Isnin, 8 Februari 2021

Jika Akarnya Rosak, Bagaimana Pohon Menjadi Rimbun?


Alhamdulillah, dapat lagi menulis dalam ruang ini. Setelah begitu lama menyepikan penulisan dari mana-mana sudut, akhirnya mencuba lagi untuk mengaktifkan semula dalam bidang penulisan.

Namun kali ini penulisan saya kearah kekeluargaan. Mungkin kerana sudah tiba masanya saya menulis berkenaan dengan hal-hal yang berhubungan dengan kekeluargaan.

Bila menulis ini, apa yang disampaikan bukan untuk bacaan ramai sahaja, malah teguran untuk saya juga kerana pada ketika ini, saya pun telah mempunyai dua orang cahaya mata. Alhamdulillah. 

Semoga dengan apa yang saya sampaikan pada kali ini dapat kita berkongsi rasa dan pandangan berkenaan apa yang berlaku dalam kehidupan masyarakat kita pada hari ini. 

---------------

Dunia sekarang sangat mencabar dalam mendidik generasi muda. Generasi muda pula lebih bebas berbanding generasi sebelumnya. Malah lebih advance atau luar biasa! Apa yang berlaku pada hari ini merupakan satu budaya baru yang terhasil dari ledakan teknologi maklumat dengan banyaknya gajet-gajet yang mampu milik yang boleh dimilik oleh remaja pada hari ini. 

Sungguhpun begitu, terlalu banyak kebebasan yang diperoleh oleh kerana gajet yang dimiliki adalah 100% dikawal oleh generasi hari ini tanpa pantauan oleh pihak yang bertanggungjawab iaitu ibu bapa dan penjaga. 

Benar, dengan memiliki gajet, tidak ada dosanya. Namun perkara ini perlu diambil pertimbangan dan didikan serta panduan oleh penjaga agar remaja tidak tersalah langkah.

Isunya yang nak disampaikan adalah tanggungajawab dari ibu bapa dan penjaga yang sentiasa mengambil ringan tentang diri anak sendiri khususnya pada anak remaja terutamanya tentang memberi perhatian dan kasih sayang. 

Tidak Peduli dan Kemerosotan Kasih Sayang

Menurut Prof Dr Zuria Mahmud dari Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) berkata pelbagai pihak perlu berusaha untuk membendung gejala sikap tidak peduli dan kemerosotan kasih sayang dalam keluarga.

Dalam syarahan umumnya bertajuk "Kemahiran Keibubapaan: Mulakan Amalan baik dari Awal," Prof Zuria berkata kajian menunjukkan fenomena masalah remaja dalam masyarakat menjadi semakin serius kerana kurangnya perhatian oleh ibu bapa.

Bercakap berdasarkan pengalaman dan pertemuannya dengan pelajar dan guru, Prof Dr Zuria berkata beliau telah bertemu ramai remaja yang berasa sedih kerana ibu bapa mereka tidak peduli apa yang mereka lakukan di luar rumah.

Lebih Selesa Bersama Dengan Rakan-Rakan

Generasi pada hari ini lebih selesa berbual dengan rakan-rakan sebaya. Dalam penyampaian informasi, anak-anak lebih mudah untuk meluahkan perasaan, membuat pertimbangan dan melaksanakan aktiviti-aktiviti berdasarkan keputusan dalam perbincangan sesama mereka sendiri. 

Apabila ini berlaku, kepercayaan kepada ibu bapa dalam menyelesaikan masalah anak semakin terhakis. Anak-anak akan lebih mendengar pandangan rakan berbanding keluarga oleh sebab 'jauh'nya rasa kepercayaan dan terasa dikongkong apabila sesuatu perintah atau arahan dikeluarkan oleh keluarga. 

Apa yang berlaku ini akan menyebabkan si anak akan merasa semakin jauh dan semakin lebih terpengaruh dengan pandangan rakan-rakannya masing-masing. 

Cadangan Kepada Ibu Bapa

Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang direkodkan oleh Imam Bukhari:

Rasulullah Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: Seorang lelaki adalah pemimpin bagi keluarganya,  dan dia akan diminta bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pengurus rumah tangga suaminya, dan dia akan diminta bertanggungjawab apa yang dipimpinnya. 


Saya memetik tajuk-tajuk dalam buku yang ditulis oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, 365 Tips Didik Anak Gaya Nabi. Antara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa yang mempunyai anak yang sudah meningkat ke usia remaja pada hari ini adalah: Santuni anak ketika berkomunikasi


1. Santuni anak ketika berkomunikasi


Ibu bapa kena sentiasa memperbaiki diri untuk sentiasa dapat memberikan contoh yang terbaik kepada anak termasuklah ketika berkomunikasi kepada mereka.


Dengan berkomunikasi dengan baik, anak-anak akan menjadikan ibu bapa mereka sebagai pakar rujuk utama mereka. 


Dalam satu riwayat dari Imam at-Tirmidzi, Usamah bin Zaid melaporkan:

Nabi Sallallahu Alayhi Wasallam bersabda: "Sekiranya seseorang menerima satu kebaikkan daripada seseorang yang lain, kemudian dia mengatakan 'Semoga Allah memberi balasan yang baik kepada engkau', maka dia sudahpun menyampaikan penghargaan yang tinggi."


2. Dengar Dua Kali Penjelasan Anak Sebelum Membuat Kesimpulan


Persepsi membuatkan ibu bapa menanggapi perihal anak tidak kira sama ada positif mahupun negatif. Kebanyakkanya meletak label berdasarkan kepada maklumat pertama yang sampai. Persepsi kenabian menjadi contoh terbaik kerana memiliki jiwa yang tulus dan ikhlas dalam memberikan persepsi dalam ruang lingkup sebenar.


Sebagai contoh, huraian dari surah al-Kahfi, ayat 66-70, Nabi Khidir Alaiyhissalam dikurniakan kemampuan bagi mengamati atau melahirkan persepsi tentang Nabi Musa Alaiyhissalam yang masih belum memiliki sifat sabar dalam hal untuk belajar menerima hakikat kebenaran di luar fikiran manusia. Selain itu, Nabi Musa Alaiyhissalam dikatakan belum meneruma pengetahuan dasar tentang ilmu hakikat ketuhanan . Dalam rangka melalui proses pembelajaran, Nabi Musa Alaiyhissalam tidak mengakui bahawa baginda tidak mempunyai kesabaran dan akan membantah setiap perkara yang dilakukan oleh Nabi Khidir Alaiyhissalam. 


Jadi ibu bapa perlu menyelidiki setiap perkara yang berlaku dan elakkan terpengaruh dengan sumber yang lain. Dengar penjelasan anak sebelum memutuskan sesuatu ataupun marah melulu. 


Ibu bapa juga mesti elakkan daripada melakukan tindakan yang salah pada anak-anak seperti apabila anak-anak mengadu perihal adik beradiknya yang lain. Jadi seharusnya ibu bapa harus mendengar penjelasan anak terlebih dahulu dan tidak perlu marah secara melulu. 


Kelebihannya, ibu bapa akan lebih cakna menilai perihal anak dengan kekuatan persepsi yang lahir dari pengamatan melalui pemahaman. 


3. Ingatkan Anak Bahawa Ibu Bapa Tiada Pengganti. 

Allah Subhanahu wa Taala menjelaskan: 

"Dan Kami memerintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya yang mengandungkannya dalam keadaan begitu lemah dan menceraikan susuannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada bu bapamu. Hanya kepada-Ku tempat kembali. - Surah Luqman ayat 14. 

Kehadiran ibu bapa dalam kehidupan anak tidak ada galang gantinya. Anak yang leluar dari rahim ibu tidak dapat diganti dengan ibu yang lain sebagai ibu kandungnya. Begitu juga gen bapa yang lahir dalam tubuh anak tidak hilang begitu sahaja. Antara tips untuk ibu bapa adalah:

  • Bisikkan ke telinga anak sebelum tidur bahawa ibu bapa tidak ada pengganti di dunia ini. 
  • Merancanglah untuk menyuburkan rasa kasih dan sayang antara ibu bapa dan anak dan ahli keluarga yang lain pula. 
  • Ingatkan kepada anak-anak yang berjauhan dengan ibu bapa untuk menelefon mereka sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk bertanya khabar dan mengetahui setiap perkembangan ibu bapa terutamanya soal kesihatan mereka.  
Di sinilah sebenarnya ibu bapa sedang membina kesedaran dalam diri anak untuk membahagiakan ibu bapa lebih dari segala-galanya. 

Penutup

Untuk penulisan kali ini, saya sebenarnya cuba untuk mengetengahkan isu ini supaya kesedaran masyarakat terutama ibu bapa perlu mengambil berat tentang pendidikan kekeluargaan khususnya dalam memahami generasi muda pada hari ini. 

Jangan memberikan alasan mudah dengan alasan sibuk bekerja kerana memenuhi tuntutan hidup sedangkan dalam mendidik anak sahaja juga adalah salah satu tuntutan hidup yang tidak boleh ditinggalkan. 

Bagaimana kita hendak mempunyai harta akhirat sedangkan kita yang memusnahkannya. 

Bagaimana kita hendak membangun negara kalau generasi mudanya hancur. 

Bagaimana kita hendak bahagia jika bahagia yang kita bina rapuh dan menuju kehancuran. 

Jika akarnya rosak, bagaimana pohon menjadi rimbun. 

Jika kita sayang, maka janganlah 'membuang' mereka pada usia remaja dengan memberi alasan mereka mampu membuat keputusan sendiri walhal sebenarnya mereka memerlukan bimbingan dan sentuhan kasih sayang. 

Abdullah Hakimi
Bilik Kuliah HAMKA, IKDAR
11.00 Pagi, 9 Februari 2021

Tiada ulasan: