Rabu, 10 Februari 2021

Antara Hati Yang Sakit dan Yang Sihat


Penulisan kali ini adalah diambil dari karya terjemahan karya Dr Majdi al-Hilali, Panduan Kembali Kepada al-Quran yang diterjemahkan oleh Abu Ezzat al-Mubarak terbitan Pustaka Jiwa.

Seringkali mereka yang menghafaz al-Quran ini, lari dari tujuan hidup oleh kerana penyakit yang ada dalam hati mereka. Bahkan semakin sakit dan menyakiti orang lain juga.

Justeru, perkongsian kali ini bertujuan merenungi kembali agar para penghafaz al-Quran menyedari bahawa hati kita sedang sakit, perlukan rawatan khusus dalam mengembalikan kembali tujuan asal kita dalam menghafaz al-Quran. Untuk kali ini lebih terfokus kepada seketul daging dalam tubuh manusia yang mengawal segala tingkah laku manusia, iaitu hati.

Hati Yang Sakit

Maksud dari hati yang sakit adalah hati yang tidak sihat, atau dengan kata lain bererti kecenderungan perasaan terhadap hawa nafsunya sehingga hawa nafsu itu menguasainya, dan sejauh mana penguasaan ini, maka sejauh itu pulalah penyakit yang menderita hati.

Dan jika semua perasaan dan sensitiviti manusia sudah mengarah kepada keinginan nafsu semata, maka penyakit hati akan semakin parah dan menjadi lebih sakit sehingga kesihatan hati sangat susah dicapai (untuk disembuhkan) dan jadilah tuntutan hawa nafsu sebagai tuan, raja, pemberi perintah dan larangan yang sentiasa dipatuhi sepertimana yang telah digambarkan melalui firman Allah swt dalam surah al-Furqan ayat 43:

"Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat jadi pemelihara keatasnya?"

Penyakit al-Wahn (Cinta Dunia dan Takut Mati)

Al-Quran, seringkali menggambarkan tentang perihal mengikuti hawa nafsu ini dan mencakup segala hal sesuatu dimana hawa nafsu cenderung kepadanya. Semua ini dibungkus dalam satu dasar iaitu, cinta kepada dunia (al-Wahn)

Di antara bentuk mengikuti hawa nafsu ini adalah mengikuti keinginan syahwat. Allah swt berfirman dalam surah Maryam ayat 59:

"Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang buruk) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan." 

Diantaranya juga adalah berlaku sombong di dunia. Allah swt berfirman dalam surah an-Naml ayat 14:

"Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang membuat kerosakan."

Sebahagian dikalangan mereka juga adalah takut terhadap rezeki dan kehidupan. Allah swt berfirman dalam surah al-Qashash ayat 57:

"Dan mereka berkata:"jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami."


Hati Yang Sihat

Sebaliknya, apabila hati sudah sihat, ia bererti bebas perasaanya dari hawa nafsu dan dia hanya menghadap dan beribadah hanyalah kepada  Allah swt semata-mata.

Rasulullah saw bersabda:

"Sesiapa yang mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan tidak meberi juga kerana Allah, maka imannya benar-benar sempurna."  

Tatkala seluruh perasaan terbebas dari hegemoni hawa nafsu dan dia hanya terfokus kepada Allah, maka disaat itulah hati menjadi hidup dan bening, sinar cahaya akan memancar dari semua sudut-sudutnya dan tidak pernah goyah diatas badai fitnah yang menerpanya dalam hidup ini.

Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah saw. Baginda bersabda:

"Pelbagai fitnah akan menyerang hati, sebagaimana halnya hamparan tikar, sehelai demi sehelai, maka hati yang akan larut di dalamnya akan ditumbuhi noda hitam dan hati yang mengingkarinya akan ditumbuhi noda putih sehingga hati-hati tersebut hanya terdiri dari dua macam: hati yang hitam pekat bagaikan punggung periuk hitam legam, sedikitpun tidak mengenali kebaikkan dan mengingkari kemungkaran, selain dari yang dia guna dari hawa nafsunya, dan satu lagi dari hati yang jernih, dia tidak akan terpengaruh dengan pelbagai fitnah yang menerpanya selama hidup di dunia ini."


Allah swt berfirman dalam surah al-A'raf ayat 201:

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga, mereka melihat kesalahan-kesalahannya."

Kesimpulannya, dalam merancang perubahan yang didambakan, (selain mengembalikan fungsi akal fikiran,) dia juga harus masukkan  (dan meneguhkan) iman di dalam hatinya, sehingga menguatkannya dalam menghadapi godaan hawa nafsu dan sentiasa berusaha untuk menguatkannya, lalu dia mampu menguasai penuh terhadap penguasaan hati. Akhirnya hati itu akan kembali sihat dan hidup secara sempurna.

Sekiranya yang dituntut dari hati supaya melakukan perubahan yang didambakan terhadap tingkahlaku kita tercapai, maka bagaimanakah al-Quran dapat merealisasikan tugas seperti ini?

Allah swt berfirman dalam surah Al-An'am ayat 125:

"Sesiapa yang Allah mengkehendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia akan melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam." 

Di sini ada lagi peranan penting lain dari al-Quran, iaitu kemampuannya dalam mempengaruhi dan menaklukkan perasaan. Ini kerana al-Quran bukan saja sebagai pemberi peringatan bagi akal fikiran, tetapi sebagai nasihat yang akan mempengaruhi perasaan dan sensitiviti. Allah swt berfirman dalam surah Yunus ayat 57:

"Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) di dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman." 

Persoalannya adalah, bagaimana kita sebagai penghafaz al-Quran yang masih muda ini, dapat menyedari dengan segera tentang penyakit yang telah menimpa hati-hati kita untuk segera dirawat dan diubati.

Atau adakah hati kita tak merasa terkesan dengan nasihat-nasihat dari al-Quran untuk kita setelah kita menghafaz al-Quran?

Adakah kita tidak merasa dahaga untuk meneguk secangkir ilmu al-Quran berbanding permainan di dunia?

Sebelum parah, rawatlah ia sebaik mungkin,

Agar tidak kehilangan permata yang berharga. 

Iman. 

Tiada ulasan: