Jumaat, 19 Februari 2021

Jika Benar Engkau Tertusuk Pedang Cinta


“Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.” 
- Buya Hamka.

Benar, cinta itu membutakan. Benar, cinta itu akan membuatkan orang lain yang mengganggunya akan berasa terancam. Orang yang telah jatuh cinta tidak akan memandang kepada selain yang dicintainya.

"Ya Rasulullah..." Kata Umar perlahan, "Aku mencintaimu seperti mana aku mencintai diriku sendiri."

Beliau Sallallahu Alaiyhi wa sallam tersenyum.

"Tidak wahai Umar. Engkau harus mencintaiku melebihi cintamu pada diri dan keluargamu."

"Ya Rasulullah..." Kata Umar, "Mulai saat ini, engkau lebih aku cintai daripada apapun di dunia ini."

"Ya.. begitulah wahai Umar.."

Cinta itu seperti kata kerja. Lebih difahaminya begitu.

Kenapa disebut seperti itu? Kerana ia memerlukan komitmen, tanggungjawab dan bukan datangnya dari gejolak hati yang sememangnya inginkan perhatian. Dan bukanlah suatu yang apabila melihat rupa paras seseorang yang kemas dan cantik.

Ia memerlukan pembuktian. Ia memerlukan amal perbuatan untuk melaksanakan dan merealisasikan cinta. Seperti mana rasa cintanya pada Allah, dan Rasul-Nya, bukan mudah semuanya itu untuk merasuk ke dalam jiwa. Bukan semudah seperti menyatakan cinta kepada orang yang dicintainya.

Mencintai Allah dan Rasul-Nya memerlukan pengorbanan, memerlukan rasa cinta sepenuh hati dan jiwa, melebihi rasa cinta pada diri, harta dan keluarganya. bahkan ia lebih dari rasa suka dan keterpaksaan, seperti mana dalam firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 216:

"Diwajibkan keatas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui."

"Aku mencintaimu kerana Allah..."

Lantas dengan perkataan itu, kita mudah untuk memberikan hati kita atas perkataan itu?

Atau ada seorang lelaki yang sedang bergejolak jiwanya kerana mencintai seorang wanita, - seperti mana helang melihat mangsanya, atau serigala melihat kambing yang terpisah dari kumpulannya - mengungkapkan rasa cintanya, dengan mudah -sebagai seorang wania - kamu menerimanya?

Pernah saya menulis tentang ibrah cinta Safura dan Khadijah hampir 10 tahun yang lalu. Yang saya petik kisahnya dalam al-Quran sendiri dalam surah al-Qashash ayat 26:

"Wahai Ayahku, ambillah dia (Musa) sebagai orang yang bekerja (dengan kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (dengan kita) ialah orang yang kuat (Qowiy) lagi dapat dipercayai (al-Amin)".

Ini dijelaskan oleh Ibnu Katsir, Musa membantu Safura dan saudaranya mengangkat penutup telaga sendirian. Dan mereka juga ada bertanyakan beliau ini siapa dan Musa mengaku yang beliau adalah seorang musafir. Jadi Safura mengetahui yang Musa adalah seorang pengembara kerana beliau tidak pernah melihat Musa di negeri itu. Maka Safura menjemput Musa datang kerumahnya untuk menemui bapanya.

Sewaktu dalam perjalanan, Safura dan saudaranya berjalan di depan, lalu Musa meminta kepada mereka agar biar saja beliau jalan di depan dan hanya menunjukkan arah mana yang perlu dia ikuti. Bukankah itu sebaik-baik cerita? Musa menjaga diri dengan menjaga pandangannya dan hatinya. Maka pastilah Safura terkesan dengan perilaku yang di tunjukan oleh Musa.

Benar! Safura terkesan dengan peribadi Musa Alaiyhissalam. Ini kerana dari peristiwa itu, boleh kita simpulkan bahawa Musa tidak mengambil kesempatan atas peribadi Safura, dan tidak pula mengambil kesempatan melihat tubuh kedua orang perempuan muda tersebut.

Safura jugalah yang menawarkan kepada ayahnya, Syuaib berkenaan Musa! Bukankah itu satu penawaran cinta dibalik pemintaan?

Adakah pandangan kamu tentang cinta seperti pandangan Safura?

Saya teringat juga suatu kisah, yang mana menceritakan seorang remaja perempuan muda bernama Nailah Binti Farafishah al-Kalbiyah.

Tahukah kamu siapakah Nailah Binti Farafishah al-Kalbiyah?

Dia adalah seorang wanita muda yang berusia 18 tahun, yang menjadi isteri kepada Uthman Bin Affan Radhiyallahu Anhu yang pada ketika itu berusia lapan puluh tahun.

"Apakah kamu tidak keberatan berkahwin denganku, seorang lelaki yang tua bangka?" Tanya Uthman

Nailah tersenyum dan menunduk sambil berkata, "Saya termasuk perempuan yang lebih suka memiliki suami yang lebih tua."

"Bukankah aku telah jauh lebih tua darimu..."

Nailah tetap juga tersenyum manis dihadapan suaminya lalu berkata: "tapi masa mudamu sudah kau habiskan bersama Rasulullah sallallahu alaiyhi wa sallam. Dan itu aku lebih sukai dari segala-galanya.

(Bagi penulis, Uthman banyak menuntut ilmu pada ketika mudanya bersama dengan Rasulullah Sallallahu alaiyhi wa sallam)

Setelah beberapa lama hidup bersama dengan Uthman, Nailah melahirkan dua orang anak, Maryam dan Anbasah binti Uthman. Dan masih juga tetap setia mendampingi Uthman.

Sehinggalah sampai satu ketika, pasukan pemberontak mengepung rumah Uthman dan memecah masuk ke dalam rumahnya. Pada ketika itu, Uthman sedang membaca al-Quran. Tanpa membuang masa, pemberontak menghayun pedangnya!

Namun, Nailah sang Bidadari Uthman, segera menjatuhkan tubuhnya untuk melindungi Uthman! Dan ya! jari- jemari bidadari Uthman yang mulus itu putus ditetak pemberontak.

Sehingga pada akhirnya, wafatlah Uthman dalam kemuliaan - wafat ketika beliau sedang membaca al-Quran dan sedang berpuasa sunat.

Tahun berganti tahun, Muawiyah Bin Abu Sufyan menghantar wakil, datang untuk melamar Nailah. Tahukah kamu apa jawapan sang bidadari Uthman?

"Tidak mungkin ada dikalangan manusia pun, mampu menggantikan kedudukan Uthman, di dalam hatiku..."

Adakah kamu tahu ertinya dilamun cinta seperti cintanya Nailah pada Uthman?

Tahukah kamu tentang Anas Bin Nadhar?

Anas adalah seorang anak muda yang berjuang bermati-matian ketika perang Uhud. Anas juga adalah salah seorang yang tidak diizinkan mengikuti perang Badar kerana umur beliau pada ketika itu masih muda.

Tetapi apabila dibenarkan turut serta dalam Perang Uhud, Anas sangat gembira tanpa sedikit pun bimbang nyawanya melayang. Anas mempamerkan kejantanan dan semangat juang yang sangat tinggi di Perang Uhud apabila berjaya membunuh ramai kafir Quraisy.

Namun akhirnya Anas mati syahid. Namun beliau sempat mengucapkan selamat tinggal kepada salah seorang sahabatnya, iaitu Saad bin Muaz sebelum mengakhiri nafasnya.

"Tujuanku (syahid) sudah tercapai wahai sahabatku Saad. Aku sudah terbau bau syurga yang sangat harum semerbak di kaki bukit Uhud ini. Selamat tinggal Saad... selamat tinggal..." ujar Anas.

Setelah membaca kisah ini, adakah kamu mengerti tentang cinta?

Begitu juga tentang seorang pemuda bernama Hanzalah. Tahukah kamu kisah tentang Hanzalah Al Ghasil Bin Abu Amir? Bagaimana Hanzalah digelar al-Ghasil ?

Hanzalah baru melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita yang sangat jelita. Namun tatkala mendengarkan seruan berjihad di Medan Uhud, Hanzalah segera meninggalkan isteri dalam dakapannya semata-mata untuk menyahut seruan jihad.

(Faizal Tahir, pencipta lagu ini menyatakan lagu ini diinspirasikan dari kisah Hanzalah al-Ghasil)

Apabila berhadapan dengan musuh, Hanzalah mempamerkan daya juang yang sangat menggerunkan musuh sehingga membunuh ramai dikalangan anggota tentera Quraisy yang pada akhirnya berjaya berhadapan dengan Abu Suffian bin Harb, ketua panglima perang Quraisy.

Hanzalah hampir berjaya membunuh Abu Suffian tetapi Allah lebih memilih beliau untuk syahid apabila Hanzalah ditetak dengan kuat sehingga mati oleh seorang pengikut Abu Suffian, Syaddah bin Al Aswad yang kebetulan ternampak cubaan untuk membunuh Abu Suffian itu.

Hanzalah syahid dan jenazahnya ditemui seusai perang dalam keadaan basah seluruh badannya. Rasulullah menjelaskan bahawa Hanzalah baru sahaja dimandikan oleh para malaikat kerana semasa beliau keluar berperang, Hanzalah masih dalam keadaan berjunub.

Lalu dalam riwayat Hanzalah terkenal dengan gelaran Al Ghasil yang bermakna dimandikan oleh para malaikat.

Adakah engkau mengerti tentang kalimat cinta ini?

Ah... kalimah-kalimah "Aku mencintaimu kerana Allah..." adalah kata yang meletakkan dan menyandarkan Allah di hadapan. Tidak merasa kecewa apabila ditolak lamaran, tidak merasa sedih apabila tidak dipandang.

Kerana rasa cinta itu sandaran yang paling baik adalah kepada Allah. Apakah sandaran itu kukuh apabila kita menyatakan selain dari Allah?

Apakah dengan kita menyatakan kalimat-kalimat itu, kita mewakilkan Allah swt dalam setiap urusan hidup atau sekadar permainan lisan sahaja?

Jika benar engkau tertusuk pedang cinta, maka ketahuilah sebenarnya, cinta itu seperti yang dikatakan oleh Buya Hamka:

“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setetes embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya.

Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji.”

Itulah mereka yang telah tertusuk dengan pedang cinta Allah.

--------------------

Ketika kau memandang aku,
Dan tika aku pula memandang kamu,
Maka luruhlah jantung hatiku,
Memandang kamu penuh rasa cinta.

Luar biasa tajam rasa cinta,
Menusuk langsung dalam jiwa,
Tidaklah berdarah atau terluka,
Dan aku rela ditusuk berkali-kali .

Biar setiap kali aku memandangmu,
Kau mengingatkanku tentang syurga,
Biar setiap kali engkau memarahiku,
Kau mengingatkanku tentang neraka,

Hunuslah aku dengan pedang cinta,
Yang menusukku hingga ke kalbu,
Tidaklah aku mati kerana ia,
Hanya cinta menyuburkan hatiku. 

Abdullah Hakimi
20 Februari 2021

Tiada ulasan: