan pemikiran dan pertimbangan. 

Menurut Ibn Miskawaih pula, akhlak merupakan suatu keadaan yang melekat pada jiwa manusia, yang berbuat dengan mudah, tanpa melalui proses pemikiran atau pertimbangan.

Akhlak berkait rapat dengan kekuatan aqidah yang berada di dalam diri seseorang Muslim. Aqidah sebagai akar dan Akhlak sebagai buah atau hasil yang tercermin dari aqidah.

Apa itu Aqidah?

Aqidah bersal dari kata bahasa arab yang bermaksud ikatan atau simpulan. Ianya lebih khusus berkaitan dengan kepercayaan.  Dalam fahaman praktikalnya, Aqidah merupakan "perjanjian" keimanan yang kuat antara manusia dan pencipta-Nya. 

Kaitan antara Akhlak dan Aqidah

Hubungan antara Aqidah dan Akhlak adalah ibarat sebatang pokok. Aqidah sebagai akar dan Akhlak sebagai buah. Sebagai contoh, apakah tujuan kita menanam pokok buah. Pastilah yang kita mahukan adalah hasil yang kita tanam itu menghasilkan buah. Untuk menjaga akarnya dari rosak, pastilah kita memberikan baja yang terbaik untuk menghasilkan buah yang terbaik. 

Begitu juga dengan akhlak. Untuk mendapatkan Akhlak yang mulia, pastinya Aqidah di jaga. Jadi prosesnya adalah ibadah. Ibadah sebagai baja yang menjamin keutuhan dan kualiti Aqidah. Bagaimana mahu menjadikan pokok subur jika akarnya mati. Jika akarnya mati, masakan pucuk hidup meninggi.

Tanpa akhlak, ibadah juga akan rosak seperti kayu yang di makan api:

Sabda Nabi SAW:
"Betapa ramai orang yang berpuasa, tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga. Dan berapa ramai orang yang solat malam tetapi hakikatnya dia hanya berjaga malam." (Riwayat Ahmad)
Ibadah itu fungsinya bersifat spiritual dan menjana ketahanan dan kekuatan Aqidah. Firman Allah SWT:
"Dan dirikanlah Solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar." (surah al-Ankabut; 45)
Sabda Nabi SAW:
"Akhlak yang buruk itu merosakan amal kebajikan seperti cuka yang merosakan madu dan api yang membakar kayu bakar." (Riwayat Ibnu Majah)
Dalam suasana di Aceh ini, seharusnya pihak pemerintah hendaklah menekankan tentang 3 konsep yang di ajarkan oleh Rasulullah SAW iaitu, Iman, Islam dan Ihsan. Kerana konsep inilah yang memperbaiki sistem dan akhlak masyarakat. Jika ini tidak di tanamkan, maka tunggulah kemusnahan dan kehancuran yang di janjikan oleh Allah SWT. Itulah Sunnatullah! 

Akhlak itu penting untuk menciptakan suasana harmoni dan menjadi sebuah mercu untuk membentuk masyarakat madani. Sabda Nabi SAW:
"Orang yang sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya." (Riwayat al-Kharaiti)
Dan bagi umat Islam, usaha membaiki akhlak adalah satu agenda besar yang sangat penting di fahami, dihayati dan di laksanakan di semua peringkat masyarakat. Jika tidak, kita akan terus dijajah dari sudut ekonomi, pemikiran dan budaya hidup jahiliyyah. Walaupun kita tahu dan sedar bahawa kita hidup di era jahiliyyah baru.

Ingatlah pesan Imam Malik:
"Pembaikan umat yang tidak akan di capai, melainkan dengan kaedah pembaikan umat yang terdahulu."
Jika rendah akhlak menyebabkan umat musnah, maka tinggi akhlak akan menyebabkan umat ini gagah!

~Kemantapan Tarbiyyah Teras Kesatuan Mahasiswa~

Abdullah Hakimi 
Blang Kreung
15 Ogos 2011

1 ulasan:

Muslimah Optimis berkata...

akhlak itu perlu dijaga dan ditatang dengan baik.. :-)