Isnin, 22 Februari 2021

Ingatan Malu Berbalut Rindu



Ada beberapa peristiwa dalam hidup saya ketika dalam pengembaraan menuntut ilmu di negeri seberang, yang mungkin sebahagian orang telah ku ceritakan. Atau juga mungkin telah pun tertulis di dalam kanvas maya ini.

Yang kadang-kadang saya menjadi rindu dan tersenyum sendiri apabila mengingatnya. Mungkin kerana ia adalah sebuah perasaan yang agak lama sirna dalam hidup, atau satu perasaan melankolik yang berlegar-legar dalam hati.

Beberapa peristiwa silam yang saya ingin kongsikan, yang boleh jadi sebagai perkongsian rasa dalam hidup bagaimana saya sebagai seorang penghafaz al-Quran, yang kembali ingin berkhidmat dengan dunia pendidikan al-Quran dan juga tidak mahu berpisah dengan kehidupan al-Quran.

Pada satu titik hidup saya, saya amat jauh dengan kehidupan al-Quran. Dalam masa yang sama, saya sibuk buat kerja selain dari menuntut ilmu iaitu bekerja. Pada ketika iu saya bekerja sebagai pemandu pelancong.

Nak diringkaskan cerita, pada ketika saya membawa satu rombongan yang agak besar jumlahnya, ada permintaan untuk dibawa ke mana-mana pasentren al-Quran yang ada penuntut hafizah. Segera saya menghubungi sahabat-sahabat yang tahu tentang pasentren di kawasan Aceh Besar yang mempunyai santri hafizah.

Setelah saya dapat tahu tempat dana alamatnya, saya buat perancangan tambahan membawa ke Pasentren tersebut.

Saya kurang ingat di mana, tapi dekat sahaja dengan Banda Aceh dan tanah perkuburan Massal, jalan dari Lapangan Terbang (nama lain di sebut sebagai Bandara SIM (Bandar Udara Sultan Iskandar Muda) ke Banda Aceh. Maka dijemputlah kami masuk ke dalam kawasan Pasentren.

Bagi lelaki, saya bawakan ke kawasan lelaki, manakala bagi pelancong wanita, saya biarkan mereka di bawa oleh guru yang tinggal di situ. Namun (mungkin namanya rezeki terpijak!), saya diajak masuk oleh makcik-makcik pelancong tadi, supaya saya boleh menerjemahkan apa saja pertanyaan mereka kepada santriwati Quran di dalamnya.

Pada mulanya saya menolak, kerana maklum sajalah, tempat itu kan tempat pelajar perempuan, mana mungkin saya boleh masuk ke kawasan itu. Bahkan boleh jadi jatuh haram kalau masuk tanpa keizinan. Namun, saya diberi izin oleh kerana sebab di atas. Saya akur dengan keadaan dan mengikuti makcik-makcik itu dari belakang (kerana laluannya sempit, boleh cukup muat satu orang saja yang melalui kawasan tersebut.)

Kawasan asramanya bukanlah seperti yang kita bayangkan, seperti mana kebiasaan asrama. Asrama mereka adalah pondok-pondok usang, berbumbungkan atap rumbia, dan (kalau tak salah), berlantaikan kayu-kayu buluh yang dibelah tengah. Dindingnya juga dari buluh atau semacam anyaman tikar untuk dijadikan dinding. Namun saya pasti, kalau ada ribut pun, masih lagi kukuh, kerana mereka dikelilingi oleh pokok-pokok tinggi yang berimbum diatasnya.

Namun bukan itu yang dapat saya rakamkan secara jelas di ingatan. Yang saya ingat suasananya pada ketika itu hanyalah alunan bacaan al-Quran yang dibaca dari mana-mana saja sudut. Sama ada di dalam pondok, di tepi tangga, pada ketika santriwati itu memasak di bawah rumah dan di mana-mana saja sudut.

Bukan itu saja, bahkan redup mata mereka tidak melihatku sama sekali. Para wanita pelancong itu menegur mereka, dan bersalaman dengan mereka, dan mereka menyambutnya dengan sangat terhormat. Tetapi (saya yakin!) mereka tidak memandangku sama sekali. Sekali-kali tidak, mereka tidak memandangku!

Bahkan saya mendengar suatu ayat al-Quran yang bermain-main di minda (dan masih ingat pada ketika ini), ayat dari surah al-Waqiah, ayat 22-26.
 
وَحورٌ عينٌ
Dan (mereka dilayani) bidadari-bidadari yang cantik parasnya,

كَأَمثٰلِ اللُّؤلُؤِ المَكنونِ
Seperti mutiara yang tersimpan dengan sebaik-baiknya.

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ 
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.

لا يَسمَعونَ فيها لَغوًا وَلا تَأثيمًا
Tidaklah mereka akan mendengar di dalam syurga itu perkataan yang sia-sia;

إِلّا قيلًا سَلٰمًا سَلٰمًا 
Melainkan mereka mengatakan: "Selamat! Selamat! ” (dari satu kepada yang lain).

Walhal saya tidak sekali-kali ingat ayat ini. Demi Allah! Tidak sekalipun pada ketika itu ingat hafazan pada ayat ini. 

Setelah habis perjalanan mengelilingi kawasan santriwati, kami pun keluar dari tempat itu. Seketika itu juga ditegur oleh makcik-makcik pelancong yang saya bawa. 

"Eh Ustaz! Kenapa muka merah sangat ni? Demam ke?"

Saya katakan kepada kalian, saya malu pada ketika itu. Rona merah pada wajah saya adalah disebabkan malu. Dan aku terus malu... 

Kerana malunya saya telah meninggalkan al-Quran sekian lama... 

Dan saya malu dengan Tuhanku!

Terngiang-ngiang ayat ini:

جَزاءً بِما كانوا يَعمَلونَ 
(Semuanya itu) sebagai balasan bagi (amal-amal baik) yang mereka telah kerjakan.

Setelah gelap mula menunjukkan diri, saya mulai menangis mengingatkan diriku... Kenapa engkau meninggalkan al-Quran...

Itu satu cerita. 

Setelah beberapa lama kemudian, saya hendak balik ke Malaysia. Balik bercuti. Alhamdulillah. Ketika itu pakaian saya seperti mana pakaian anak muda. Saya pakai pakaian kemas, baju lengan panjang berwarna biru gelap yang disisipkan masuk ke dalam seluar jeans, berjaket hitam dan bertopi hitam dan berkasut sukan berwarna gelap. 

Semasa diruang menunggu, saya duduk berhadapan dengan cermin tembus luar. Nampak bukit bukau yang berbaris indah, kawasan tepi terlihat sawah padi. Keadaan cuaca berawan, namun masih terlihat langit membiru. Cuaca cerah yang sangat baik. 

Alhamdulillah, terlihat kapal terbang Air Asia sedang hendak mendarat. Jadi kami sebagai penumpang segera beratur di pintu utama. 

Setelah penumpang Air Asia yang yang berada dalam kapal terbang diturunkan, giliran kami untuk masuk. Cepat-cepat whatsapp keluarga memberitahu bahawa saya sudah nak masuk kapal terbang. Perjalanan biasanya akan mengambil masa 1 Jam 25 minit untuk sampai ke Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Akhirnya saya dapat masuk ke dalam kapal terbang. Alhamdulillah... Namun yang tak bestnya, tempat duduk saya. Saya ini jenis suka duduk di tepi tingkap. Suka melihat pemandangan diluar. Tapi kali ini tempat duduk saya dirampas seorang gadis muda!

Nak tegur serba salah, nak minta tukar tempat, lagilah segan!

Tak apakah, bukan rezeki saya. Saya duduk di kerusi sebelahnya dan terus memakai tali pinggang keselamatan. Yang saya fikir, saya duduk, dan kemudian saya nak terus lelapkan mata. Saya hanya mahu buka mata bila kapal terbang sampai ke terminal sahaja. Sebab masih jauh perjalanan balik ke rumah. 

Apabila kapal terbang sudah bersedia hendak berlepas, saya melihat gadis muda di sebelah saya mengeluarkan satu buku tebal. Bukanlah niat nak tengok orang sebelah saya tu, saya cuma hendak melihat pemandangan di luar sebelum terbang. 

Yang dia keluarkan adalah al-Quran. 

Ya! Al-Quran.... Itu yang membuatkan saya terkesima. 

Dan saya jadi malu dengan diriku sendiri!

Saya bertanya pada diri sendiri... 

"Nah! Sekarang di mana kamu letakkan al-Quran pada dirimu? Selama ini bagaimana perjalanan hidupmu!? Bagaimana pula dengan kehidupanmu bersama dengan al-Quran!? Bagaimanakah penampilanmu bersama dengan al-Quran!?"

Saya terus menjadi malu dengan keadaan diri sendiri berbanding gadis muda disebelah saya. Terus saya berdoa untuknya. 

"Semoga saja Allah memberkahimu dengan terus hidup bersama al-Quran... Semoga saja Allah memberkahi hidupku untuk terus bersama al-Quran..."

Selama 1 jam 25 minit itu, saya hanyalah buat-buat tidur sambil mendengarkan dia memurajaah hafazan al-Qurannya. 

Ya! Dia seorang hafizah! 

Dan disebelahnya seorang al-habis!, Yang meninggalkan hafazan al-Quran selama 6 tahun tanpa memurajaahnya. 

فيهِنَّ قٰصِرٰتُ الطَّرفِ لَم يَطمِثهُنَّ إِنسٌ قَبلَهُم وَلا جانٌّ

Di dalam Syurga-syurga itu terdapat bidadari-bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), yang tidak pernah disentuh sebelum mereka oleh manusia dan jin.

كَأَنَّهُنَّ الياقوتُ وَالمَرجانُ 
Bidadari-bidadari itu (cantik berseri) seperti permata delima dan marjan.

هَل جَزاءُ الإِحسٰنِ إِلَّا الإِحسٰنُ
Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik – melainkan balasan yang baik juga?

Dan aku menjadi malu... terus menjadi malu. Walaupun dia memurajaah al-Quran di sebelah saya saja, tapi dia telah memberikan satu tamparan hebat ke dalam hati saya bahawa, membaca al-Quran itu mesti setiap masa, dan di mana-mana saja engkau berada. 

Dan ingatan itu terus berada di kepala ku sehinggalah pada hari ini. 

Dan ingatan itu membuatkan aku jadi rindu.

Rindu dengan perasaan malu pada diriku sendiri. 

Apakah kamu (yang menghafaz al-Quran ini) tidak terasa dengan suasana ini?

Apakah ketika kita ada masa terluang, kita segera pegang al-Quran dan terus membacanya siang dan malam, ketika rajin dan ketika malas dan dimana sahaja kita berada? 

Adakah kita tergolong dalam orang yang sentiasa memenuhi masa hidup kita dengan amal perbuatan baik?

Ingatan ini membuatku malu, namun membuatkan aku rindu.

Rindu untuk terus sentiasa berada dengan al-Quran. 

Tiada ulasan: