Selasa, 10 Disember 2019

Dimanakah Letaknya Sikap Kita Sebagai Pelajar Muslim?


"Menuntut ilmu menjadi satu kewajiban keatas diri setiap seorang muslim."

Kata-kata ini selalu didengari di mana-mana sahaja ketika kita sedang menuntut ilmu. Ucapkanlah syukur dan berterima kasih kepada Allah swt yang memberikan kita peluang untuk kita terus menuntut ilmu walau dimana sahaja kita berada. 

Menjadi satu kewajiban, seorang penuntut ilmu itu menyedari bahawa, salah satu karakter seorang muslim itu adalah mencintai ilmu pengetahuan. Seorang muslim mestilah mewajibkan dirinya mencintai ilmu pengetahuan.
Ini kerana Allah swt berfirman dalam surah al-Mujadalah:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah swt meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]

Nah, atas alasan inilah yang menjadi maksud ciri-ciri seorang muslim itu hendaklah mewajibkan dirinya menuntut ilmu yang wajib baginya iaitu ilmu agama dan mesti mempersiapkan dirinya dengan ilmu-ilmu fardu kifayah juga. 

Kelebihan Menuntut Ilmu

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”. [Riwayat Muslim (4867)]

Seperti yang dinukilkan oleh Sahibus Samahah, al-Fadhil Dr Zulkifli al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan yang beliau petik dari kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim di laman sesawangnya:
Di dalam hadith ini mengandungi pelbagai jenis ilmu, kaedah-kaedah dan adab-adab. Antaranya ialah ia menceritakan akan kelebihan keluar menuntut ilmu dan sentiasa sibuk dengan ilmu syar’ie dengan syarat ia niatnya adalah kerana Allah SWT. Walaupun syarat ini merupakan syarat untuk setiap ibadat tetapi telah menjadi adat para ulama’ mengikat masalah ini dengannya kerana sebahagian manusia mengambil mudah dan lalai terhadapnya terutama golongan permulaan dan seumpama dengan mereka. Selain itu juga, maksud sabda Nabi SAW “Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat” adalah dikatakan yang dimaksudkan dengan sakinah di sini adalah rahmat. Ini yang dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh tetapi ia adalah dhaif disebabkan rahmat telah di’athafkan dengan sakinah. Dikatakan juga ia (yang dimaksudkan dengan sakinah) adalah thoma’ninah dan kemuliaan. Ini adalah lebih baik dan ia juga mempunyai dalil atau petunjuk akan kelebihan berkumpul untuk membaca al-Qur’an di dalam masjid. [Lihat: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/21]
Akibat Tidak Mencintai Ilmu.

Allah swt berfirman yang maksudnya:

"Apakah dapat disamakan orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui. (QS. Az Zumar [39]: 9)

Akibat dari kita yang tidak mencintai ilmu, (bahkan menjauhinya) menyebabkan umat Islam semakin mundur ke belakang dan semakin jauh ketinggalan. 


Lihatlah sendiri betapa ilmu pengetahuan, sains dan teknologi (bahkan peradabannya) dikuasai oleh mereka yang tidak beriman dengan Allah swt. Lihatlah betapa hinanya kita sebagai muslim melihat umatnya banyak terpengaruh dengan budaya-budaya hedonisme dan budaya yang jauh menyimpang dari nilai-nilai Islam. 

Lihatlah sebahagian besar masyarakat Barat, mereka sangat mencintai ilmu pengetahuan, mereka sangat fokus mencipta inovasi-inovasi baru, bahkan dalam bidang pendidikan juga, mereka lebih jauh maju terkehadapan. Padahal di dalam Islam, sudah lengkap dan sudah diajarkan sewaktu zaman keemasan Islam terdahulu. 

Lihatlah juga inovasi-inovasi yang mereka lakukan sehingga banyak membantu memudahkan tugas-tugas seharian manusia. Ini semua adalah hasil pembelajaran mereka sehingga mereka berupaya menemukan kaedah dan inovasi-inovasi baru pula. Bukankah dengan memberi manfaat kepada orang lain adalah salah satu sifat terpuji dan mulia di dalam Islam?

Tidakkah kamu cemburu?

Sikap seorang pelajar Muslim. 

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh seorang penuntut ilmu adalah bermuhasabah diri kepada Allah. Renungkan kembali peristiwa-peristiwa semalam yang menyebabkan kita alpa dan lalai dari tugas kita sebagai penuntut ilmu. 

Kedua, perbaiki diri dengan berazam bahawa dengan meletakkan diri kita sebagai seorang muslim, kita menyedari bahawa hakikat menuntut ilmu sangat besar kewajibannya bahkan dengan menyebarkan serta mengembangkan ilmu keutamaan dan kelebihan yang sangat besar. 

Lihatlah para ulama pewaris Nabi, siang dan malam mereka sentiasa diisi dengan waktu menyebarkan ilmu pengetahuan khususnya tentang pencipta kita, Allah swt. Tidak kira latar belakang kita samada penuntut ilmu agama atau selain darinya, tetap juga kitalah yang memakmurkan Bumi Allah swt. 

Kewajiban kita adalah mengenalkan manusia pada Allah Azza wa Jalla. Perhatikan firman Allah swt dalam surah al-'Alaq yang bermaksud: 
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (QS. Al Alaq [96]: 1-5).
Dan ketiga adalah, persiapan untuk menuntut ilmu: Merancang masa dengan sebaik-baiknya. ini kerana manusia sentiasa berada dalam kerugian. 

Apabila kita gagal menyusun waktu dengan baik, maka sebenarnya kitalah yang tidak mengatur kehidupan kita di dunia. Ia juga akan menyebabkan kita tidak mampu untuk mentadbir dunia ini. 

Bak kata pepatah: "Melentur buluh biarlah dari rebungnya." 

Dengan perbaiki diri sendiri dahulu, kita akan memperbaiki orang lain juga. Yang pada hujungnya, kita akan menjadikan budaya menuntut ilmu ini sebagai suatu perkara yang kita wajib cintai, agar ia memberi manfaat kepada agama, bangsa dan tanah air. 

Hakikatnya sekarang untuk kita fikir dan muhasahah bersama: Dimanakah Letaknya Sikap Kita Sebagai Pelajar Muslim?

Tiada ulasan: